Pada perlumbaan ini, Toyota menampilkan tiga jentera lumba iaitu:
-ORC ROOKIE GR86 CNF, GR86 yang menggunakan bahan api neutral karbon
-ORC ROOKIE GR Corolla H2, Corolla berkuasa hidrogen
-CP ROOKIE PRIUS CNF-HEV GR, Prius HEV yang menggunakan bahan api neutral karbon.
Ketiga-tiga jentera tersebut berjaya menamatkan saingan yang berlangsung selama 10 jam itu di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 22 dan 23 Disember 2023 yang lalu.
Toyota menggunakan hidrogen keluaran Thailand iaitu Charoen Pokphand Group (CP), rakan kongsi yang bekerjasama untuk mencapai visi masyarakat neutral karbon di negara tersebut.
Visi dan mesej Toyota menyertai perlumbaan itu adalah untuk cuba menunjukkan hidrogen dan hibrid sebagai pilihan neutral karbon serta memperluaskan pilihan neutral karbon dalam sukan permotoran.
Dalam perlumbaan tersebut, jentera GR86 dan Prius menggunakan bahan api neutral karbon manakala sebahagian enjin hidrogen Corolla menggunakan hidrogen yang dibuat dengan biogas janaan baja ayam daripada ladang ayam CP.
Sebelum hari perlumbaan endurance itu berlangsung, Toyota Motor Thailand Co. Ltd mengadakan GR Festival 2023 pada 19 Disember di Bangkok, Thailand.
Di festival tersebut, pemandu dari ROOKIE Racing, Toyota Gazoo Racing Team Thailand dan D1 mengambil bahagian dalam persembahan pasukan, perlumbaan masa terpantas dan pertunjukan drift.
PENULIS : FIRDAUS RAZANI