Menurut CEO Torsten Müller-Ötvös berkata, syarikat Rolls-Royce berkemungkinan besar akan mengelakkan diri daripada fasa permulaan pemanduan autonomi yang masih di dalam proses pembangunan dan hanya akan berbuat demikian sekiranya sistem tersebut berfungsi sepenuhnya.
Untuk pengetahuan, Rolls-Royce merupakan sebahagian daripada kumpulan BMW yang ketika ini sedang melabur besar-besaran di dalam arena pemanduan autonomi ini.
Menurut Torsten lagi, kebanyakan pelanggan Rolls-Royce masih lagi mempunyai pemandu peribadi bagi membawa mereka ke tempat kegemaran seperti opera, hotel lima bintang dan sebagainya.
"Berdasarkan hal itu, pemanduan autonomi bukanlah keperluan bagi Rolls-Royce buat masa ini," tambah beliau.
Fasa awal pemanduan autonomi sebagaimana yang dijelaskan oleh ketua komunikasi global Rolls-Royce, Richard Carter, masih memerlukan perhatian pemandu ketika mana kereta tidak dapat bergerak dengan sendiri di dalam situasi getir.
"Pada ketika ini, ia memang dilihat menarik, namun pada masa yang sama, ia menawarkan solusi yang tidak masuk akal dan menguji kesabaran pelanggan kami," tambah beliau.
Namun begitu, Rolls-Royce masih menaruh harapan terhadap pemanduan autonomi tahap tertinggi sebagai masa hadapan bagi kenderaan mereka.
Sumber: Car and Driver