Tahukah anda kenapa Toyota 86 memiliki kuasa yang agak 'lembik'? Ini jawapannya.

oleh Afandi Che Muhamad|
Toyota 86. Sebut sahaja nama berkenaan pasti membawa kita mengimbas kembali model versi terdahulu, Toyota AE86.

Masih berkongsi persamaan, model ikonik Toyota tersebut kekal dipacu nadi enjin flat-empat cuma tujahan kuasa masing-masing sedikit berlainan.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Jika dahulu, Toyota AE86 merekodkan hamburan kuasa setinggi 128Hp. Lain halnya pula bagi model versi baharu ini, ia berupaya meledakkan puncak kuasa maksima mencecah 197Hp.

Ternyata, model itu sudah menerima banyak penambahbaikan.

Sekali pun dinaik taraf, kuasa yang dihasilkan Toyota 86 baharu itu disifatkan sebagai 'kurang' memuaskan berbanding pesaing sekelasnya yang lain seperti Subaru BRZ.

Perkara itu diakui Ketua Jurutera Toyota 86 sendiri, Tetsuya Tada (gambar) dalam satu kenyataan kepada Road and Track pada Jumaat lepas.

Menurut Tetsuya, model sport itu sengaja disuntik dengan jumlah kuasa tersebut kerana fokus utama mereka ketika itu adalah elemen atau ciri pengendalian yang menyeronokkan dan bukannya prestasi.

"Ketika ia mula dilancarkan dahulu, kami pernah dihujani pelbagai persoalan terutamanya mengenai prestasi kuasa dimiliki Toyota 86 baharu ini.

"Jawapannya ringkas. Toyota 86 baharu digarap dengan ciri pemanduan menyeronokkan kerana itu lebih penting kepada kami berbanding kuasa," katanya

Mengulas lanjut, Tetsuya memberitahu bukan mudah untuk memaksimakan prestasi enjin bagi Toyota 86.

Jelas Tetsuya, pihaknya perlu mereka semula platform baharu untuk Toyota 86 supaya ia berupaya menggalas kapasiti kuasa lebih tinggi daripada itu.

Dengan menggunakan platform sedia ada (sekarang), itu sahaja kemampuan mampu dihasilkan model berkenaan.

Tutur Tetsuya lagi, model tersebut akan hilang keseimbangan jika kapasiti kuasa berlebihan daripada jumlah yang dihadkan dikenakan ke atasnya.

Tambahnya, kejuruteraan Toyota kini sedang mempertimbangkan sama ada ingin mengekalkan kuasa Toyota 86 atau tidak.

Sementara itu, pihaknya sudah mengambil pendekatan lain bagi menutup kekurangan dimiliki model berkenaan menerusi pengenalan model Supra baharu.

Berita Berkenaan

Berita Global
  Sejak diperkenal di Australia pada 2020, sebanyak 2,591 buah GR Yaris terjual termasuk 1,001…
Berita Global
Tidak seperti kebanyakkan jenama lain yang ke arah elektrifikasi atau tenaga baharu, Subaru kini…
Berita Domestik
Dengan pencapaian jumlah jualan April itu, angka jualan tahun 2024 UMW Toyota kini mencatatkan…