Tarif insurans baharu - pemandu berhemah akan dapat premium lebih murah

oleh HEZERI SAMSURI|

Lagi beberapa jam sahaja industri automotif negara akan masuk ke lembaran baharu bila Bank Negara akan membenarkan syarikat insurans dan takaful memberikan pilihan pakej dengan harga yang berlainan untuk pelan insurans kenderaan.

Bila ini dibincangkan, perkara pertama yang akan diucapkan dari mulut kebanyakan orang ramai ialah perasaan berang kerana harga premium akan meningkat naik.

Selepas dikejutkan dengan GST, cukai pelancongan, nilai matawang yang jatuh dan harga minyak global, reaksi tersebut memang dijangka. Jangan risau, ambil nafas dan beristighfar kerana masih ada lagi "nur" di dalam hidup kita ini.

Sekiranya anda seorang pemandu yang tidak berdisiplin, sering mendapat surat saman kerana kesalahan trafik, memandu dengan cuai dan tidak langsung mengendahkan keadaan kenderaan anda, memang anda perlu mengeluh kerana tarif insurans baharu akan mengenakan penalti kepada anda dengan kadar premium yang lebih tinggi.

 

angry driver

 

Untuk mereka yang memandu secara berhemah, tidak pernah mendapat saman kerana akur dengan undang-undang keselamatan jalanraya, mengambil inisiatif untuk memastikan kenderaan dalam keadaan sempurna dan selamat, anda akan mendapat habuan dalam bentuk kadar premium yang sama dengan sebelum ini atau mungkin, lebih rendah.

Tarif insurans kenderaan yang baharu ini lebih mementingkan risiko yang bakal diterima oleh syarikat insurans atau takaful.

Fasa pertama tarif baharu ini hanya membenarkan perbezaan harga sebanyak 10 peratus agar ia tidak begitu mengejutkan pasaran. Ia juga akan hanya mengambil kira beberapa faktor sahaja tetapi selepas setahun, jika semuanya berjalan lancar, tarif insurans akan dibuka dengan lebih meluas dan akan merangkumi lebih banyak faktor-faktor risiko.

Sebenarnya, sebelum kita marah, harga premium insurans akan tetap meningkat walaupun tarif lama digunakan.

Ini ialah kerana kadar risiko yang semakin meningkat dan jumlah tuntutan yang semakin tinggi.

Tarif baharu memberikan kita pengguna pilihan atau option agar kita mampu memilih pakej insurans mana yang lebih sesuai dengan kita.

 

muslim lady driver
Gambar hiasan - ini bukan ibu saya!

 

Contohnya, ibu saya yang tinggal di kampung memandu kereta model A. Beliau memandu hanya 10,000 km setahun, kereta disimpan di dalam garaj di rumah dan beliau tidak pernah disaman. 

Premium insurans untuk ibu saya pastinya tidak boleh sama nilai dengan Encik Z yang memandu model yang sama, tinggal di apartment di bandar, kereta diparkir di tepi jalanraya, memandu 40,000 km setahun dan mendapat 8 surat saman kerana memandu dengan laju tahun lalu.

Encik Z pasti mempunyai premium insurans yang lebih tinggi dan ini adil kerana risiko yang diberikan oleh Encik Z kepada syarikat insurans jauh lebih tinggi dari ibu saya.

Selama ini, pemandu yang berdisiplin langsung tidak mendapat apa-apa faedah, kecuali diskaun NCB. 

Begitu juga dengan pemilik kenderaan yang cermat - contohnya yang sanggup berbelanja lebih untuk sistem penggera tambahan, atau yang membayar lebih agar kenderaan disimpan di kawasan yang selamat, tidak mendapat apa-apa faedah kewangan.

 

parked car
Syarikat insurans mungkin hendak tahu di mana anda tinggalkan kenderaan anda setiap hari.

 

Kali ini, syarikat insurans akan mengambil tahu akan faktor-faktor tersebut dan akan memberi premium yang lebih kompetitif.

Namun begitu, Bank Negara juga perlu melihat akan permasalahan pemilik-pemilik kenderaan yang berada di dalam risiko yang tinggi bukan kerana faktor yang disengajakan.

Contohnya:

1. Mereka yang tinggal di kawasan mudah berlakunya banjir. 
Syarikat insurans dan takaful perlu memberikan mereka alternatif atau pilihan agar mereka mampu mendapat nilai insurans yang kompetitif juga.
Mungkin, sistem amaran banjir untuk alihkan kenderaan jika air naik ataupun mereka yang dapat membuktikan kenderaan mereka diletakkan di tempat yang selamat.

2. Mereka yang tinggal di kawasan tiada parkir khusus.
Syarikat insurans dan takaful mungkin boleh memberikan sedikit diskaun sekiranya mereka membuktikan kenderaan mereka dipasang dengan sistem penggera tambahan agar lebih sukar dicuri.

3. Kenderaan-kenderaan lama
Sekiranya kenderaan lama itu dibeli secara tunai, ia mungkin diberikan insurans Third Party sahaja tetapi jika mereka mahukan insurans komprehensif, perlu ada pakej yang sesuai untuk mereka. Contohnya, menghadkan jarak perbatuan setahun, atau pemeriksaan berkala untuk memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.

4. Pemilik motosikal
Untuk pemilik superbike, secara amnya mereka ini mampu untuk merendahkan risiko dengan menaiki kenderaan empat roda.
Untuk mereka yang memang hanya mempunyai motosikal sebagai pengangkutan utama, harga premium insurans perlu dikawal agar ia kekal mampu. 
Insurans Third Party sahaja tidak mencukupi kerana sekiranya mereka berhutang, syarikat kewangan akan memerlukan insurans komprehensif atau First Party. 
Risiko motosikal memang nyata lebih tinggi dan diharapkan premium untuk kategori ini dikaji agar masih mampu untuk pemiliknya.

 

kapchai
Kepentingan pemilik motosikal berkuasa rendah yang menggunakannya sebagai mod pengangkutan utama perlu diberi perhatian.

 

Secara am, saya menyokong perubahan ini kerana ia memberikan kita pilihan untuk pakej yang paling sesuai dengan kegunaan kita.

Tidak lagi kita cuma bandingkan syarikat insurans mana akan memberikan payung atau sunshade percuma tetapi sekarang kita kena lebih rajin lagi untuk mengkaji pakej yang sesuai.

Yang termurah bukan semestinya yang terbaik, dan inilah peluang untuk kita menghukum syarikat insurans yang mempunyai perkhidmatan pelanggan yang kurang memuaskan hati.

Jazakumullah khairan kathira.


 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ini menghairankan kerana brek adalah antara komponen utama mana-mana kenderaan. Pihak insuran…
Informasi
Insurans kenderaan atau Compulsory Motor Insurance adalah wajib bagi semua kenderaan yang hendak…
Uncategorized
Cerita-cerita mengenai ragam rakyat kita memasuki Thailand memang ada banyak dikongsi oleh orang…