5 sebab kenapa kerusi kanak-kanak penting dalam kenderaan anda

oleh Careta.my|
Euro-NCAP-Child-seat
Euro-NCAP-Child-seat
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Kemalangan ialah satu peristiwa yang kita tidak boleh jangka. Mungkin ia boleh diperdebatkan tetapi apa yang pakar selalu lakukan ialah membuat persediaan. Semuanya bermula dengan satu persoalan utama iaitu, kalau. Bagaimana kalau kereta terbabas? Bagaimana kalau kereta tergelincir? Bagaimana kalau kereta bertembung sesama sendiri? Persoalan itu juga banyak dibantu oleh peristiwa-peristiwa yang telah berlaku. Sama seperti yang kita boleh saksikan dalam kereta lumba hari ini, kereta hancur berkecai tetapi pemandu boleh keluar dengan selamat. Semestinya itu adalah kuasa Allah dan juga dibantu oleh usaha kita sebagai manusia. Ia adalah mengenai persediaan atau dalam erti kata lain usaha. Apabila di atas jalanraya, harus diakui kita sememangnya terdedah dengan pelbagai risiko. Ia berlaku diluar pengetahuan umum manusia seperti kata bidalan bahasa Melayu yang sentiasa kita dengar, malang tidak berbau. Ia tidak boleh dihidu atau dikesan. Jadi, apa kaitan kerusi kanak-kanak dengan kemalangan? Kami senaraikan lima sebab kenapa kerusi kanak-kanak penting untuk kenderaan anda yang berkeluarga. https://www.youtube.com/watch?v=LMan5FtKmGQ 1.Keselamatan dan keselesaan Tidak dapat tidak, fungsi utama kerusi kanak-kanak ialah untuk keselamatan. Kita selalu lihat perkara ironik yang berlaku disekeliling, contohnya penunggang dan pembonceng dewasa memakai topi keledar tetapi anak kecil yang turut sama membonceng dibiarkan menikmati angin-angin sepoi bahasa. Itu adalah salah, dan senario yang sama turut berlaku apabila kerusi yang betul tidak disediakan untuk kanak-kanak. Memandangkan fizikal tubuh kanak-kanak tidak sama dengan orang dewasa maka mereka memerlukan kerusi yang dicipta khas. Bukan sahaja fizikal tidak sama malah kekuatan struktur badan juga tidak sama dengan golongan dewasa. Dengan kerusi dan kelengkapan yang betul maka kanak-kanak itu dapat duduk dengan selamat dan selesa. 2. Melekap di kerusi Jadi apakah yang membuat kanak-kanak itu selamat? Di antaranya ialah anggota badan atas seperti dada dan anggota bawah seperti peha diikat kemas pada tali pinggang. Untuk kereta yang mempunyai cangkuk seperti top tether pula, kerusi kanak-kanak itu tersangkut dan pergerakan kerusi menjadi terhad sewaktu kemalangan berlaku. 3. Mengelakkan daripada terpelanting Ini biasa kita dengar. Penumpang atau pemandu maut selepas terpelanting atau tercampak dari kenderaan. Tahukah anda siapakah yang jarang menemui ajal apabila tercampak daripada kenderaan pada kelajuan beratus kilometer sejam? Buka YouTube dan tonton pelumba MotoGP. Bezanya mereka dengan orang awam lain ialah pelumba profesional itu terlatih. Mereka berlatih untuk jatuh namun itu tetap tidak menghalang sebarang kecederaan atau kematian. Memandangkan ramai daripada kita ini tergolong dalam kategori orang awam maka eloklah kerusi kanak-kanak dipasang dan diikat kemas. 4. Menerapkan nilai murni Bahasa Melayu sekali lagi hebat apabila bercakap mengenai kata bidalan, bapa borek, anak rintik. Sememangnya pendidikan perlu diterap dari usia muda lagi. Kanak-kanak belajar daripada persekitaran dan mereka akan mencontohinya. Ia diwarisi dan alangkah mulianya jika ibu bapa berjaya menerapkan nilai-nilai keselamatan ini sejak daripada kecil lagi. 5. Gelombang kesedaran Selain daripada nilai-nilai murni, kesedaran juga perlu dipupuk. Masa berganti masa, kita boleh lihat sekarang ini tandas di Masjid semakin bersih. Generasi baharu semakin sedar bahawa lampin pakai buang tempatnya bukan di sinki, lantai atau di mangkuk tandas atau di luar tong sampah. Adakah ini berlaku secara tiba-tiba? Tidak. Kerana ia berlaku daripada kesedaran. Apabila anda menggunakan kerusi kanak-kanak, tindakan tersebut akan turut mempengaruhi mereka yang lain, mungkin juga adik beradik, ipar duai, rakan sekerja, jiran atau sesiapa sahaja. Mahukah anda menyebarkan kebaikan? Ini salah satu daripadanya. Kesimpulan Artikel ini hanya menyentuh selapis sahaja dalam isu kerusi kanak-kanak yang lebih besar, namun apabila anda tergerak hati untuk mencari kerusi kanak-kanak selepas ini, kami ucapkan tahniah. Pertama sekali, buat kajian dahulu kerana di pasaran terdapat juga kerusi jenis cap Ayam yang fungsinya semata-mata sebagai kerusi sahaja. Anda perlu senarai pendek kerusi yang bukan sahaja selesa tetapi selamat. Di internet, terdapat banyak bahan yang boleh dirujuk dan tidak kurang juga melalui tontonan YouTube. Perkara asas yang perlu diperhatikan ialah seperti laras duduk mengikut umur, slot untuk ikatan tali pinggang dan cangkuk keselamatan. Konsepnya ialah supaya kanak-kanak melekap di kerusi dan kerusi itu tidak bergerak secara meliar sewaktu kemalangan berlaku. Selepas berusaha, maka berserahlah kepada Allah. Nabi Muhammad (bacalah selawat) sendiri pun pergi berperang bukan secara semborono. Baginda memakai alat kelengkapan perang dan mempunyai pakar dan strategi tertentu. Baginda turut menerima nasihat sahabat yang lain. Akhir kata, semoga kita semua dilindungi Allah. Penulis: Muhammad Md Tajudin (Artikel ini juga ingatan untuk saya sendiri).