Sistem hibrid ringan itu menampilkan motor elektrik tunggal yang mampu menambah 16 hp dan 65 Nm sebagai bantuan untuk nadi diesel 2.8 liter berkuasa 201 hp dan 500 Nm itu.
Teknologi yang sama turut diberikan pada trak pikap Hilux pasaran Australia menerusi kehadiran model facelift terbaharu untuk tahun 2024.
Menurut Toyota Australia, teknologi 48 voltan itu adalah standard untuk varian 4x4 Rogue dan kabin berkembar SR5, sementara varian kabin berkembar 4x4 SR pula ditawarkan sebagai satu opsyen.
Dengan adanya trenkuasa tersebut, ia dikatakan menyumbang kepada penjimatan bahan api 6 hingga 10 peratus bergantung kepada varian, selain menjadikan operasi enjin yang lebih lancar.
Semua varian Mild Hybrid itu turut dilengkapi dengan ciri Multi-Terrain Select yang menawarkan sehingga enam mod pemanduan.
Selain daripada teknologi hibrid ringan, Toyota turut mengemaskini rupa paras Hilux facelift ini dengan rekaan jeriji baharu tanpa kemasan krom, kemasan corak sarang lebah, bukaan liang bawah berbentuk trapezoid, serta perumah lampu kabus yang lebih garang.
Bergantung kepada varian, Hilux facelift ini turut mendapat ciri seperti peredam untuk pintu tailgate, penderia parkir depan dan belakang, kawalan iklim dua zon automatik, pengecas peranti pintar tanpa wayar diikuti slot pengecasan USB-C untuk tempat duduk belakang.
Toyota Hilux 2024 facelift ini akan mula mendarat di pusat pameran Toyota di seluruh Australia pada Mac ini, dengan harga jualan untuk versi hibrid ringan bermula dari AU$54,130 hingga AU$71,530 (RM167,288 - RM221,063).