5 ciri menarik Acura NSX Type S, guna turbo kereta lumba!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Acura NSX Type S
Acura NSX Type S
Acura NSX mewarisi legasi hebat dari Honda NSX, model sport 90-an yang masih dikagumi dan diminati sehingga hari ini.

Acura NSX generasi kedua dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) 2015 dan mula berada di jalanan pada tahun 2016.

Sejarah NSX generasi kedua sebenarnya bermula lebih lama atau seawal tahun 2007 apabila Honda Amerika mengumumkan pelancaran model pengganti pada tahun 2010.

Cabaran ekonomi dunia membantutkan perancangan model itu hingga NSX generasi kedua diumumkan pada Disember 2011 dengan versi konsep dipertontonkan pada NAIAS 2012.

Satu fakta menarik mengenai generasi kedua ialah akronim NSX yang bertukar dari New Sportscar Experimental kepada New Sports Experience.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Acura NSX Type S

 

Berbeza dengan model terdahulu, NSX generasi kedua direka dan direkayasa (engineered) di Ohio, Amerika Syarikat.

NSX generasi kedua sememangnya menarik, reka bentuk moden dan agresif cuma sambutan kurang hebat.

Apakah puncanya? Harga tinggi? Atau enjin hibrid yang diperkenalkan terlalu awal untuk pengguna?

Faktor itu dilihat relevan memandangkan hero Jepun lain seperti Nissan GTR dan Toyota Supra baharu pun masih menggunakan enjin konvensional.

Bukan setakat kereta buatan Jepun, pengeluar kereta super dari Itali juga belum serius dalam menawarkan nadi hibrid semasa NSX diperkenalkan.

 

Acura NSX Type S

 

Menariknya dari lebih 2,800 jualan global, majoriti besar atau 1,814 unit dibeli oleh pelanggan Amerika Syarikat.

Di sebalik cabaran tersebut, Acura mengejutkan peminat automotif dengan memperkenalkan NSX Type S.

Model ini bukan sahaja mengalami perubahan kosmetik tetapi hadir dengan komponen mekanikal baharu.

Berikut ialah lima ciri menarik Acura NSX Type S 2021:

1. Enjin 3.5 liter V6 hibrid dengan pengecas turbo dari kereta lumba GT3

 

Acura NSX Type S

 

NSX Type S masih mengekalkan enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar dengan tiga motor hibrid. Walaupun sama, kuasa enjin hibrid itu meningkat kepada 600 hp dan tork 667 Nm.

Kuasa asal kombinasi dengan motor elektrik ialah 573 hp dan tork 645 Nm. Angka baharu itu merupakan tertinggi untuk mana-mana model Acura di pasaran.

Di antara perubahan yang dibuat ialah:

  • Penyuntik minyak baharu dengan 25 peratus kadar aliran lebih tinggi.
  • Intercooler baharu yang mampu menyingkir 15 peratus tambahan haba.
  • Pengecas turbo sama seperti kereta lumba NSX GT3 Evo yang menaikkan tekanan puncak boost sebanyak 5.6 peratus atau dari 15.2 psi kepada 16.1 psi.
  • Kuasa enjin hibrid meningkat dari 573 hp kepada 600 hp dan tork 645 Nm kepada 667 Nm.
  • Nisbah gear Unit Motor Berkembar (TMU) yang menggerakkan roda depan dan sistem active torque vectoring direndahkan kepada 10.382:1 daripada 8.050:1

 

Acura NSX Type S

 

  • Nisbah 20 peratus lebih rendah itu meningkatkan daya tujahan NSX Type dan menjadikan permulaan pemanduan lebih berkuasa.
  • Unit Kuasa Pintar (IPU) lebih cekap dengan output bateri bertambah 10 peratus dan kadar boleh guna bateri (kapasiti) 20 peratus lebih tinggi.
  • Output dan kapasiti lebih tinggi membolehkan jurutera menala semula motor elektrik bagi meningkatkan prestasi dan menambah jarak pemanduan elektrik.

NSX Type S mempunyai empat seleksi pemanduan iaitu Quiet, Sport, Sport+ dan Track yang memberikan tetapan dan karakter berbeza.

 

Acura NSX Type S

 

2. Transmisi DCT sembilan kelajuan

Nadi hibrid NSX Type S dipadan bersama transmisi dua klac (DCT) sembilan kelajuan yang telah ditala semula untuk lebih prestasi.

Di antara ciri baharu ialah Mod Tukaran Gear Rendah Pantas (Rapid Downshift Mode) yang menjadikan tukaran gear rendah automatik lebih agresif.

Tukaran gear atas (upshift) juga lebih pantas dalam mode Sport dan Sport+ dan aras putaran enjin (rev threshold) lebih tinggi untuk penurunan gear dalam mod Track.

Dalam mod Sport, Sport+ dan Track, fungsi Tukaran Gear Rendah Pantas membolehkan pemandu melangkau beberapa gear.

Caranya ialah dengan menahan pedal tukaran gear (downshift paddle) tanpa perlu menurunkan gear seperti biasa.

Apabila pedal ditahan (pegang) selama 0.6 saat, sistem transmisi akan memilih gear terendah yang paling munasabah mengikut kelajuan kereta.

 

Acura NSX Type S

 

Fungsi ini mengurangkan masa untuk menukar gear seperti biasa dan membolehkan pemandu menggunakan pedal minyak dengan lebih cepat.

Pengaturcaraan baharu transmisi meningkatkan lagi respon penukaran gear ke atas dalam mod Sport dan Sport+.

Klac dicekam sehingga 50 peratus lebih pantas sebaik sahaja pedal digunakan dan mempertingkatkan lagi pecutan kereta.

Satu lagi ciri ialah apabila pemandu tidak menggunakan pedal gear dalam mod Sport+, transmisi akan menurunkan gear hampir serta merta sebaik sahaja pedal brek ditekan.

Fungsi ini sangat berguna apabila kereta diperlahankan semasa menghampiri selekoh dan membolehkan kereta dipecut dengan lebih pantas untuk keluar dari selekoh.

Karakter transmisi dalam mod Track turut dipertingkatkan di mana penurunan gear dibuat lebih awal apabila aras putaran enjin dinaikkan kepada 1,500 rpm.

3. Tayar Pirelli P-Zero buatan khas

 

Acura NSX Type S

 

Pirelli mengeluarkan tayar P-Zero eksklusif untuk NSX Type S dan menjadi kelaziman untuk kereta super begini menggunakan tayar khas.

Tayar ini dibuat menggunakan kaedah pemodelan canggih hasil daripada pengalaman dalam sukan permotoran.

Tayar depan didatangkan dengan saiz 245/35ZR19 dan 305/30ZR20 dengan corak bunga asimetrik (tak simetri/setara) untuk kejituan stereng dan kestabilan bahagian belakang.

Ianya turut memberi cengkaman tinggi dalam keadaan basah dan kering.

Kompaun bunga tayar (bahan pembuatan) jenis Ultra High Performance pula memberikan prestasi cemerlang untuk pengendalian dan pembrekan.

 

Acura NSX Type S

 

Selain pertambahan lebar track depan (+0.4 inci) dan belakang kereta (+0.8 inci), tayar ini menyumbang enam peratus peningkatan cengkaman sisian (lateral).

Di sebalik prestasi tersebut, satu ciri menonjol ialah tanda HO pada sisi tayar yang menyatakan ianya dibangunkan khas bersama Acura bagi meningkatkan lagi prestasi NSX Type S.

4. Mod Senyap (Quiet modeGuna tenaga elektrik 100 peratus

Mod ini walaupun namanya senyap memberikan pecutan yang lebih hebat untuk pemanduan dari statik.

Karakter ini disumbang oleh peningkatan kapasiti dan output bateri dan penggearan (gearing) TMU (Unit Motor Berkembar) yang lebih rendah.

Kapasiti dan output bateri lebih tinggi juga bermakna NSX Type S boleh dipandu menggunakan tenaga elektrik dengan lebih jauh.

Selain itu, Kawalan Bunyi Kemasukan (Intake Sound Control/ISC) diprogramkan untuk bunyi minimum dalam mod Senyap.

5. Dibuat di Amerika Syarikat!

 

Acura NSX Type S

 

Tidak hanya direka, Acura NSX dikeluarkan secara eksklusif di Amerika Syarikat di Pusat Pengeluaran Prestasi (PMC) di Ohio.

Pusat itu sememangnya dibina khas untuk kereta keluaran sebegini dan juga turut mengeluarkan model lumba NSX GT3 Evo dan beberapa lagi model Acura.

Enjin NSX pula dipasang dengan tangan di Kilang Enjin Anna juga di Ohio.

Amerika Syarikat sememangnya istimewa, bukan setakat mewakili pelanggan terbesar, 300 unit NSX Type S dikhususkan untuknya dan baki 50 unit diedarkan ke pasaran global. 

Acura NSX Type S dijadual untuk memasuki pasaran pada tahun 2022 sebelum pengeluaran ditamatkan sepenuhnya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Acura NSX Type S

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Panggilan semula itu menjejaskan lebih 750,000 unit kereta Honda dan Acura keluaran dari 2020…
Berita Global
Perkara itu disahkan sendiri oleh CEO Honda, Toshihiro Mibe dalam satu temubual oleh laman Autocar…
Berita Global
Menurut laporan, masalah ini berpunca daripada komponen pendesak pam bahan api yang tidak dibentuk…