Perkara tersebut dijelaskan pengilang motosikal berlesen berkenaan ketika dihubungi Careta hari ini.
Jurucakap DNC Asiatic Holdings, Muhammad Zamry Abu Samah (gambar) berkata, inisiatif menjalankan pemasangan tempatan (CKD) itu diambil selepas melihatkan potensi besar pasaran di Malaysia.
"Malaysia akan dijadikan sebagai hab pemasangan Adiva di Asia Tenggara berikutan memiliki kelebihan tersendiri berbanding negara jiran lain seperti Thailand.
"Sebagai permulaan, tiga model Adiva menjalani prosedur CKD tersebut seperti model AD1 3W 125/200, AD2 400 dan AD3 400," katanya.
Zamry yang juga merupakan Pengarah Urusan Moto Varase Asiatic (subsidiari DNC Asiatic Holdings) itu memberitahu, kesemua model berkenaan menjalani pemasangan di fasiliti pengeluaran di Olak Lempit, Banting, Selangor dan bakal ditawarkan untuk pasaran domestik menjelang September depan.
Ketika diminta mengulas soal harga asas yang bakal ditawarkan untuk model Adiva Malaysia tersebut, Zamry menjelaskan bahawa pihaknya memberikan bayangan harga bawah RM20,000 seunit bagi model 200cc (AD1 3W 125/200).
Sementara bagi model AD2 400 dan AD3 400 pula, harga yang ditawarkan dalam lingkungan RM40,000 seunit.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web rasmi Adiva di www.adiva-world.com.