Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, kebakaran EV dianggap antara cabaran terbesar kerana risiko tinggi semasa operasi memadam api. Antara kaedah berkesan yang digunakan ialah selimut kebakaran (fire blanket), selain air dan buih.
Langkah Bomba Tangani Kebakaran EV
Susulan pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai keperluan membekalkan selimut kebakaran ke balai bomba di bandar utama, Aiman Athirah menjelaskan sebanyak 318 unit selimut kebakaran bernilai RM915,000 telah diperoleh tahun ini untuk diagihkan ke balai terpilih di seluruh negara.

Selain itu, Bomba juga menerima 30 unit selimut kebakaran daripada Persatuan Kenderaan Pelepasan Sifar Malaysia (MyZEVA), yang diedarkan secara berperingkat sejak Disember 2024 hingga 13 Mei 2025.
Kajian Peralatan Tambahan
Tambah beliau, Bomba sedang meneliti penggunaan agen penyejuk dan bekas rendaman (immersion container) sebagai peralatan alternatif dalam menangani kebakaran EV.
Buat masa ini, air masih menjadi agen utama untuk menyejukkan bateri EV yang terbakar, bagi mengurangkan tahap haba sekali gus mengelakkan api merebak ke kawasan lain. Bagaimanapun, kaedah lain seperti serbuk kering, agen bersih (clean agent) dan gas lengai (inert gas) tidak sesuai untuk kawasan terbuka kerana memerlukan konsep ‘total flooding’ untuk berfungsi dengan berkesan.
Sumber: paultan.org