Sudah pasti anda tertanya-tanya apakah perbezaan antara model yang baru dilancarkan ini dengan sebuah lagi Yaris Cross yang telah terjual sebelum ini.
1. Platform
Berbanding Yaris Cross pasaran Eropah/Jepun yang menggunakan platform asas daripada TNGA, Yaris Cross pasaran Asean ini difahamkan lahir daripada platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) - sama seperti Axia/Agya/Ayla, Alza/Veloz, Ativa/Raize serta sedan Toyota Vios.
2. Dimensi
Yaris Cross pasaran Asean membawakan ukuran sepanjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm, jarak antara roda sepanjang 2,620 mm.
Sebagai perbandingan, Yaris Cross TNGA memiliki dimensi berikut: 4,200 mm x 1,765 mm x 1,590 mm, jarak antara roda 2,560 mm.
Yaris Cross DNGA ini turut memiliki jarak lega bumi 260 mm, serta radius putaran sekecil 5.2 meter.
3. Rekaan luaran
Disebabkan perbezaan dimensi yang ketara, Yaris Cross 2023 versi pasaran Asean tidak membawakan reka bentuk yang sama seperti Yaris Cross TNGA.
Ini boleh dilihat di bahagian sisi di mana Yaris Cross DNGA mendapat tambahan tingkap suku di bahagian belakang.
Selain itu, rekaan lampu depan Yaris Cross DNGA kini jauh lebih tajam dan garang, diikuti dengan struktur jeriji trapezoid yang lebih besar.
Reka bentuk lampu belakang Yaris Cross DNGA pula dilihat seakan unit lampu Lexus. Sekali pandang, macam RAV4 mini pun ada!
4. Trenkuasa
Terdapat dua pilihan enjin yang ditawarkan untuk Yaris Cross 2023.
Versi standard dipadankan dengan enjin petrol 2NR-VE berkapasiti 1.5 liter dengan janaan kuasa 104.6 hp dan daya kilas 138 Nm - sama seperti enjin yang terdapat pada Alza, Myvi facelift dan Vios.
Pembeli boleh mendapatkan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau CVT yang memacu roda depan.
Yaris Cross juga boleh didapati dalam versi hibrid, di mana ia didatangkan dengan nadi 2NR-VEX 1.5 liter (90 hp/121 Nm) dipadankan dengan motor elektrik 79 hp/141 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 110 hp.
Untuk makluman, Yaris Cross TNGA menerima nadi kuasa tiga silinder sebaris M15A-FKS (118 hp), atau enjin hibrid M15A-FXS dengan kuasa keseluruhan 114 hp.
5. Kelengkapan ruang kabin
Rekaan papan pemuka Yaris Cross mengingatkan kita pada rekaan yang terdapat pada model-model DNGA lain (Ativa dan Axia), di mana ia lebih berorientasikan pemandu.
Anda boleh melihat kelengkapan seperti skrin 10.1 inci yang sengaja dihadapkan ke arah pemandu, diikuti dengan corong pendingin hawa, dan butang kawalan iklim pada bahagian bawah.
Untuk pemandu disediakan tempat duduk larasan elektrik (pertama di dalam kelasnya), roda stereng dengan rekaan yang hampir sama dengan model DNGA lain, dan skrin kluster digital sebesar tujuh inci.
Ciri lain termasuklah kemasan hitam piano, fabrik lembut dengan jahitan kontras biru serta kemasan seakan satin yang mampu mencipta pengalaman kabin yang berkualiti tinggi.
6. Ciri keselamatan
Bergantung kepada spesifikasi, Yaris Cross boleh dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Pemantauan Titik Buta (BSM), Brek Parkir Elektrik dengan fungsi Auto Hold, serta sistem pemantauan keliling (PVM).
SUV urban ini turut menerima ciri T Intouch, serta kelengkapan keselamatan pemandu termaju Toyota Safety Sense (TSS).