Volkswagen Golf Variant, Alltrack 2021 dilancarkan

oleh Mohamad Hanif|
Melengkapkan lagi penawaran keluarga Golf sedia ada adalah pengenalan model wagon yang dinamakan sebagai Golf Variant serta versi crossover Golf Alltrack 2021 seperti yang dilancarkan secara senyap oleh Volkswagen baru-baru ini.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Jika dibandingkan dengan model Golf Variant yang terdahulu, Golf Variant 2021 datang dengan dimensi yang lebih panjang iaitu 4,630 mm dengan jarak antara roda 2,686 mm.

 


Penambahan dimensi ini sekaligus menjadikan ruang kabin yang lebih luas, di mana ruang kaki bertambah sebanyak 38 mm dan ruang kargo membesar menjadi 611 liter daripada kapasiti asal 605 liter.

Dengan tempat duduk belakang dibaringkan, Golf Variant mampu menawarkan ruang sehingga 1,642 liter.

 


Selain daripada kelengkapan standard yang terdapat pada Golf biasa, Golf Variant membawakan ciri tambahan seperti tailgate yang boleh dioperasikan tanpa bantuan tangan, ruang kargo yang menampilkan cangkuk beg dan cincin pengikat, soket 12 volt dan soket kuasa 230 volt.

Penawaran enjin juga adalah serupa, dan difahamkan Golf Variant akan didatangkan dalam versi pantas Golf R Variant dilengkapi enjin 2.0 liter dan sistem pacuan semua roda 4Motion.

 


Beralih kepada model Golf Alltrack 2021, secara ringkasnya ia membawakan reka bentuk yang sama dengan Variant, namun dengan jarak kelegaan tanah yang ditinggikan, pemasangan cladding plastik hitam dan sistem pacuan semua roda 4Motion.


Khusus untuk model Alltrack, tempat duduk baris hadapan didatangkan dengan kemasan jahitan 'Alltrack', selain daripada kelengkapan standard seperti Digital Cockpit dan skrin infotainmen bersaiz 8.25 inci, stereng berbilang fungsi, sistem kawalan iklim zon tunggal automatik, serta sistem bantuan mula Press & Drive.

 


Selain daripada penawaran beberapa versi enjin, Golf Alltrack mempunyai keupayaan untuk menarik beban seberat 2,000 kg maksimum.

Model wagon ternyata popular di benua Eropah, di mana ia bakal dijual menjelang akhir tahun ini manakala pasaran lain bakal menyusul pada tahun hadapan.