Paten yang didaftarkan Skoda ini bukanlah bertujuan untuk menggantikan peranan tali pinggang keledar, sebaliknya ia mengintegrasikan sistem untuk mengingatkan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan.
Ciptaan yang dimaksudkan adalah buckle (kancing) tali pinggang keledar yang beriluminasi dengan tiga warna yang berbeza bergantung kepada situasi semasa.
Gugusan LED akan dipasang pada komponen tersebut akan memaparkan warna putih untuk memberitahu lokasi sebenar kancing tali pinggang keledar.
Apabila seseorang duduk di tempat berkenaan, penderia yang terpasang akan mengesan kehadiran manusia dan lampu tersebut akan bertukar menjadi warna merah, di mana ia akan bertukar menjadi warna hijau selepas tali pinggang terpasang dengan baik.
Lampu hijau tersebut akan kembali bertukar kepada warna putih bagi mengelakkan gangguan cahaya kepada pemandu.
Menurut Skoda, sistem kancing bercahaya itu amat berguna terutama bagi golongan ibu bapa, di mana lampu LED yang terang itu mampu memberikan petunjuk sekiranya kanak-kanak menggunakan tali pinggang keledar dengan baik.
Sistem ini juga boleh diprogramkan menerusi menu yang terdapat di dalam skrin infotainmen kenderaan membolehkan ia memaparkan lampu beranimasi supaya ia lebih jelas dilihat terutama ketika waktu malam.