Porsche 911 GT2 RS dilancarkan, 700 hp, harga atas jalan bermula dari RM2.9 juta

oleh Mohamad Hanif|
Sempena ulang tahun ke-70 Porsche, Sime Darby Auto Performance melancarkan model kereta sports 911 GT2 RS serba baharu bertempat di Litar Antarabangsa Sepang sebentar tadi.

Dijana menggunakan enjin boxer 3.8 liter biturbo flat six menghasilkan kuasa setinggi 700 hp dan daya kilas mencecah 750 Nm, ia mampu memecut sepantas 2.8 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan tertinggi 340 km/j.

 

Penggunaan kotak gear PDK dual clutch dengan 7 nisbah kelajuan telah ditala semula bagi memberikan aliran kuasa yang stabil ke roda belakang.

Ditambah lagi dengan ekzos jenis titanium, ia mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 7 kg berbanding model 911 Turbo.

Penggunaan tayar bersaiz 265/35 ZR 20 di hadapan dan 325/30 ZR 21 memberikan pemandu lebih kawalan ketika mengharungi selekoh serta brek seramik membantu pemandu memberhentikan kenderaan dengan pantas.

 

 

Tidak terhenti setakat itu, penggunaan bahan gentian karbon diperkukuh turut digunakan pada cermin sisi, ruang masuk udara, dan panel belakang kereta serta beberapa bahagian dalaman, manakala bahagian bumbung pula diperbuat daripada magnesium. 

Porsche juga turut menawarkan pakej diet Weissach yang terdiri daripada panel bumbung dan bar anti oleng yang diperbuat daripada titanium, serta rim magnesium menawarkan pengurangan berat sebanyak 30 kg.

 

 

Bahagian dalaman menampilkan trim yang dipelopori oleh warna merah Alcantara, kulit hitam dan kemasan karbon sebagai standard. 

Stereng 911 GT2 RS ini dilengkapkan dengan paddle shifter membolehkan pemandu menukar nisbah gear dengan pantas. 

Kerusi pula merupakan kerusi jenis bucket dengan kemasan karbon memberikan pegangan yang kemas kepada kedua-dua pemandu dan penumpang ketika beraksi di litar.

 

 

Mengakhiri senarai ialah sistem hiburan Porsche Communication Management yang mengawal unit audio, navigasi dan komunikasi kereta serta modul Connect Plus dan aplikasi Precision yang didatangkan secara standard bagi merekod dan memaparkan data pemanduan pada telefon pintar.

 

 

Khusus buat pemilik Porsche 911 GT2 RS yang baharu, pihak Porsche menawarkan pakej pembelian jam tangan edisi khas Porsche Design 911 GT2 RS Chronograph yang boleh ditempah di pengedar rasmi Porsche Centre. 

Produk edisi terhad itu menampilkan bahan yang diperbuat daripada titanium itu turut disertakan sijil pengesahan daripada COSC.

 

 

Harga jualan untuk Porsche 911 GT2 RS ini bermula dari RM2,900,000 dan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama empat tahun. 

Harga tersebut tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan serta insurans.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Porsche turut memperkenalkan 911 Carrera dengan enjin 3.0 liter boxer turbo berkembar yang…
Berita Global
  Secara keseluruhan, para jurutera dan pemandu uji telah memandu 911 baharu di dalam program…
Berita Global
Kira-kira 858 Taycan pada mulanya dikenal pasti berisiko dan ditarik balik pada bulan Januari,…