S 1000 RR - Otai masih berbisa, sangat berbisa.

oleh Penyumbang Rencana 2|
BMW S 1000 RR bukan model baharu dan memang ia bakal diganti.

Namun begitu, ia tidak bermakna anda boleh ketepikan ia dari shopping list anda kerana varian paling baharu sudah diberi banyak perubahan agar ia menjadi sebuah jentera yang lebih mantap.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Mula diperkenalkan pada tahun 2009 oleh BMW Motorrad untuk menyertai perlumbaan WSBK, motosikal lumba S 1000 RR pada ketika itu ditunggangi oleh pelumba dari Sepanyol iaitu Ruben Xaus dan juga bekas juara Dunia WSBK dari Australia iaitu Troy Corser. 

Sebanyak 1,000 unit S 1000 RR telah dikeluarkan untuk memenuhi syarat homogolasi  dan ramai yang tergila-gilakannya kerana jualan secara komersial hanya bermula pada tahun 2010. 

 

 

Untuk tahun 2018, model ini dilengkapi dengan pelbagai alatan perlumbaan yang inginkan oleh para penunggang seperti  ABS, Dynamic Traction Control (DTC), tiga mod tunggangan (Rain, Sport dan Race Mode), BMW Quickshift  Assist Pro ( Quickshifter ), pemanas tangan (tidak pasti akan ada yang menggunakannya di sini) dan juga Cruise Control. 

 

 

Enjin ialah 999cc 4-silinder sejukan cecair dengan gerek dan lejang 80 mm x 49.7 mm yang  kini menghasilkan 199hp. Untuk budak kereta, bayangkan Perodua Axia 1.0L dengan prestasi enjin seperti Toyota GT86.

Ternganga mereka bukan?

 

 

Tambahan kuasa itu ialah hasil dari penggunaan "cam profile" atau profil aci yang baharu, injap titanium yang lebih ringan dan sistem ekzos yang mempunyai tabung yang lebih besar dan dipinjam dari model prestasinya, HP4. 

Bukan ekzos sahaja yang dipinjamkan tetapi juga sistem transmisi BMW Quickshift Assist Pro memudahkan penukaran gear tanpa menggunakan klac.

Berat S 1000 RR ini pula hanya 179.5 kg, 4 kg lebih ringan dari model 2010. 

 

 

Dari segi luaran, rekabentuk fairing yang lebih aerodinamik untuk memberi kestabilan pada kelajuan yang tinggi. Lampu hadapan juga mengekalkan konsep asymmetric kali ini dengan bentuk yang lebih menarik dari model 2010. 

Semasa menunggang uji  jentera ini, kami sempat menggunakan ketiga-tiga mod tunggangan yang diberikan - Rain, Sport dan Race.

 

 

Rain Mode menjadikan kawalan di dalam hujan menjadi lebih mudah dan terkawal, contohnya ketika mengambil selekoh di jalan lama melalui Simpang Ampat, Sungai Buluh, Padang Besar, Padang Kambing, Bukit Apit, Ayer Limau dan seterusnya menuju ke Masjid Tanah. 

Apa yang berlaku ialah graf pendikit dijadikan lebih mesra-penunggang dan nisbah gear cepat ditukar ke yang paling tinggi. Ia lebih rileks dan tidak menyentap. 

Traction Control juga menjadi lebih sensitif kerana keselamatan menjadi objektif utama Rain Mode.

 

 

Dalam Sport Mode, keadaan semakin agresif namun terkawal. Sistem gantungan terasa lebih keras dan membolehkan anda turun meleper dengan lebih yakin. Begitu juga dengan kawalan pendikit - lebih sensitif.

Satu fungsi menarik ialah fungsi pembatas halaju, di mana anda boleh menghadkan kelajuan motosikal ini dalam Sport Mode. Ini bagus agar anda tidak menunggang melampaui halaju yang ditetapkan (ha ha ha).

 

 

Bagi mereka yang lebih berpengalaman, Race Mode akan menunjukan kebolehan sebenar jentera BMW ini. Hati-hati kerana untuk mencapai 200 kmsj dari 100 kmsj, BMW ini cuma mahukan masa kurang dari lima saat sahaja. Kemudian, dari 200 kmsj ke 288 kmsj, juga mengambil masa yang terlalu singkat.

Halaju maksimum pastinya boleh melampaui 300 kmsj dan kami tidak berani untuk mencubanya di jalanraya awam kerana ia salah dan kami ialah insan yang baik, ehemm. Apapun, ujian BMW mendapati anda cuma perlukan jarak dalam 1km dan di bawah 20 saat untuk melakukan pecutan 0 - 300 kmsj. 

 

 

BMW Quickshift Assist Pro atau sistem quick-shifter pada S 1000 RRR ini memang antara paling lancar pernah penulis guna. Sistem komputer ECU memastikan putaran enjin dipadankan dengan nisbah gear dan kelajuan motosikal (rev match), dan kadang-kala, meletup-letup bunyi ekzos bila kami turun gear.

Bayangkan jika unit tunggang uji ini dilengkapi dengan ekzos Akrapovic, kami pasti bunyi yang dihasilkan akan dibawa ke mimpi.

 

 

Brek hadapan dan belakang dari Brembo memang terbaik untuk model ini kerana ianya memberikan cengkaman yang amat baik sekali, walaupun di dalam hujan. Di jalanraya kering, ia memberikan perasan yang telus agar anda tahu bila ia mula menggigit dan bila ia akan menghentikan motosikal anda. Progresif.

Sekiranya anda sempat memandang kepada paparan meter ketika menunggang di dalam Race Mode, anda dapati skrin itu memberikan banyak informasi, antaranya ialah sudut meleper (lean angle), masa untuk satu pusingan (berguna di litar), kelajuan dicapai dan sebagainya.

 

 

Paling penting, segala data itu boleh direkodkan dan ditunjukan bila anda sudah sampai ke tol Gombak dan berkumpul bersama rakan-rakan yang lain. Jadi ingat, jika ada rakan yang menunggang S 1000 RR dan berkata beliau meleper lebih hebat dari Valentino Rossi atau Marque Marquez, minta dia tunjukan rekod lean angle dahulu.

Sayang sekali secanggih mana paparan meter itu, ia masih tidak datang dengan tolok bahan api. Nasib baik ia datang dengan fungsi Distance To Empty (DTE) yang memberitahu anda berapa jauh lagi anda boleh tunggang dengan baki bahan api di dalam tangki. Tetapi untuk motosikal genre begini, tolok itu tidak begitu penting.

 

 

Kesemua cara penggunaan fungsi-fungsi ini boleh dicari di dalam buku panduan atau manual BMW yang setebal 244 mula surat. Dari pengalaman penulis, ramai akan masuk ke Whatsapp Group dan bertanya kepada pemilik yang lain yang boleh membaca huruf rumi.

Seperti teman-teman wanita anda yang lampau, tiada apa yang sempurna. S 1000 RR ini tidak terkecuali.

Jika anda mempunyai ketinggian 6 kaki ke atas dan bersusuk tubuh badan yang agak "sedap", terasa motosikal ini sedikit sempit. 

 

 

Butang-butang dan kawalan pada hendal pula perlukan masa untuk disesuaikan. Ia juga mempunyai terlalu banyak fungsi dan anda patut belajar menggunakannya kerana jangan jadi seperti pemilik-pemilik yang membeli tapi selepas dua tahun menggunakannya, baharu tahu ada "riding mode".

Ini merugikan dan menunjukan kemalasan tahap langit ketujuh.

 

 

Satu lagi yang tidak begitu menarik ialah bagi mereka yang mempunyai genetik berbulu roma lebat, tidak digalakan untuk menunggang BMW ini dengan but pendek kerana bahang dari enjin 999 cc ini terasa benar panasnya.

Disarankan anda memakai but yang panjang kerana ia bukan setakat menepis haba, tetapi ia juga baik untuk keselamatan.

 

 

Harga S 1000 RR ini bermula dari RM107,900 termasuk SST. Untuk varian warna BMW Motorsports pula, harganya ada tambahan RM2,000.

Tepuk dada tanya selera, jika mampu, anda pasti tidak akan menyesal.



Laporan oleh Fadzil "Mastana" Ishak

 


Spesifikasi ringkas

Enjin
999cc, sejukan cecair/minyak, 4-selinder sebaris, 16-injap titanium, DOHC.

Transmisi
6-kelajuan, klac basah, slipper clutch 

Kuasa maksimum
199hp @ 13,500 rpm

Tork maksimum
113Nm @ 10,500 rpm

Nisbah mampatan (bahan api petrol RON 95)
13.0:1

Berat kering
179.5 kg

Berat basah
208 kg

Saiz tangki bahan api
17.5 liter (termasuk tangki simpanan 4 liter)

Berita Berkenaan

Berita Global
Lambat laun, suka atau tidak, kita terpaksa menerima kenyataan bahawa tidak ramai yang gemar dengan…
Berita Domestik
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bersama sebuah jentera dikejarkan ke…
Berita Global
Ia berikutan dengan pelaburan sebanyak €650 juta (RM3.3 billion) untuk memperluaskan serta menaik…