28 stesen LRT dengan dua laluan bakal dibina di Ipoh

oleh SALINA JALIL|
Gambar fail/BERNAMA
Sebanyak 28 stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dicadang bakal dibangunkan di Bandar Raya Ipoh, dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer (km).


Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di dalam laman webnya hari ini, cadangan projek mewujudkan perkhidmatan LRT itu melibatkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Laluan Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah meliputi jarak laluan sejauh 30km, manakala laluan Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai pula sejauh 28km dan kekerapan perkhidmatan adalah selama enam minit.

 

Stesen laluan pertama yang dirangka ialah di Meru Raya, Jelapang, Manjoi, Silibin, Medan Kidd, stesen utama, UTC Ipoh, Pasir Puteh, Pasir Pinji, Falim, Menglembu, Pengkalan, Station 18, Lahat, Batu Gajah Perdana dan Batu Gajah.

 

Sementara stesen laluan kedua pula ialah di Bandar Sunway, Tambun, Ipoh Garden, Stadium, Hospital, Medan Raya kemudian melalui stesen utama dan ke stesen Maju Rapat, Medan Gopeng, Gunung Rapat, Taman Chempaka, Ampang dan Simpang Pulai.

 

Menurut infografik dikeluarkan MBI, perkhidmatan LRT itu akan menghubungkan antara bandar-bandar utama di dalam kawasan Bandar Raya Ipoh dan dijangka menjadi pilihan utama terutamanya penduduk tempatan untuk bergerak termasuk ke tempat kerja.

 

Laluan perkhidmatan LRT yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan barat dan timur Ipoh, secara tidak langsung mampu menyumbang kepada pertumbuhan semula ekonomi selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar raya.

 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilaporkan berkata sebagai permulaan, hab pengangkutan itu akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 60 hektar, di sekitar Stesen Keretapi Ipoh di Ipoh.

 

Nolee Ashilin berkata selain LRT, hab pengangkutan bersepadu itu akan disokong dengan kemudahan bas rapid transit, trem, bas serta teksi, bagi meningkatkan mobiliti penduduk dan pelancong namun kos dan tempoh pembinaan hab pengangkutan itu masih dalam peringkat kajian.

 

 

-- BERNAMA

 

 

 

Berita Berkenaan

Informasi
Menurut Prasarana, operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula jam 6.30 pagi…
Informasi
"Serentak dengan pembukaan semula laluan antara kedua-dua stesen tersebut, kekerapan tren pada…
Berita Domestik
Selepas lebih setahun ditutup, kini perkhidmatan LRT laluan Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya…