3 cara untuk tahu anda tak ditipu pusat servis kenderan

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Kes penipuan di mana minyak pelincir enjin dan penapisnya tidak diganti semasa kenderaan diservis memang pernah berlaku.

Rakan penulis, A. Ramesh, seorang pemilik bengkel kenderaan premium berkata pemilik bengkel tidak akan melakukannya, tetapi pekerja-pekerjanya mungkin.

"Mereka boleh menyimpan minyak pelincir itu untuk dijual di luar. Ini mungkin berlaku sekiranya pusat servis tersebut masih menggunakan botol pelincir dan bukan dari tong dram.

Sama juga dengan penapis minyak pelincir, di mana mereka boleh menjualnya di luar," terang beliau.

Ini disokong oleh penulis yang juga pernah mendengar masalah yang sama dari sebuah syarikat kenderaan sendiri.

Ramesh juga berkata beliau pernah menjadi mangsa pusat servis rasmi bila menghantar trak pikap baharu beliau untuk diservis. Trak pikap Ramesh datang dari jenama global yang popular.

"Apa yang berlaku ialah saya buktikan minyak pelincir dan penapis minyak pelincir saya tidak ditukar dan kes itu berakhir dengan kakitangan pusat servis itu meminta maaf kepada saya tetapi beliau tetap dipecat," ujar Ramesh.

"Nasib beliau masih baik kerana saya tidak membuat laporan polis," tambahnya.

Ramesh kemudian berkongsi dengan Careta tiga cara yang boleh anda lakukan untuk memastikan anda tidak ditipu.

 

 

1. Ambil gambar

  • Tarik keluar tolok sukat (dip stick) pelincir enjin dan ambil gambar warna pelincir itu. Kenderaan yang perlu diservis akan mempunyai minyak pelincir enjin yang berwarna kehitaman kerana ia sudah kotor. 
  • Ini juga boleh dilakukan untuk penapis udara anda. 
  • Periksa kedua-dua perkara ini selepas kenderaan anda telah diservis.

 

 

2. Buat tanda rahsia

  • Pastikan anda tahu di mana penapis minyak pelincir anda dan gunakan pen warna untuk membuat tanda yang kecil pada penapis itu.
  • Pastikan tanda yang anda buat itu tidak begitu kelihatan; mungkin satu titik kecil menggunakan "marker" hitam.
  • Ambil gambar sebagai bukti. 
  • Selepas kenderaan diservis, periksa kembali penapis itu. 

 

 

3. Pergi ke pusat servis yang membenarkan anda melihat kenderaan anda diservis

  • Ada pusat servis yang mempunyai tingkap besar untuk membenarkan pelanggan melihat kenderaan mereka diservis. Anda perlu bersabar dan menunggu giliran kenderaan anda untuk diservis dan ia mungkin memakan masa.
  • Apa pun, ia lebih baik dari meminta kakitangan servis menunjukan bekas penapis minyak pelincir yang lama kerana ia mungkin datang dari kenderaan lain.

Dengan jumlah kenderaan yang dihantar ke pusat servis semakin meningkat, penjagaan kualiti semakin sukar dan kerana komponen yang diganti bukanlah sesuatu yang mudah dilihat dan diperiksa oleh pemilik kenderaan biasa, peluang berlakunya penipuan turut tinggi.

Walaupun setiap syarikat kenderaan mempunyai pemeriksaan kualiti pusat servis dan SOP yang ketat, risiko masih wujud.

Mahu atau tidak, pemilik perlu berusaha sedikit untuk memastikan mereka tidak tertipu kerana kos servis bukanlah semakin murah.

Apapun, selalu pergi ke pusat servis yang rasmi dan selalu baca komen-komen pengguna dari Google (contoh di bawah) atau media sosial berkaitan pusat servis anda. 

 

 

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Sepanjang pengalaman saya di dalam bidang ini, Proton sering beruntung kerana dapat berselindung di…
Berita Domestik
Dibina atas tanah berkeluasan 38,323 kaki persegi, pusat pameran Autohaus Asbenz Langkawi mempunyai…
Berita Domestik
Atas dasar ingin membantu, Scrut Auto kini melanjutkan tempoh operasi mereka sehingga ke 10 malam…