10 tips memilih baju hujan motosikal

oleh SALINA JALIL|
Kepada kita yang menunggang, baju hujan ialah satu aksesori wajib kerana negara kita memang sering hujan. Zaman dahulu, baju hujan yang popular ialah dari jenis jaket panjang ala poncho dari plastik hitam dengan butang di depan dan bila disimpan di dalam bakul Honda C70 kita, tetapi ia melekat kerana panas matahari.


MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Kemudian kita ada baju hujan satu suit lengkap dengan seluar, dari plastik juga, datang dalam warna merah darah ikan (maroon) atau biru muda.

 

Tak sampai tiga bulan, ia bocor di pelipat kelengkang dan seluar kita basah di kawasan itu sahaja. Sekarang ini, kita ada pelbagai jenama yang menghasilkan baju hujan - dari jenama terkemuka yang mampu milik seperti Givi, jenama-jenama mahal yang diimport, jenama-jenama tempatan dan jenama-jenama cetak rompak.

 

Dari pengalaman kami, tidak semestinya yang mahal itu baik kerana hujan di negara kita lebih lebat dari hujan di Eropah dan baju hujan untuk benua itu tidak begitu sesuai. Di sini kami kongsikan sepuluh tips mengenai baju hujan untuk motosikal. 

 

 

1. Bawa jaket menunggang anda bila membeli baju hujan 

 

Baju hujan tidak ada pad pelindung. Oleh itu, baju hujan dipakai di ATAS jaket menunggang kita. Cari saiz baju hujan yang boleh memuatkan anda dan jaket anda.

 

2. Kaki seluar hujan - perlu muat boot/kasut menunggang 

 

Seluar hujan perlu mempunyai velcro atau zip untuk melaraskan pinggang dan kaki seluar. Pakai boot menunggang anda dan pastikan seluar hujan boleh di pakai di luar boot, bukan dimasukkan ke dalam kerana itu akan membuat air hujan mengalir ke dalam boot.

 

3. Kolar boleh laras 

 

Pastikan bahagian kolar ada velcro untuk mengetatkan kawasan leher agar air tidak masuk. Ada juga jenis baju hujan yang ada sekali dengan hood kepala (seperti gambar di atas). Ini lebih baik kerana anda boleh tutup kepala dengan hood itu dan pakai helmet di atasnya. Cara itu memang menyukarkan air untuk masuk.

 

4. Poket luar 

 

Lebih baik jika baju hujan mempunyai poket kalis air kerana kad kredit atau kad ATM serta rokok atau barang-barang kecil lain boleh disimpan di situ. Jadi tidak perlulah anda membuka baju hujan untuk mencari duit mengisi bahan api. Jangan letak telefon bimbit kerana risiko air menitik masuk tetap wujud.

 

5. Pergelangan tangan boleh laras 

 

Pastikan ada velcro atau zip untuk mengetatkan bahagian pergelangan tangan baju hujan agar lekat rapat dengan sarung tangan anda. Bahagian pergelangan tangan yang longgar akan membolehkan air hujan masuk dengan jayanya.

 

6. Warna terang sentiasa lebih bagus 

 

Jika anda pilihan, cari baju hujan dengan warna paling cerah, seperti warna fluorescent kuning (high-visibility colour) agar pengguna jalanraya lain nampak anda dengan jelas. Ya, warna hitam nampak lebih cool tetapi nyawa lebih penting.

 

7. Ubah posisi menunggang 

 

Bila menunggang di dalam hujan, pastikan anda bergerak sekali-sekala di atas tempat duduk untuk memastikan air tidak bertakung di bahagian kelengkang atau perut. Ini akan mengurangkan risiko air masuk. 

 

 

 

8. Ada pelapik (flap) pada zip hadapan 

 

Pastikan ada pelapik yang besar dengan velcro pada pelapik zip hadapan. Ia adalah kawasan yang sering dimasuki air dan ia membezakan baju hujan yang baik atau tidak.

 

 

9. Jangan malas - jemur bila basah 

 

Selepas menggunakan baju hujan, sidai dan keringkan sebelum anda menyimpannya kembali di motosikal. Jika baju hujan basah dilipat dan terus disimpan, anda akan menyumpah dengan bau masam/kepam/busuk baju itu bila anda mahu menggunakannya kelak.

 

 

10. Jangan terlalu yakin 

 

Jangan terlalu percaya label “waterproof” pada jaket menunggang. Selalunya, jaket penunggang tidak mampu memberi ketahanan dari basah seratus peratus.

 

Oleh itu, dari pengalaman Hezeri Samsuri sendiri, sediakan beg plastik dan bungkus henfon atau alat elektronik anda sebelum disimpan di dalam poket “waterproof”.

 

Baju hujan buatan luar untuk pasaran barat selalunya tidak tahan panas bila disimpan di dalam motosikal, dan ia tidak cukup kalis air untuk hujan Malaysia yang jauh lagi lebat dari hujan mereka.

 

Bagi pendapat Hezeri sendiri, baju hujan jenama Givi adalah antara yang terbaik di pasaran tempatan dan harganya tidak terlalu mahal.

 

Namun begitu, ia sangat panas dan tidak sesuai untuk dipakai berterusan di bawah matahari. Dan sentiasa menyimpan segulung pita pelekat atau duct tape kerana baju hujan yang bocor boleh dibaiki untuk sementara waktu dengan pita tersebut.

 

duck tape

Berita Berkenaan

Informasi
Penggunaan bateri tersebut digunakan oleh kenderaan terkini kerana tenaga tersebut sedikit sebanyak…
Tekno Careta
  Ini termasuklah cara-cara membersihkan kenderaan kita, dari syampu kenderaan sampailah segala…
Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, pengeluar itu dikatakan menghantar emel berbentuk tips kepada…