#2Kerja - kerja sambilan yang dilakukan oleh syarikat automotif sedunia

oleh Mohamad Hanif|
Bayangkan anda sebagai seorang pegawai kerajaan yang tersepit dengan kenaikan harga barangan, dengan gaji yang cukup-cukup makan untuk melayan karenah isteri, ahli keluarga dan juga sebuah kereta buatan tempatan dengan kit badan lebar kaki tempang, pekerjaan tunggal sahaja tidak mencukupi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jadi, anda sanggup melakukan apa jua kerja - menjadi pemandu Grab, memotong rumput jiran - demi memastikan tahap kehidupan anda terjamin sepanjang bulan tanpa perlu risau mengira duit syiling sambil memasak mee segera sebelum gaji masuk. 

Sebab itu saranan #2kerja yang dilaungkan oleh menteri terdahulu ada benarnya, hendak selesa kenalah cari duit lebih. 

Saranan #2kerja ini juga terpakai kepada syarikat-syarikat pengeluar automotif ternama di mana mereka juga melakukan kerja sampingan di samping meneruskan usaha memperkenalkan kereta-kereta terkini kepada umum. 

Jadi, hujung minggu ini marilah kita sama-sama pelajari apakah kerja sambilan yang dilakukan oleh para pengeluar automotif di dunia.

 

Alpina - Pengeluar arak


Lebih dikenali sebagai sebuah syarikat penala bagi kenderaan BMW, Alpina juga sebenarnya terkenal di dalam bidang perusahaan arak yang diperoleh daripada Eropah, US dan juga Amerika Selatan. 

 

Audi - pembikin peneroka bulan


Sebagai sebuah pengeluar kenderaan mewah di Jerman, Audi juga turut mempunyai kerja sambilan sebagai pembikin peneroka bulan (lunar rover), lengkap dengan sistem pacuan semua roda (Quattro)!.

 

Bentley - syarikat perabot


Sebagai sebuah syarikat yang hanya menghasikan 11,000 unit kenderaan setahun, sudah tentu para pekerjanya bosan kerana bilangan produksi yang begitu sedikit, 'memaksa' mereka menghasilkan perabot tersendiri seperti sofa, meja, kerusi dan katil menerusi jenama Bentley Home. 

Jadi, apa yang anda dapat pada sebuah kenderaan Bentley, itulah kualiti yang sama anda akan dapat pada perabot buatan mereka. 

Sebagai contoh, kerusi yang dibina daripada binaan kayu veneer dan kulit yang sama pada sebuah Mulsanne berharga $29,000 (harga sebuah Ford Ranger Wildtrak 4x4)!

 

Bentley - kedai makan


Restoran Bentley ini terletak di Arabia dan dimiliki oleh chef British yang terulung, Colin Clague. 

Untuk makan di restoran yang terletak pada ketinggian 1,934 meter dari aras laut ini, anda perlu menempah dengan masa menunggu kira-kira tujuh hari. 

 

Chevrolet - pembikin rumah kelawar


Menggunakan bahan terbuang daripada bateri lithium ion serta bahan terpakai daripada Volt EV, Chevrolet telah membina kira-kira 700 buah tempat perlindungan bagi kelawar dan juga burung di 40 buah habitat seluruh benua Amerika. 

 

Honda - mesin rumput


Selain daripada mesin Type R yang berjaya memecah rekod kelajuan beberapa litar utama di Eropah, Honda juga sebenarnya memproduksikan barangan berasaskan kuasa seperti mesin rumput. 

Bahkan Honda juga pernah memecahkan rekod mesin rumput terpantas di dunia suatu ketika dahulu. Berkat menyahut cabaran #2kerja.

 

Lamborghini - pengeluar traktor pertanian


Lamborghini sebagaimana yang kita maklum memulakan operasi sebagai sebuah pengeluar traktor sebelum menceburkan diri secara serius dalam bidang supercar. 

Tidak seperti kacang lupakan kulit, Lamborghini kini masih menghasilkan barisan traktor seperti Mach VRT 250 yang dijana enjin 6.0 liter enam silinder sebaris ini mampu menghasilkan daya kilas 980 Nm, dengan keupayaan untuk mengangkat beban sebanyak enam buah Huracan. 

 

McLaren - basikal lumba


Basikal McLaren ini juga bukan calang-calang basikal, diperbuat daripada gentian karbon sepenuhnya dengan pengetahuan know-how McLaren di dalam bidang kereta pantas. 

 

Mitsubishi - LRT


Mitsubishi Heavy Industries banyak berkecimpung di dalam bidang-bidang lain seperti aeroangkasa, syarikat penghasil barangan elektrik, mesin industri dan juga kapal perang. 

Selain daripada itu, Mitsubishi Heavy Industries juga menghasilkan Automated People Mover (APM), sebuah sistem LRT tanpa pemandu yang dikhususkan untuk kegunaan di lapangan terbang. 

 

Porsche - madu


Bukan madu tiruan yang boleh didapati di sesetengah pasar pagi, Porsche menjual madu sebenar yang diperoleh daripada pusat pengumpulan di Leipzig dengan purata penghasilan kira-kira 1,000 kg madu setiap tahun. 

Pun begitu, sebagaimana kereta pantas Porsche, madu Porsche juga sebenarnya begitu pantas (baca: laris) terjual dan malangnya tidak terdapat di mana-mana Tesco dan 7-eleven berhampiran anda. 

 

Peugeot - alat pengisar lada


PSP Peugeot SAS merupakan nama disebalik jenama Peugeot Saveurs, pembikin peralatan pengisar lada, cili, garam, kopi dan juga barangan seperti cockscrews dan gelas arak. 

 

Rolls Royce - enjin jet


Tahukah anda, selain daripada kereta mewah, Rolls-Royce juga menghasilkan enjin kapal terbang untuk Airbus, Boeing sehinggalah kepada enjin jet pejuang bagi Eurofighter Typhoon?

Kini anda tahu. 

 

Saab - jet pejuang


Selain daripada Rolls-Royce, Saab juga sebenarnya terlibat di dalam industri yang sama dan mereka pernah menjual kenderaan di bawah slogan "born from jets". 

Walaupun operasi dalam bidang automotif sudah lama dihentikan, Saab AB masih memproduksikan jet pejuang serta barangan berasaskan ketenteraan sehingga kini. 

 


Subaru - industri aeroangkasa helikopter


Dinamakan sebagai Subaru Bell 412 EPX, helikopter ini merupakan versi komersil yang dibina berasaskan helikopter military UH-X bagi menggantikan helikopter pengangkut utiliti UH-1J yang digunakan oleh pasukan tentera darat Jepun (Japan Ground Self-Defense Force). 

 

Tesla - panel solar

 

Tesla kini tidak hanya menghasilkan kereta elektrik, malah mereka turut sama memproduksikan panel solar dan bank kuasa Powerwall, satu pakej yang lengkap untuk kegunaan kediaman. 

 

Toyota - Kapal Layar


Toyota memberikan fokus yang khusus kepada bidang automotif kenderaan seperti kereta dan trak, dan tidak ketinggalan, industri kapal layar. 

Namun, tidak seperti kereta jenama Toyota, kapal layar ini hanya eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja. 

 

Volkswagen - pengusaha sosej sejak 45 tahun lalu


Pada tahun yang sama Volkswagen Passat generasi pertama dilancarkan (1973), Volkswagen juga menjalankan perniagaan menjual sosej currywurst - salah sebuah jenis sosej yang popular di pasaran sana. 

Untuk rekod, Volkswagen menghasilkan 18,000 unit sosej untuk sehari dibantu oleh 30 orang pekerja di Wolfsburg.

Menariknya, Volkswagen melayan taraf sosej ini sama seperti alat ganti kenderaan yang lain, dengan kod nombor 199 398 500 A di dalam katalog Volkswagen Originalteil - ditengah-tengah antara kod wiper dan juga lug nuts. 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini bermakna, syarikat-syarikat ini bukan sekadar membuat dan memasang kenderaan, malah turut…
Berita Global
Baca: #2kerja: Kerja Sambilan yang dilakukan oleh pengeluar automotif Akan tetapi, perabot yang…
Gaya Hidup
Selain daripada menghasilkan supercar terpantas di dunia Chiron, Bugatti juga sebenarnya terlibat…