Rashid dan Monster RB20 dua roda Batu Pahat!

oleh HEZERI SAMSURI|

Muncul dengan gambar-gambar projek motosikal RB20 beliau, Andul Rashid Ismail atau lebih dikenali sebagai Acid Welding terus popular di media sosial.

Ramai yang memberikan komen-komen negatif mengenai projek beliau, namun Acid tetap tenang.

"Dia tak tau, kita baru hidupkan enjin. Projek ini belum siap lagi!," ujar Acid ketika Careta melawat beliau di rumahnya di Kampung Batu 6, Sri Wangi, Batu Pahat, Johor.

Berusia 47 tahun, Acid menjalankan perniagaan kimpalan dan penyelenggaran jentera kilang (factory maintenance).

 

Acid 1

 

"Saya mula mengimpal sejak tahun 1988 sehingga sekarang. Apa sahaja kerja kimpalan, saya buat."

Awalnya, Acid mempunyai bengkelnya sendiri tetapi beliau mula jemu disuruh berpindah bila tuan tanah perlukan tanah itu kembali.

"Akhirnya, rumah saya ini jadi bengkel saya. Semua pelanggan ke sini untuk projek-projek saya," terangnya lagi.

Ayah kepada empat orang anak ini memang cenderung kepada kereta dan motosikal. 

Malah beliau mampu membuat jentera seperti lori angkut untuk kerja ladang. Sememangnya, beliau fasih dengan cara-cara mekanikal sebuah jentera.

Anak sulungnya, Amirul Azwan atau Wan, 21 tahun adalah lulusan Kolej Yayasan Pelajaran Johor dengan Sijil Juruteknik Motosikal.

"Tapi Wan bekerja dengan saya sekarang," sambung Acid lagi.

 

Acid 2

 

Untuk projek motosikal "monster" dengan enjin RB20 ini, pastinya ada kaki-kaki kereta yang merasakan ia satu pembaziran enjin.

Sebelum itu, Careta ingin hendak ingatkan, Acid ini ialah seorang drifter. Beliau menggunakan kereta Volvo 240 dengan enjin RB20.

"Saya memang dah lama bermain dengan enjin RB20 ini. Memang arif sangat akan enjin ini."

 

Acid 3

 

Beliau juga memang sudah lama menghasilkan motosikal kustom, dan sudah beberapa kali memasuki acara Art of Speed dengan motosikal-motosikal kustom beliau.

Keluarga dan jiran memang sudah fasih dengan telatah Acid dan nampaknya memberi sokongan yang padu kepada usaha Acid untuk mengharumkan nama kampung mereka.

Bagaimana terlintas dihati untuk menghasilkan motosikal gergasi ini?

"Saya tiba-tiba rasa bosan dengan kereta, jadi saya hendak jual Volvo saya dengan enjin dan segalanya tetapi tawaran-tawaran yang diterima semuanya terlalu rendah!"

"Dari saya jual dan sakit hati, baik saya tak jual langsung dan enjinnya saya keluarkan dan buat projek ini. Memang sudah lama terfikir mahu membuat sesuatu begini dan akhirnya memang dapat melakukannya," terangnya bersungguh-sungguh.

 

Acid 4

 

Jadi, apa kata kita duduk dan baca kisah bagaimana Acid dan anak sulungnya, Wan membina motosikal RB20 ini.

  • Pertamanya, Acid dan Wan "mencungkil" keluar enjin 2.0L turbo ini dari Volvo 240 mereka. Tanpa ada "hoist" untuk membantu, mereka menggunakan kudrat dan tuas dari kayu untuk mengeluarkannya.
  • Konsep yang Acid gunakan ialah 'pakai apa yang sudah ada". Oleh itu, banyak komponen yang ada dari Volvo itu dibawa masuk ke projek ini.
  • Antaranya ialah:
    • Radiator
    • Intercooler Trust
    • ECU talaan asal Mines Japan
    • Boost controller dari jenis HKS digital
    • Turbo timer Fizz
    • Injap Blow Off Sheepdog buatan Prof
Acid 5

 

  • Perkara kedua dilakukan setelah idea kasar dan enjin tersedia ialah menghasilkan "jig" untuk menyusun atur enjin, roda dan segalanya duduk dengan lurus.  Acid menggunakan besi angle dan kayu untuk membuat jig ini.
  • Selepas itu, Acid membeli 40 kaki paip besi gred tinggi untuk dijadikan kerangka motosikal ini. Sebagai seorang yang sudah berpuluh tahun mengimpal besi, beliau tahu jenis dan kekuatan besi paip yang diperlukan untuk projek ini.
  • Bateri pula menggunakan saiz N70Z dan diletakan di bawah, berhampiran jari kaki kiri.

 

Acid 9

 

  • Enjin dipasang secara direct-mount, ala harley Davidson zaman dahulu. Tidak ada engnine mounting yang menyerap getaran dari enjin besar itu.
  • Kotak gear diambil dari Perodua Kancil 660 mamnual 4-kelajuan. Ia dipilih kerana struktur kotak gear yang pendek dan kompak.
  • Batang aci pacu atau drive shaft dari Kancil diambil dan diubahsuai untuk dimasukkan ke dalam motosikal ini. "Semuanya diubah!" terang Acid.

 

Acid 5

 

  • Kotak gear belakang dari Nissan C20 Vanette diambil untuk menerima tenaga dari acu pacu ke roda aloi kereta di belakang. Kotak gear itu dimatikan dibeberapa tempat untuk memastikan tenaga mengalir ke satu punca sahaja.
  • Perkara yang paling memeningkan kedua beranak ini ialah bagaimana hendak memastikan klac transmisi Kancil ini boleh dipadankan dengan flywheel dari enjin Nissan yang berkuasa itu. Selepas dua bulan berfikir sambil bekerja, Acid dan Wan mendapat jawapannya. Pam klac dari Proton Wira digunakan (di kedua hujung) untuk memastikan tenaga dari enjin disalurkan ke roda belakang.
  • Sistem hendal hadapan menggunakan tuas-tuas yang dibuat oleh Acid sendiri.

 

Acid 7

 

  • Fork dan roda hadapan diambil terus dari motosikal cruiser Nitro 150. Motosikal Nitro itu sudah bertukar bentuk sebenarnya dan roda dan fork hadapan sahaja yang tinggal. 
  • Sebenarnya, fork hadapan itu sahajalah sistem gantungan yang wujud kerana roda belakang disambung terus ke kerangka tanpa sebarang gantungan. "Rigid," kata Acid.
  • Brek cuma ada di hadapan sahaja, dan itupun brek asal dari Nitro itu. Sememangnya sistem brek akan dinaiktaraf sebelum motosikal ini dicuba dengan kelajuan yang lebih tinggi.
  • Ekzos juga ialah dari jenis direct piping, tanpa sebarang peredam. Paip ekzos dihasilkan sendiri orang Acid, dan sama juga dengan paip-paip untuk intercooler dan sebagainya.

 

Acid 8

 

Sehingga kini, Acid sudah menghabiskan hampir RM1,000 untuk bahan-bahan.

Tidak begitu banyak jika dibandingkan dengan kompleksnya projek ini tetapi Acid memang sudah mempunyai kebanyakan komponennya.

Sasaran Acid ialah untuk menyiapkan projek ini (brek, penalaan, pencantikan, cat dan sebagainya) agar ia bersedia untuk dipamerkan di Acara Art of Speed pada 29 dan 30 Julai ini. 

Careta mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Acid dan Wan, dan terima kasih kerana sudi menerima kunjungan Careta.

 

acid 10

 

Ada ramai pengusaha bengkel seperti Acid yang kreatif dalam bidang mereka, dan mereka inilah yang dicari oleh kilang-kilang atau sebagainya untuk menghasilkan mesin-mesin untuk kegunaan unik masing-masing.

Diharapkan ada agensi yang dapat melihat usaha dan daya kreatif rakyat Malaysia seperto Acid ini dan memberikan bantuan agar usaha dan minat mereka tidak lebur begitu sahaja.

Selain dari projek kimpalan dan pengurusan jentera kilang, Acid juga menerima projek-projek motosikal kustom, dan juga kerja-kerja baikpulih kenderaan. 

Untuk yang mahu menggunakan khidmat Acid, hubungi beliau di +60 17-733 1984.

 

Acid family

 

Add new comment