13 strategi PLUS tangani kesesakan Hari Raya tahun ini!

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Setiap hari rangkaian Lebuhraya PLUS akan menerima 1.4 juta kenderaan menyusuri laluannya.
 
Musim perayaan tahun ini, PLUS mensasarkan sebanyak 1.7 juta kenderaan akan berada di atas lebuhraya tersebut, peningkatan setinggi 21 peratus berbanding hari biasa.
 
Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, lebuhraya PLUS memang tidak direka untuk mengendali kenderaan sejumlah itu.
 
"Kesesakan pasti berlaku, tetapi kami akan mencuba beberapa strategi bagi memastikan orang ramai mampu menikmati perjalanan yang lebih selesa, lancar dan paling penting, selamat di musim perayaan ini," ujar beliau di satu majlis bersama media tadi.
 
Di bawah kami senaraikan 13 strategi-strategi yang bakal anda saksikan di lebuhraya PLUS ketika Hari Raya nanti.
 
Lokasi jem

 

1. Jangkaan jumlah trafik di lebuhraya mengikut kawasan.

Ini akan memberikan pengguna jangkaan kawasan yang akan sibuk.

Untuk yang dikira veteran pulang berhari raya, kajian ini cuma membuktikan pengetahuan pengguna veteran itu benar.

Lokasi Jem

 

2. Cadangan Waktu Perjalanan oleh PLUS.

Cadangan Waktu Perjalanan atau TTA (Travel Time Advisory) sentiasa diberikan oleh PLUS dan sekiranya ia diikuti, insya Allah kesesakan dapat dikurangkan.

Untuk tahun ini, TTA dipermudahkan agar senang diingati.

  • Dari 21 Jun hingga 3 Julai, kendraan dari Lembah Klang yang hendak ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, sila bertolak sebelum jam 10.00 pagi.
  • Untuk negeri-negeri lain, bertolaklah selepas jam 10.00 pagi.
  • Bagi mereka dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor yang mahu ke Lembah Klang, bergeraklah anda sebelum 10.00 pagi.
  • Bagi lain-lain negeri yang mahu ke Lembah Klang, bertolaklah anda selepas jam 10.00 pagi.
TTA poster
 
Pihak PLUS sangat mengharapkan agar pengguna mampu menuruti TTA itu.
 
Menurut Azman, sekiranya lebih 60 peratus pengguna mengikuti TTA, kesesakan akan menurun dengan kadar yang sangat baik.
 
Sayangnya, hasil kajian di bawah masih lagi menunjukan bahawa masih ramai pengguna di Malaysia yang tidak hiraukan TTA.
 
Mungkin mereka mahu merasakan sedikit keperitan sahabat-sahabat kita yang mahu pulang ke Kelantan.
 
Peratusan menuruti TTA

 

3. Rebat tol 30 peratus untuk pemegang kad PlusMiles.

Untuk menarik orang ramai menggunakan lebuhraya pada hari-hari bukan puncak, PLUS memberikan rebat 30 peratus untuk mereka yang menggunakan kad PLUSMiles.

Enam hari beruntung itu ialah pada 19, 20, 21, 28, 29 Jun dan 3 Julai.

Rebat 10 peratus pula akan diberikan kepada pemegang kad Touch n Go biasa pada tarikh-tarikh yang sama.

Rebat ini tidak diberikan untuk tol plaza di Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

Ingat, rebat bermaksud anda masih perlu membayar harga yang sama tetapi bila anda mahu lakukan top-up, nilai rebat akan dimasukkan ke kad anda.

Rebat hanya boleh dilakukan antara 15 Julai sehingga 14 Oktober. Diharapkan di masa hadapan, rebat ini boleh dipermudahkan agar nampak lebih ikhlas.

4. Penutupan semua 134 lorong tambah-nilai di plaza tol.
 
Ramai yang mengeluh tetapi PLUS mempunyai sebab yang sangat logik.
 
Setiap transaksi tambah-nilai mengambil masa purata 3 minit, dan di masa perayaan, ia mampu menyebabkan kesesakan sejauh 2 kilometer. Ya, jauh.
 
Kesemua lorong tambah-nilai akan ditutup dari 22 Jun sehingga 2 Julai.
 
Tambahan tempat tambah nilai

 

 
5. PLUS tambah pusat tambah nilai.
 
Untuk menggantikan lorong-lorong tambah-nilai yang ditutup, PLUS memastikan sejumlah 9,200 lokasi tambah-nilai yang lain beroperasi.
 
Ini termasuk:
 
  • Stesen-stesen minyak Shell, Petronas dan Caltex,
  • Pusat membeli belah seperti Alamanda, Paradigm Mall, Suria KLCC, Pavillion KL, Nu Sentral dan Subang Parade.
  • Kedai-kedai serbaneka dan farmasi Watson, Tesco, kedai KK, Cold Storage, Guardian, Caring, Giant dan 7-Eleven serta kedai buku MPH.
event
 
6. Tambahan lebih 50 kaunter tambah-nilai di lebuhraya
 
PLUS menambah sebanyak lebih dari 50 kaunter tambah-nilai di R&R di sepanjang lebuhraya.
 
Waktu operasi khidmat pelanggan di 30 plaza tol pula akan dipanjangkan dari 7 malam sehingga 10 malam, setiap hari.
 
Kesemua kaunter tambah-nilai PLUS tidak dikenakan sebarang caj.
 
7. Penambah-baikan operasi fasiliti dan 2,000 kakitangan
 
PLUS menugaskan lebih kurang 2,000 kakitangan di plaza-plaza tol dan R&R, meletakan trak-trak makanan (food truck), menyediakan tandas dan tangki air tambahan, menambah ruang parkir dan sebagainya bagi memastikan keadaan di R&R terjaga.
 
Emergency Response Team

 

 
8. Memastikan tempoh tindakbalas kecemasan kekal 20 minit
 
PLUS memastikan tempoh untuk pasukan kecemasan tiba di lokasi kejadian kekal 20 minit, biarpun dengan peningkatan pengguna semasa musim perayaan ini.
 
Ini dilakukan dengan penambahan kakitangan kecemasan, pasukan tindakbalas atas motosikal, penambahan trak tunda dan juga kren-kren mengalihkan kenderaan kemalangan yang menjadi punca kesesakan.
 
Sebanyak 24 lokasi dipilih untuk menjadi stesen pasukan kecemasan dan 810 ahli disediakan khusus untuk objektif ini.
 
Pasukan ini juga bersedia 24 jam sehari.
 
in a glance

 

 
9. Cadangan laluan kontra jika kesesakan memuncak
 
PLUS juga sudah bersedia untuk melakukan laluan kontra di lokasi-lokasi tertentu sekiranya kesesakan jalanraya memuncak.
 
Antara lokasi ialah kawasan Terowong Menora - Kuala Kangsar, Simpang Pulai-Gopeng, Tapah-Bidor, Ladang Bikam, SLim River, Sungkai, Rawang, Sungai Buloh, Seremban dan Senawang.
 
Perlu diingatkan pengaktifan laluan kontra ialah atas keadaan trafik dan kebenaran pihak polis.
 
10. Larangan kenderaan berat
 
PLUS juga mengadakan larangan kenderaan berat di atas laluan miliknya.
 
Tarikh larangan kenderaan berat ialah pada 23 dan 24 Julai serta pada 1 dan 2 Julai.
 
Kenderaan berat adalah antara punca kesesakan, terutama ketika di laluan mendaki. Contohnya, cubalah laluan antara Pagoh ke Kempas. Dinasihatkan bawa tasbih untuk berzikir bagi menahan kesabaran anda.
 
stop work

 

 
11.Pemberhentian sebarang kerja disepanjang lebuhraya
 
PLUS menghentikan segala kerja-kerja pembaikan dan lain-lain agar semua laluan dibuka dari 18 Jun hingga 2 Julai (15 hari).
 
12. Sistem informasi terkini
 
PLUS juga meminta pengguna mendapatkan informasi keadaan lalulintas terkini melalui platform-platform informasi mereka seperti PLUS Mobile Apps, Twitter di PLUSTrafik dan LLMinfotrafik atau talian PLUSLine di 1-800-88-0000.
 
Untuk yang sudah memasuki lebuhraya, papan-papan tanda digital yang diletakkan di sepanjang laluan jangan pula tidak dihiraukan ya!
 
13. Butang SOS di PLUS Mobile Apps
 
Sekiranya anda ada memuat-turun applikasi PLUS Mobile, pihak lebuhraya telah menambah satu butang SOS yang memudahkan anda menerima bantuan.
 
Anda perlu melakukan update untuk aplikasi tersebut dan harapnya ia telah siap kerana ia baharu dilancarkan tadi dan pihak Google Android dan IOS mungkin memerlukan masa untuk menaikan update itu.

Di bawah ialah ringkasan gambaran antara strategi yang dilakukan nanti.
 description of TTA and others

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Rawi, masalah utama Smart Lane ialah ramai pengguna yang tidak tahu laluan kecemasan di…
Berita Domestik
Sehubungan dengan itu, pihak PLUS akan mengaktifkan SmartLane di 14 lokasi tumpuan trafik…
Berita Domestik
MyPLUS-TTA merupakan sebuah aplikasi berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan…