Polis buka kertas siasatan aktiviti memasak di stesen minyak di Genting Highlands

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari klip video
Polis membuka satu kertas siasatan berhubung sekumpulan pemilik kenderaan yang melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima satu laporan polis berhubung satu klip video berdurasi 50 saat yang tular di media sosial memaparkan aktiviti memasak di stesen minyak terbabit.

"Hasil siasatan mendapati klip video tersebut telah tular melalui laman sosial X dan telah dimuat naik pada 13 Mei lepas dan dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pemilik kenderaan sehingga menimbulkan kebimbangan dan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kegusaran kepada orang awam dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Zaiham turut memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dan akan mengambil tindakan tegas serta membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

"Ia berikutan polis mendapat maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kenderaan berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain yang melalui lokasi berkenaan," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Operasi terbabit melibatkan kekuatan lebih 1,500 pegawai dan anggota polis serta agensi…
Berita Domestik
Kejadian itu dikongsikan mangsa iaitu @shafiyyah_nurul di laman sosial X pada Selasa. Menurutnya,…
Berita Domestik
Beliau berkata, mangsa telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini pada jam 11 pagi…