Serentak dengan itu, beliau turut memperlihatkan secara rasmi jentera yang bakal memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba drift handalan yang lain, iaitu Toyota GR Supra!
Apa yang pasti, untuk bertanding di dalam acara berprestij tersebut, GR Supra itu tidaklah dibiarkan dengan spesifikasi standard kilang.
Enjin asal BMW telah dihukum buang negara dan digantikan dengan nadi bentangan V8 Toyota berkapasiti 4.4 liter dan dengan kod nama 3UZ-FE - enjin yang pernah mendiami model Lexus seperti Lexus SC 430/Toyota Soarer dan juga Toyota Crown Majesta.
Enjin yang berupaya menghasilkan sehingga 305 PS dan 441 Nm dalam keadaan standard telah menjalani modifikasi ekstrem bagi membolehkan Supra ini memberikan saingan sengit dalam D1GP.
Perincian modifikasi tersebut tidak dinyatakan, namun menurut laman The Motorsports People, enjin asal 3UZ-FE itu digandingkan dengan turbo Garrett G42 supaya mampu mengekstrak sehingga 1,000 kuasa kuda yang memacu roda belakang.
Selain daripada itu, Supra ini juga turut menerima kit badan lebar daripada HKS dengan ukuran 60 mm hadapan dan 90 mm lebar, serta set rim Gram Lights 57 FXZ daripada RAYS.
Akhir sekali, Toyota Supra V8 ini dilayangkan dengan warna ikonik Evangelion Racing.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Tengku Djan, nantikan aksi sulung Toyota Supra V8 ini pada pusingan D1GP Ibuki bertarikh 23-24 Julai kelak.
Sumber: The Motorsports People