5 sebab kenapa kereta pandu sendiri tak wujud lagi di jalanraya kita

oleh HEZERI SAMSURI|
Kenderaan pandu sendiri atau kenderaan berautonomi adaah satu teknologi yang boleh dikatakan baharu.

Walaupun ia dibayangkan acapkali melalui filem-filem Hollywood atau komik-komik dan kartun-kartun, teknologi sekarang sebenarnya sudah boleh memungkinkan agar manusia melihat kembali kepada idea ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Namun begitu, seperti semua perkara baharu, pasti akan ada halangan dan untuk kereta berautonomi, ini ialah lima halangan terbesarnya sekarang.

1. Teknologi

Walaupun peminat tegar cerita sci-fi dan juga penganut agama Elon Musk akan cuba "mengajar" anda bahawa ia adalah satu realiti, sebenarnya tidak.

Memang ada beberapa isu dan masalah yang mereka tidak mahu kongsikan bersama anda, seperti di bawah ini:

  • Ada kalanya perisian kenderaan berautonomi memperlahankan kenderaan kerana programnya beranggapan lecak di hadapan sebagai lubang besar.
  • Ada juga kalanya ia memperlahankan kenderaan tanpa sebarang sebab langsung.
  • Cuaca yang buruk akan menyebabkan sistem autonomi ini tidak boleh berfungsi dengan baik kerana hujan lebat akan menyebabkan sensor-sensor tidak boleh digunakan dan salji yang tebal menghalang kamera mengenal pasti mana lokasi garisan putih jalanraya.
  • Kesalahan kecil pada Google Map atau Siri juga akan mendatangkan bencana. Contohnya, jika peta itu salah, kereta anda mungkin boleh tamat riwayatnya di dalam tasik, bersama dengan anda sekali.
  • Masalah paling besar ialah masalah prinsip. Sekiranya ada kanak-kanak yang berlari melintas jalanraya, adakah komputer itu akan mengelak dan menyebabkan kenderaan anda terbabas dan meletakkan nyawa anda dalam risiko, atau komputer itu mahu menyelamatkan nyawa anda dan terus melanggar kanak-kanak itu?
     

 

 

2. Komunikasi

Kebolehan setiap kenderaan berkomunikasi sesama sendiri akan menjadikan jalanraya tempat yang paling selamat kerana kenderaan berautonomi ini boleh berhubung antara satu sama lain dan berkongsi informasi.

Contohnya, sekiranya ada halangan atau kemalangan di hadapan, kenderaan berautonomi di sekitar kawasan itu tahu apa yang perlu dilakukan.

Namun begitu, adakah sistem yang ada pada kenderaan jenama A boleh berhubung dengan kenderaan jenama B? 

Paling mudah, adakah kenderaan dari negara barat dibenarkan untuk berhubung dengan kenderaan dari negara komunis seperti China dan Rusia? 

Dan apa akan jadi bila data tidak dapat disalurkan kepada kenderaan berautonomi kerana resepsi yang lemah? Atau untuk warga Malaysia, apa akan jadi bila syarikat telekomunikasi tempatan mula buat perangai biasa mereka?

 

 

 

3. Keselamatan

Dalam tahun 2015, Fiat Chrysler terpaksa memanggil semula lebih dari 1.4 juta kenderaan mereka kerana disedari ia boleh digodam secara nirwayar.

Di dalam negara di mana pengguna dan kerajaan cuma tahu keselamatan informasi dan data peribadi hanyalah untuk memastikan agar ejen insurans tidak mengganggu anda, siapa yang boleh memastikan kenderaan-kenderaan di dalam negara ini tidak menyebarkan data-data mereka balik ke negara asal mereka? 

Untuk kenderaan berautonomi di mana segala kawalan dilakukan oleh sistem komputer, risiko di mana ia boleh digodam dan dipandu untuk merempuh sekatan jalanraya atau kawasan awam adalah satu risiko yang memang wujud.

 

 

4. Undang-undang

Undang-undang yang wujud sekarang adalah khusus untuk menyalahkan pemandu. 

Akta pemandu mabuk, pemandu cuai, pemandu tertidur tidak akan terbit lagi kerana kenderaan berautonomi dipandu oleh sebuah komputer.

Sekiranya komputer itu salah atau ia hilang kawalan dan kenderaan terbabas, siapa yang akan dipertanggung-jawabkan jika ada kecederaan atau lebih buruk, kemalangan jiwa? 

Atau jika komputer itu memilih untuk melanggar sekumpulan kanak-kanak di tepi jalanraya kerana mahu memastikan penumpangnya selamat, adakah undang-undang sudah wujud untuk mengadili kes-kes sebegitu? 

 

 

5. Harga dan siapa penggunanya? 

Siapa yang akan mampu untuk menggunakan teknologi ini dahulu?

Pastinya untuk negara membangun seperti Malaysia, mereka yang mampu sahaja akan dapat menggunakannya tetapi adakah mereka cukup pintar untuk menggunakannya di kalangan kenderaan-kenderaan biasa yang lain?

Cara terbaik ialah teknologi ini perlu mampu milik agar majoriti pengguna boleh menikmatinya dan bila semakin banyak kenderaan berautonomi di atas jalanraya, risiko kemalangan akan menjadi lebih rendah kerana punca kemalangan nombor satu akan dikurangkan - kelalaian pemandu manusia.

Ini ialah "jika" teknologi autonomi itu sudah matang.

Dan bila sudah banyak kenderaan berautonomi di atas jalanraya, pemandu Grab, pemandu lori, pemandu teksi, pemandu ambulan, pemandu bas dan semua jenis pemandu tidak lagi diperlukan.

Untuk orang kaya, kepentingan kerja untuk orang-orang bawahan tidak begitu penting tetapi untuk banyak kerajaan, transformasi ini perlu dikaji secara rapi. 

 

* Ini adalah pendapat peribadi Hezeri Samsuri.
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam salah satu ucapan yang dibuat ketika Pertemuan Tahunan Industri Jasa Keuangan 2020, beliau…
Berita Global
Adakah ini gambaran sebenar masa hadapan di mana segenap pelusuk jalan di dunia bakal dikuasai oleh…