Bismillahirrohmanirrohim.
Saya mengaku.
Saya memang seorang yang penakut.
Kerana itu, sebelum saya memandu, saya amalkan tabiat berjalan di sekitar kenderaan untuk memeriksa tayar dan keadaan fizikal kenderaan.
Saya periksa motosikal, helmet, sarung tangan, tayar dan brek sebelum saya menunggang.
Saya pastikan palang penghadang pada tempat duduk roller-coaster saya tidak mampu terbuka.
Saya pastikan alatan bantuan seperti pam elektrik, tayar simpanan dan komponen alatganti trak saya dalam keadaan baik sebelum meredah hutan dan sungai.
Kerana terlalu takut, saya pecahkan tabung untuk membeli kompresor udara di rumah agar tekanan udara dalam tayar kenderaan saya sentiasa dalam keadaan optimum, supaya selekoh-selekoh boleh diambil dengan lebih selamat.
Dan ketika saya melakukan terjunan bungee di Afrika Selatan dahulu, saya bertanyakan kepada operator di situ berapa tali bungee yang digunakan dan adakah kedua-duanya telah ditukar kepada yang baharu. Sampai naik meluat operator itu.
[caption id="attachment_17144" align="aligncenter" width="1000"] Cabaran menunggang 1,500 km di Colombia.[/caption]
Sifat penakut saya terbawa-bawa ke Colombia tempoh hari, di mana setiap hari saya memeriksa keadaan motosikal dan keadaan cuaca, agar ikhtiar saya itu dibalas Allah dengan memberikan saya laluan yang selamat dalam ekspedisi yang sangat mencabar itu.
Perasaan takut bukanlah sesuatu yang buruk. Malah, sekiranya anda mengadakan acara sukan bermotor atau motorsport, anda sepatutnya berfikir apakah yang paling buruk boleh berlaku, dan bagaimana ikhtiar anda untuk mengatasinya kerana risiko yang anda hadapi bukan setakat kehilangan wang ringgit, tetapi nyawa manusia.
Sayangnya, dalam banyak kes, nyawa diketepikan. Sikap “Insya Allah semua okay” digunakan terlalu kerap sehingga kita lupa, maksud ungkapan nama Allah itu bermakna kita berjanji denganNya untuk berusaha dan berikhtiar sebaik mungkin.
[caption id="attachment_17141" align="aligncenter" width="960"] Gambar diambil dari laman sosial WhatsApp.[/caption]
Kejadian go-kart semalam di Kuantan semasa Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 semalam di Indera Mahkota, Kuantan mengingatkan saya kepada peristiwa drag-race di Putrajaya beberapa tahun lalu.
Kepada rakan-rakan rapat, pasti anda ingat bagaimana saya diugut oleh seorang individu kerana saya terlalu lantang mengecam kejadian tersebut. Sampaikan saya terpaksa membuat laporan polis.
Sama juga dengan tragedi semalam. Memang saya meroyan, baik di media sosial, mahupun di dalam perbualan bersama rakan-rakan di WhatsApp ; tetapi saya meroyan kerana bersebab - sebab saya tidak mahu ia berlaku lagi.
Kejadian di EIMARace pada pendapat saya lebih teruk dari kejadian di dragrace Putrajaya kerana dua nyawa yang terkorban dan sebagai seorang ayah kepada empat orang anak, rasa sedih dan hiba mengenangkan anak yang tidak tahu apa-apa itu meninggal dunia kerana kecederaan serius.
Sayang sekali, kenyataan akhbar UTM yang saya baca menampakkan bahawa pihak universiti ini masih kurang faham betapa sensitif dan seriusnya isu ini. Sebaliknya, UTM berkali-kali menekankan keadaan litar dan keselamatannya telah disahkan oleh pihak MAM dan juga kegagalan Rela untuk mengawal orang ramai.
Mungkin saya perlu berkongsi informasi sedikit kepada tuan Profesor.
Dalam apa kejadian sekalipun, tuan tanah yang perlu bertanggung-jawab. Tindakan “blame shifting” yang dilakukan pada pendapat saya adalah satu tindakan refleks yang murahan dan tidak sepatutnya terbit dari sebuah universiti yang antara tersohor di negara.
Mungkin latihan dalam Public Relation kurang dan mungkin ia satu tindakan knee-jerk reaction namun begitu, seorang yang memegang pangkat yang tinggi di dalam hieraki masyarakat sepatutnya mampu berfikir dengan lebih baik berbanding dengan seorang wartawan cabuk.
Apa pun, saya tidak langsung mahu menuding jari tetapi mari kita kaji fakta-fakta yang saya dapat kumpulkan dari rakan-rakan lain, sumber-sumber dalaman dan juga dari acara itu sendiri.
- Nama acara: Educational Innovation of Motorsports and Automotive Race 2016 (EIMARace 2016)
- Penganjur: Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia International Campus, Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur
- Disahkan oleh Motorsport Association of Malaysia (MAM), Sepang International Circuit
- Jenis acara: Perlumbaan kenderaan yang direka dan dibina oleh pelajar untuk tujuan pendidikan
- Status peserta - Kelab dengan jemputan
- Penaja utama acara - Kerajaan Pahang (RM100,000), Tourism Pahang (RM50,000), kerajaan Malaysia (RM200,000), Modenas (dua buah enjin sebagai hadiah)
- Yayasan Makmur menjadi event organiser acara tersebut
- Acara tersebut tidak perlu pengesahan AAM kerana MAM diberikan pengiktirafan sebagai badan yang boleh mengesahkan aktiviti motorsports pada peringkat grassroots.
- Acara lengkap dengan insuran minima yang akan melindungi pengunjung
- MAM menggunakan khidmat pegawai-pegawai keselamtan litar yang berpengalaman (Formula1, MotoGP, etc)
- Atas desakan MAM kerana faktor keselamatan, pihak penganjur mengubah litar sebanyak tiga kali sehingga MAM berpuas hati
- Pihak penganjur berjanji untuk memastikan kawasan-kawasan tertentu ditutup untuk orang ramai.
- Pihak penganjur berjanji untuk menyediakan lebih banyak penghadang air.
- Pihak penganjur berjanji untuk menyediakan lebih ramai anggota Rela
- Pihak penganjur berjanji untuk mengalihkan kenderaan-kenderaan awam yang diletakkan terlalu hampir dengan litar.
- Sehari sebelum itu, satu kemalangan berlaku di mana pelumba cedera kerana terbabas dan melanggar kenderaan yang diletakan berhampiran litar (lihat video tersebut di Facebook Careta)
- Penghadang air atau water barrier dibenarkan untuk digunakan dalam acara ini, mungkin kerana faktor kos
- Beberapa penghadang air dibiarkan kosong di beberapa kawasan untuk memudahkan penganjur menarik kenderaan rosak keluar dari litar.
- Pada hari kejadian, orang awam dapat masuk ke kawasan tragedi melalui lorong lain dan tidak menghiraukan tali pita keselamatan yang direntangkan
- Orang awam berada di kawasan tragedi sebelum kemalangan berlaku
- Perlumbaan tetap diteruskan walaupun orang ramai sudah berada di kawasan larangan dan berisiko tinggi
- Tiga kenderaan lumba bergesel antara satu sama lain dan satu hilang kawalan dan meluncur keluar menghala ke tempat mangsa-mangsa sedang menonton (video juga ada di Facebook Careta)
- Perlumbaan EIMARace ini bukan dianjurkan pertama kali dan selama ini tiada kes kemalangan besar yang terjadi.
- Walaupun kenderaan yang dilumbakan bergerak perlahan, ia masih merbahaya untuk penonton.
- Perlumbaan yang dilakukan di dalam litar sebenar lebih terjamin keselamatan penonton.
- Kos untuk membuat perlumbaan di jalan awam sebenarnya jauh lebih tinggi dari kos penganjuran perlumbaan di litar.
- Perlumbaan EIMARace kali ini dianjurkan di Pahang sempena sambutan Visit Pahang Year 2017 yang nampaknya hanya mendapat publisiti kuat di dalam negeri Pahang, oleh penduduk Pahang sendiri, yang mungkin sudah puas melawat negeri itu pun. Maaf, itu perasan saya warga Pahang yang sudah mempromosikan negeri saya ini bertahun-tahun lamanya.