Disebabkan sambutan yang cukup memberangsangkan, pengasasnya Christian von Koenigsegg merancang untuk menambah 20 lagi unit untuk diproduksikan.
"Menghasilkan tambahan 20 unit ke atas perancangan 50 unit CC850 sedia ada masih lagi belum cukup untuk memenuhi permintaan yang ada, akan tetapi ia memberikan kami peluang untuk mempertimbangkan kesetiaan jenama pada tahap yang lebih besar dan dalam masa yang sama mengalu-alukan kehadiran sebilangan kecil pemilik baharu.
Menurut Koenigsegg lagi, mereka turut meminta pendapat daripada beberapa pihak pelanggan jangka panjang berhubung perancangan untuk menambah 20 lagi unit untuk diproduksikan, dan respons yang diterima amat positif.
Koenigsegg CC850 dilancarkan beberapa hari yang lalu dengan angka produksi sebanyak 50 unit sahaja sebagai satu penghormatan kepada sambutan ulang tahun pengasasnya yang ke-50 pada tahun ini.
Angka 20 pula dipilih sebagai satu sambutan kepada ulang tahun yang ke-20 sejak Koenigsegg memulakan operasi pemasangan kenderaan mereka.
Menggunakan asas daripada Koenigsegg Jesko, CC850 merupakan satu penghormatan kepada model pertama jenama itu, CC8S.
Dengan angka kuasa kuda setinggi 1,385 hp, Koenigsegg CC850 turut menampilkan tetapan transmisi yang unik, di mana pemandu boleh memilih untuk menggunakan transmisi manual enam kelajuan, atau automatik sembilan nisbah kelajuan dengan hanya menggerakkan tuil gear ke posisi yang sepatutnya.
Baca: Koenigsegg CC850