5 sebab kenapa Honda CR-V 2020 pilihan bagus!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Careta Honda CR-V facelift 2020
Careta Honda CR-V facelift 2020
Ada yang mahu bertukar kepada Kenderaan Utiliti Sukan (SUV)? Di pasaran tempatan sekarang ini memang banyak pilihan SUV dari segmen B, C atau jenama nasional, Asia dan Eropah.

Bila banyak pilihan, membuat keputusan pula menjadi sukar. Maklumlah, jenama tempatan ada, import pun ada dengan pelbagai pakej dan teknologi canggih.

Walaupun kesemuanya nampak sama namun ada yang berbeza dari segi populariti, penjenamaan dan pakej keseluruhan.

Tahun ketiga di pasaran Honda Malaysia memperkenalkan pula CR-V 2020 facelift pada 5 November lalu.

Daya tarikan CR-V diserlahkan lagi melalui model 2020 dengan perubahan pada bahagian luar yang sporty dan teknologi LaneWatch untuk kesemua varian.
Modenas

Jadi apa yang menarik pada CR-V 2020? Berikut kami senaraikan lima sebab mengapa ianya pilihan bagus.

1.Reka bentuk sporty dan bergaya

Honda CR-V 2020

Cuba perhatikan reka bentuk CR-V sebelum facelift, nampak berbeza dengan SUV tempatan. Berbanding beberapa generasi CR-V sebelum ini, CR-V G5 tampil sporty dan bergaya dan sesuai untuk pemandu muda dan muda di hati.

Model 2020 pula melonjakkan lagi imej jiwa muda melalui bampar depan yang sporti ala kereta sport.

Pada bahagian belakang Honda turut menggantikan bampar yang kini mempunyai garisan melintang berwarna perak.

Garisan itu nampak harmoni dengan bampar depan yang turut mempunyai kemasan sama.

Honda CR-V 2020

Muncung ekzos pula dalam bentuk trapezoid (varian turbo) dan kelihatan begitu bergaya dengan dua cabang keluar di bawah bampar.

Lampu belakang kombinasi LED kini mempunyai lapisan lebih gelap berbanding sebelumnya.

Turut diubah ialah roda 18 inci CR-V Turbo dengan corak baharu seperti lima kelopak bunga dengan warna dua tona.

CR-V Turbo juga istimewa dengan pintu but berkuasa dan kini mempunyai fungsi bebas tangan.

 

Honda CR-V 2020

Pengguna hanya perlu melalukan kaki di bawah bampar untuk pintu but dibuka secara automatik.

Fungsi ini sangat berguna apabila kedua-dua tangan penuh dengan barang selepas membeli barang keperluan dan sebagainya.

Satu lagi fungsi praktikal untuk CR-V Turbo ialah Penghidup Enjin Kawalan Jauh (Remote Engine Start).

 

Honda CR-V 2020

 

Melalui fungsi ini, pengguna boleh menghidupkan enjin walaupun berada di luar dan berhampiran CR-V.

Sebagai contoh pada hari yang panas terik pengguna boleh hidupkan dahulu enjin dengan penyaman udara terpasang.

Masuk sahaja ke dalam CR-V sudah terasa hembusan angin ke muka dan badan.

2.Teknologi canggih Honda SENSING

Honda CR-V 2020

 

Terma Honda SENSING selalu disebut apabila bercakap mengenai model Honda seperti Civic, CR-V, City dan Accord.

Tahukah anda? Honda merupakan pengeluar kenderaan massa pertama yang memperkenalkan teknologi Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (Advanced Driver Assistance System/ADAS) di pasaran tempatan.

Teknologi ADAS Honda dinamakan sebagai Honda Sensing dan CR-V adalah model pertama yang menggunakannya sejak tahun 2017 lagi.

Honda SENSING pada CR-V Turbo adalah rangkuman kepada sejumlah teknologi bantuan pemanduan seperti berikut:

  1. Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  2. Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  3. Sistem Amaran Keluar Lorong (LDW)
  4. Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (RDMS)
  5. Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC) dan Sistem Mengikuti Kenderaan (LSF)

 

Honda CR-V 2020

 

Teknologi tersebut berupaya membantu pemandu dalam mengendalikan CR-V dan berupaya mencegah kemalangan atau mengurangkan kecederaan apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Dua varian iaitu CR-V 1.5L TC-P 2WD dan TC-P 4WD kini dilengkapi dengan Honda Sensing sebagai ciri standard.

Teknologi LaneWatch pula dilengkapi pada kesemua varian CR-V 2020 yang membantu pemandu dengan memaparkan bahagian kiri luar kereta terus kepada skrin papan pemuka tanpa perlu memandang cermin sisi.

Turut dilengkapi untuk kesemua varian ialah enam beg udara.

3. Kos penyelengaraan berpatutan

 

Honda CR-V 2020

 

Apabila membeli kereta baharu, satu pertimbangan penting sebelum membuat keputusan ialah teliti dahulu kos penyelenggaraan.

Ini penting bagi memastikan kelangsungan jangka hayat kereta dan kos pemilikan yang tidak membebankan.  

Honda telus dalam perkara ini dan anda boleh mengakses jadual dan kos penyelenggaraan CR-V 2020 di dalam laman web rasmi.

Berdasarkan penelitian, kos paling rendah (CR-V 1.5 TC 4WD) sekitar RM260.00 pada jarak 10,000km atau bulan keenam.

Kos paling tinggi ialah pada 180,000km atau bulan ke-108/tahun kesembilan yang berharga sekitar RM1,123.00.

 

Honda CR-V 2020

 

Bagi tempoh lima tahun, kos paling tinggi ialah pada 100,000km yang berharga sekitar RM673.00.

Secara keseluruhannya, kos yang ditawarkan adalah berpatutan untuk sebuah SUV segmen C yang bernadikan enjin turbo.

Selain itu, menjaga CR-V bukan sesuatu yang rumit memandangkan pusat servis yang tidak sukar untuk didapati di serata negara.

Satu lagi perkara yang harus diketahui, cukai jalan untuk enjin 1.5L VTEC Turbocharged hanya RM120.00 setahun.

4. SUV popular dan pilihan ramai!

Honda CR-V 2020

Tahukah anda CR-V dipasang di negara kita atau lebih tepat lagi di kilang Honda Melaka sejak 2003 lagi?

Kini lebih 100,000 unit CR-V berjaya dijual dan satu indikator populariti SUV tersebut di kalangan pengguna tempatan.

Jumlah tersebut hanya untuk CR-V yang dipasang di kilang Honda Melaka dan lebih lagi jika ditambah dengan unit recond dari luar negara.

Aspek populariti sebenarnya penting kerana jarang pemilik menggunakan kereta untuk satu tempoh yang terlalu lama.

Honda CR-V 2020

Ada yang menukar selepas tahun kelima, ketujuh atau selepas habis bayar. Tidak dinafikan ada yang kekal setia dengan sesebuah kereta.

Katalah anda mahu bertukar selera, tidak sukar sebenarnya untuk menjual semula CR-V kerana populariti sejak dari generasi pertama lagi.

Tambahan pula, CR-V mempunyai peminatnya yang tersendiri.

 

Honda CR-V 2020

 

5. Tiga varian CR-V untuk pelbagai kategori pelanggan

Mahal ke untuk memiliki CR-V? Apa yang pasti SUV ini memang nampak mahal tetapi tidak semestinya untuk harga.

Honda Malaysia membahagikan CR-V 2020 kepada tiga varian utama seperti berikut:

  1. CR-V 2.0L 2WD : RM 139,912.53
  2. CR-V 1.5L TC-P 2WD : RM 157,615.91
  3. CR-V 1.5L TC-P 4WD : RM 162,910.18

*Harga selepas pengecualian cukai jualan

Mahal atau tidak bergantung kepada pesaing dalam segmen sama atau lebih tepat lagi jika dibandingkan dengan jenama import.

Kelebihan CR-V terletak pada ciri all rounder dengan pakej lengkap seperti reka bentuk, kuasa, teknologi dan saiz yang berpadanan serta keselesaan.

Adalah penting untuk sebuah SUV menjadi sebuah SUV sebenar.

Honda CR-V 2020

Maksud di sini ialah selesa untuk penumpang, sedap dipandu, boleh membawa banyak muatan dan tanpa mengabaikan aspek kuasa.

Akhir sekali seperti yang kerap kami sarankan, uji pandu dahulu CR-V 2020 di bilik pameran berdekatan dan buat pertimbangan sebaiknya.  

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment