Menurut laporan Bernama, pembuktian konsep bagi sistem MLFF di Lebuh Raya Sungai Besi itu akan mengguna pakai gabungan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dan Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR).
Menurut LLM, pelaksanaan POC melalui struktur gantri MLFF berskala sebenar adalah bertujuan menguji dan menentusahkan kecekapan sistem front end gantri MLFF terhadap Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan dalam operasi lebuh raya kelak.
“Gabungan teknologi RFID dan ANPR merupakan teknologi yang telah diteliti dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Teknikal MLFF, Makmal Value Assessment dan Makmal Value Engineering yang telah diadakan dengan penglibatan agensi-agensi teknikal terlibat,” menurut kenyataan itu.
Pada Selasa lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Lebuhraya Sungai Besi dipilih sebagai lokasi POC yang pertama dan pelaksanaannya akan dibuat pada penghujung Oktober bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan di kesemua lebuh raya di Malaysia.
Sumber: Bernama