Dijual di Eropah, NEO's dikeluarkan oleh Yamaha Motor Vietnam Co., Ltd. (YMVN).
Dari gambar, NEO's adalah sebuah skuter ringkas di dalam kelas 2.5 kW dengan gayaan menarik dan konsep sebegini dilihat mampu mencambah minat pengguna untuk mencuba dan memilikinya.
Di Eropah wujud segmen pengguna baharu yang mahu bertukar dari pergerakan berkereta kepada roda dua.
Perubahan itu didorong oleh peraturan di bandar seperti zon tanpa kenderaan, masalah parkir dan kesesakan trafik.
Pengguna skuter kecil juga mahu beralih kepada model elektrik dan dijangka semakin meningkat pada masa depan.
Dari segi teknikal, NEO's dilengkapi Unit Kuasa Bersepadu Yamaha II (YIPU II) dan bateri dengan anggaran jarak gerak 37 kilometer.
Jarak tersebut memang tidak jauh namun sudah cukup untuk melakukan rutin harian tambahan pula bateri NEO's boleh ditukar ganti.
Strategi begini memang bagus kerana pengguna tidak perlu menunggu lama untuk mengecas. Pergi ke stesen bateri dan tukar sahaja.
Berkenaan harga, NEO's ditawarkan pada 2,999 Euro (RM13,808) dan Yamaha mensasarkan untuk menjual 10,000 unit setahun di Eropah.
Penulis: Muhammad Md Tajudin