Pokok tumbang: Boleh saman PBT tapi agak sukar menang - Peguam

oleh Penyumbang Rencana|
kejadian pada Selasa di Jalan Sultan Ismail
Pihak mangsa dalam kejadian pokok tumbang yang menyebabkan seorang maut dan dua lagi cedera di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur, pada Selasa, boleh menyaman pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, menurut pengamal undang-undang.

Peguambela dan peguamcara, Fahmi Abd Moin, ketika memaklumkan perkara itu bagaimanapun berkata agak sukar untuk menang dalam tuntutan berkenaan kerana pihak PBT boleh mengemukakan alasan kejadian sebagai 'act of God' (ketentuan Tuhan) atau bencana alam seperti hujan dan sebagainya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Selain itu, untuk membuktikan pokok terbabit tidak diselenggara dengan baik oleh PBT juga agak susah kerana semalam hujan lebat, jadi boleh juga disebabkan hujan lebat sehingga pokok tumbang.

"Kebiasaannya, PBT akan menyatakan pokok terbabit bukan patah begitu saja tetapi disebabkan hujan. Justeru, memang tiada masalah jika pihak mangsa mahu mengambil tindakan (undang-undang) tetapi sama ada boleh menang, itu satu perkara yang sukar termasuk dari segi beban pembuktian," katanya kepada Berita Harian.

Fahmi memberi contoh tragedi bangunan Highland Towers runtuh pada 1993 yang mana keputusan menyebelahi PBT yang disaman, dengan mengambil kira 'act of God', selain pihak berkenaan turut mendakwa kejadian tanah runtuh itu disebabkan air hujan berlebihan.

Bagaimanapun, jika pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail itu diinsuranskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau berkata, pihak berkenaan perlu membayar pampasan insurans kepada mangsa.

"Namun, kebiasaannya PBT jarang mengambil insurans bagi pokok kerana jumlahnya terlalu banyak, terutama di Kuala Lumpur," katanya.

Selain itu jika mangsa ada mengambil insurans tambahan, iaitu peril khas bencana alam untuk kenderaan, beliau berkata, maka mereka boleh membuat tuntutan terbabit.

Media sebelum ini melaporkan kejadian ketika hujan lebat kira-kira jam 2 petang semalam turut menyaksikan pokok yang tumbang itu menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel.

Sementara itu, polis menerima 18 laporan kenderaan mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan, setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Naazron Abd Yusof, berkata dua mangsa pula dilaporkan cedera membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Sweden.

"Lelaki tempatan itu telah menerima rawatan bagi kecederaannya dan dibenarkan keluar wad kira-kira jam enam pagi tadi.

"Wanita warga Sweden terbabit pula masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL), setakat ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Berkongsi detik cemas insiden tersebut, Pegawai Media Ab. Rauf, Shahnor Samsudin berkata, sebaik…
Berita Domestik
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam kenyataannya hari ini berkata, panggilan kecemasan…
Berita Domestik
"Sebaik tiba di lokasi, didapati dua pokok tumbang merentangi jalan yang mana satu daripadanya…