Tatkala rakan senegaranya, Kia mengkritik keghairahan para pengeluar untuk tampil dengan skrin paparan bersaiz gergasi di dalam kenderaan, Hyundai pula mengambil pendekatan berbeza.
Merujuk kepada gambar konsep yang dipamerkan oleh Hyundai , digelar sebagai "masa hadapan kokpit kenderaan", Hyundai menunjukkan rekaan stereng yang dilengkapi dengan dua skrin sesentuh yang diletakkan berdekatan dengan lokasi ibu jari pemandu.
Skrin sentuh dengan gerak balas haptik ini boleh dikonfigurasikan sehingga lima tetapan yang berbeza untuk sesebuah skrin menjadikan ia lebih mesra pengguna bergantung kepada keperluan.
Tidak cukup dengan dua skrin di stereng dan sebuah skrin paparan besar di tengah, Hyundai turut melengkapkan kluster meter digital dwi-lapis yang membentuk paparan seakan tiga dimensi.
Menariknya, Hyundai memilih untuk menggunakan model i30 sebagai model perintis dan bukannya model kelas mercu sebagaimana lazimnya tindakan yang diambil oleh pengeluar lain.
Menurut Regina Kaiser, Ketua Jurutera Unit Antaramuka Mesin Manusia Hyundai berkata, model i30 dipilih untuk memberikan gambaran bahawa teknologi terkini ini tidaklah terhada kepada segmen kelas tertinggi semata-mata.
"Hyundai mahu menjadikan teknologi termaju ini dinikmati oleh semua golongan pengguna," tambah beliau.