Toyota Harrier generasi keempat ini hadir dengan penawaran enjin hibrid A25A-FXS empat silinder sebaris Dynamic Force bersesaran 2,487 cc (178 PS/221 Nm) dan motor elektrik yang mampu menjana 120 PS dan 202 Nm yang memacu roda hadapan serta sistem transmisi CVT elektrik.
Sebuah lagi enjin aspirasi natural ditawarkan iaitu enjin Dynamic Force bersesaran 1,986 cc yang mampu menghasilkan 171 PS dan 207 Nm serta digandingkan dengan transmisi Direct Shift-CVT.
Dari segi dimensi, Toyota Harrier membawakan dimensi sepanjang 4,740 mm, tinggi 1,660 mm, lebar 1,855 mm manakala jarak kelegaan tanah pula adalah setinggi 195 mm.
Dibangunkan atas platform TNGA (GA-K), Toyota Harrier baharu ini menerima tetapan suspensi MacPherson di hadapan dan double-wishbone di belakang.
Geometri sistem suspensi ini juga turut dioptimasikan bagi memberikan perasaan pemanduan yang lebih seimbang serta dilengkapkan dengan ciri Active Cornering Assist (ACA) bagi mengurangkan keadaan understeer ketika mengambil selekoh.
Ciri keselamatan turut tidak dilupakan dengan ciri Toyota Safety Sense yang merangkumi komponen seperti sistem keselamatan pra-pelanggaran serta sistem pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal
Ciri lain seperti Intelligent Clearance Sonar dan Parking Support Brake (Stationary Object) hadir bagi mengurangkan kesan teruk akibat pelanggaran ketika pemanduan berkelajuan rendah terutama di kawasan parkir.
Buat pertama kalinya, ciri Digital Inner Mirror diperlihatkan pada kenderaan Toyota yang mampu untuk merakam pemanduan di hadapan dan belakang.
Sistem intotainmen pula dilengkapkan dengan ciri T-Connect dengan skrin sentuh bersaiz 12.3 inci yang menawarkan SmartDeviceLink (SDL), sambungan kepada peranti pintar, sistem navigasi serta sistem audio premium JBL dengan sembilan pembesar suara.
Manakala model hibrid pula didatangkan dengan slot kuasa 100 voltan (AC)/1,500 watt slot aksesori yang mampu membenarkan penggunaan alat elektrik yang biasa digunakan di rumah, serta berfungsi sebagai alat penjana kuasa terutama ketika saat kecemasan.