
Rekaan Hadapan Serba Baharu
Bahagian paling menonjol pada Navara baharu ini ialah reka bentuk hadapan yang sepenuhnya berubah. Gril besar berbentuk kotak direka dengan karakter lebih agresif, diapit lampu LED berkembar gaya Patrol dan bampar yang diinspirasikan oleh bull bar. Profil badan dan binaan panel sisi sebahagiannya masih mengekalkan elemen Triton, namun lampu belakang kini mendapat grafik LED berbentuk C khas Nissan.


Untuk varian Pro-4X, Navara tampil lebih garang dengan kemasan Lava Red, arch fender yang lebih lebar, sports bar, rim aloi hitam dan perincian off-road lain. Nissan turut menawarkan rangkaian aksesori lengkap termasuk steel bull bar, kanopi, snorkel dan penutup kargo.

Varian Pro-4X Warrior Turut Diperkenalkan
Nissan turut mempertontonkan konsep Navara Pro-4X Warrior oleh Premcar, yang bakal menjadi varian paling tinggi. Versi ini menerima peningkatan off-road melibatkan lampu tambahan, bash plate Lava Red, tayar 32.2 inci, rim beadlock bersaiz 17 inci serta talaan suspensi yang menaikkan jarak kelegaan tanah sebanyak 14 milimeter.




Platform Triton Dengan Peningkatan Kejuruteraan
Navara dibangunkan menggunakan casis ladder-frame Mitsubishi Triton dan menjadi model Nissan pertama yang menggunakan sistem electric power steering baharu. Selain casis yang lebih kukuh, suspensi turut mendapat talaan khusus Premcar untuk memenuhi keadaan jalan Australia.

Di bawah hud, Navara menggunakan enjin turbodiesel 2.4 liter biturbo dengan 201 hp dan 470 Nm. Prestasinya meningkat berbanding generasi terdahulu namun turut mencatat kecekapan lebih baik dengan penggunaan bahan api sekitar 7.7 l/100 km. Varian lebih tinggi menawarkan mod pemanduan yang boleh dipilih serta sistem Super 4WD, menyerupai Mitsubishi Super Select 4WD-II lengkap dengan limited-slip differential dan center differential berkunci. Kapasiti menunda 3,500 kg dan muatan maksimum 1,000 kg menempatkan Navara setanding dengan pesaing utama segmen ini.




Pendekatan Mengikut Pasaran Serantau
Hubungan kerjasama dalam segmen pikap bukan perkara baharu. Ford Ranger dan Volkswagen Amarok dibangunkan bersama, manakala Mazda BT-50 berkongsi kejuruteraan dengan Isuzu D-Max. Nissan dan Mitsubishi kini turut mengikut pendekatan sama dengan kombinasi model Triton dan Navara generasi baharu bagi mengurangkan kos pembangunan serta memperluaskan penawaran global.
Menariknya, Navara untuk Australia dan New Zealand ini dibangunkan sepenuhnya berasingan daripada Navara untuk Amerika Selatan, Frontier untuk Amerika Utara, serta Frontier Pro untuk pasaran China. Walaupun mensasarkan segmen yang sama, keperluan pasaran serantau masih menentukan konfigurasi dan spesifikasi setiap model.