Zenvo Aurora Agil dan Aurora Tur, sama tapi berbeza, dibuat untuk litar dan jalan raya

oleh Muhammad Md Tajudin|
Zenvo Aurora Agil 2023
Zenvo Aurora Agil 2023
Denzo Automotive dari Denmark bukan sahaja tampil dengan sebuah tapi dua buah model kereta hiper sekaligus.

Denzo Aurora Agil dibuat untuk litar manakala Aurora Tur dibangunkan buat pemilik yang mahu menikmati pemanduan jarak jauh (touring).

Nama kedua-dua model itu mudah untuk diterjemah dengan Aurora merujuk kepada aurora borealis. Tur bermaksud touring dan Agil adalah agile di dalam bahasa Denmark.

Jika aurora borealis perlu dikejar, kedua-dua aurora dalam bentuk kereta hiper ini mengejar dan dikejar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Zenvo Aurora Agil dan Tur 2023

 

Aurora direka oleh Ketua Pereka Zenzo, Christian Brandt dan membawa falsafah form follows function.

Agil direka terlebih dahulu dan kedua-dua model menggunakan monokok karbon modular Zenvo ZM1. 

Agil dan Tur digerakkan enjin 6.6 liter V12 yang dipasang pada bahagian tengah kereta dan dibangunkan MAHLE Powertrain dengan empat turbo dan motor elektrik.

Enjin dengan pemasaan injap boleh ubah mempunyai putaran maksimum 9,800 rpm dan menggunakan takungan kering. Motor elektrik bersepadu menghasilkan 200bhp.

 

Zenvo Aurora Agil dan Tur 2023

 

Kedua-dua model menggunakan kotak gear kacukan dengan tujuh kelajuan. 

Unit itu menggabungkan gear undur elektrik dan penghidup enjin elektrik pada bahagian motor penghidup tradisional dan lebih baik dari segi kecekapan.dan berat.

Kotak gear dengan aci tunggal menjadikan tukaran gear lebih lancar dan redaman tukaran gear elektronik boleh dilaras dari dalam kereta.

Transmisi kereta turut dipadan dengan pembeza elektrik (e-differential) dengan setiap e-motor menghasilkan 150 kilowatt (kW).

Aurora Agil

 

Zenvo Aurora Agil 2023

 

Agil dibuat untuk litar dengan badan yang lebih ringan. Bawah kereta dilengkapi perkakasan aerodinamik jenis aktif dan spoiler belakang dengan fungsi brek udara.

Spoiler bampar depan, dapra dan bilah tepi berbeza dengan Tur dan begitu juga rim magnesium. 

Rim buatan khas Zenvo itu boleh dipadan dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 atau Cup 2R saiz 265/35-20 di depan dan 325/30-21 di belakang.

 

Zenvo Aurora Agil 2023

 

Bahagian luar yang agresif digabung dengan dalaman ringkas dan berat kering Agil tidak sampai 1,300 kilogram (kg).

Komponen dalaman dihiasi karbon terdedah dan kerusi dibalut bahan ringan termasuk beberapa bahagian pintu dan papan pemuka.

Rekaan badan agresif menyumbang kepada daya mendap 880 kg pada kelajuan 365 kilometer sejam (km/j).

 

Zenvo Aurora Agil 2023

 

Enjin 6.6 liter Agil memacu roda belakang atau pembeli boleh memesan pacuan empat roda. 

Dari segi kuasa, enjin Agil menghasilkan 1,250bhp dengan e-motor 200 bhp dan secara keseluruhannya menghamburkan 1,450 bhp dan tork 1,400Nm.

Daya pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya perlu 2.5 saat.

Aurora Tur

 

Zenvo Aurora Tur 2023

 

Berbeza dengan Agil, Tur dibuat lebih sopan sesuai dengan kegunaannya sebagai kereta touring. Bahagian dalam Tur lebih mewah selain penambahan penebat bunyi.

Menariknya, pekali seretan Tur lebih rendah berbanding Agil. Ciri aerodinamik bawah badan Tur dipadan dengan saluran sayap belakang jenis aktif untuk lebih stabil.

Tur didatangkan dengan sistem pacuan empat roda yang memberi lebih cengkaman dan lebih mudah untuk pemandu mengeksploitasi kuasa.

 

Zenvo Aurora Tur 2023

 

Tambahan e-motor pada setiap roda menghasilkan 200 bhp. Maknanya, output gabungan Tur menghasilkan 1,850 bhp dan tork sekuat 1,700Nm.

Walaupun dengan berat 1,450 kg, bentuk badan yang lebih cekap aerodinamik membantu Tur memecut sehingga 450 km/j.

Pecutan 0 hingga 100 km/j hanya perlu 2.3 saat atau 0.2 saat lebih pantas berbanding Agil.

Ketangkasan sebenar boleh dilihat pada pecutan 0 hingga 300 km/j Tur mengambil masa sembilan saat dan bertambah lagi satu saat untuk Agil.

 

Zenvo Aurora Tur 2023

 

Kedua-dua Agil dan Tur menggunakan suspensi buatan khas dengan rod tunjal dan bentangan double wishbones dengan pegas aktif untuk larasan ketegaran.

Berbeza dengan Agil, Tur dipasang rim aluminium Zenvo saiz 9.5 inci x 20 inci di depan dan 12.5 inci x 21 inci di belakang.

Selain berkongsi ukuran, rim Tur dipakaikan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 dengan saiz sama seperti Agil. 

 

Zenvo Aurora Tur 2023

 

Kedua-dua model juga menggunakan cakera brek seramik karbon.

Seperti biasa kereta begini dikeluarkan dalam jumlah terhad dan hanya 100 unit sahaja Aurora ditawarkan.

Jumlah Agil dan Tur dibahagi sama rata dan pengeluaran bermula pada 2026.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Zenvo Aurora Tur 2023