“Setakat ini, ada satu syarikat yang bersedia membangunkan kereta terbang dan ia syarikat Malaysia yang disenaraikan di New York Stock Exchange.
“Namun, saya tidak boleh menyebut nama syarikat berkenaan kerana tidak mahu ia dispekulasikan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran BXCESS, aplikasi yang memperkasakan Program Transformasi Usahawan Digital hasil inisiatif Fintech Capital Group Bhd (FCGB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah FCGB, Mohd Hafiz M Said@Mohd Shaikh dan Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Isarji Sarudin.
Mohd Redzuan berkata, pihaknya mengharapkan inovasi itu dapat diterima dengan positif di kalangan peserta industri.
“Apa yang saya lihat, golongan muda dan kanak-kanak teruja untuk melihat teknologi kereta terbang ini.
“Sekarang ini, kita hanya mahu mendapatkan penerimaan piawaian dan peraturan daripada agensi berkenaan untuk membenarkan inovasi (kereta terbang) itu dapat diterbangkan.
“Kita berharap, ada ruang mencukupi untuk menjalankan ujian penerbangan kereta itu, jika kerajaan sudah meluluskan,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Redzuan dipetik berkata, prototaip kereta terbang pertama negara dijangka dilancarkan seawal Oktober depan.
Katanya, kenderaan canggih itu antaranya menggunapakai teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) yang kini berkembang pesat.
“Kita menjalin kerjasama dengan syarikat berkepakaran dalam industri berkenaan bagi memastikan teknologi digunakan selari dengan inovasi antarabangsa.
“Lebih menarik, prototaip kereta terbang berkenaan dibangunkan anak tempatan yang berfikiran jauh ke depan dan bertaraf global,” katanya.
Mohd Redzuan masih lagi "berhutang" kereta nasional ketiga kepada rakyat. Beliau menjanjikan kereta tersebut bakal dibangunkan dalam masa setahun dan ia bukanlah dari jenis "rebadge". Ini diterangkan sendiri kepada Careta semasa sidang akhbar di pejabat MIGHT di Cyberjaya tahun lalu.
Mohd Redzuan juga gagal menjawab pelbagai soalan-soalan asas dari media permotoran berkaitan projek-projek automotif yang beliau keutarakan.
Sehingga sekarang, masih tidak ada informasi berkaitan:
- Jenis kenderaan yang akan dihasilkan (sedan, hatchback, kompak, C-segment, MPV?)
- Jenis enjin/teknologi yang akan digunakan (hibrid, EV atau enjin pembakaran dalaman)
- Syarikat yang mampu membangunkan teknologi kenderaan dari kosong sehingga jualan dalam tempoh setahun
- Rangkaian pengedar yang bakal menjual produk itu tahun hadapan
- Pembinaan pusat servis untuk jenama tersebut
Beliau yang seolah-olah lupa mengenai janji-janji tersebut sekarang lebih menumpukan kepada "kereta terbang".
Mohd Redzuan juga pernah "diperli" oleh menteri lain kerana suka campur tangan dalam hal ehwal yang bukan terbabit di dalam port folio beliau.
* Sumber berita asal: Berita Harian