508 PEUGEOT SPORT ENGINEERED, sedan hibrid 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pada bulan Mac depan akan berlangsung Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva (GIMS) 2019. Pameran berprestij tersebut adalah lokasi pengeluar automotif mempamerkan kenderaan konsep dan global mereka.

Nampaknya GIMS akan datang bakal menjadi medan pameran kenderaan mesra alam.

PEUGEOT misalnya akan membawa model konsep yang dikenali sebagai 508 PEUGEOT SPORT ENGINEERED.

Ini bukan sebarang sedan kerana ia membawa jenama PEUGEOT SPORT dan jabatan penalaan itu pada tahun lalu mengesahkan akan membangunkan siri kereta elektrik berprestasi.

508 PEUGEOT SPORT ENGINEERED adalah langkah pertama ke arah misi tersebut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
508 PEUGEOT SPORT ENGINEERED

 

Pakar di PEUGEOT SPORT menggunakan model 508 Hybrid untuk projek ini dengan menggabungkan enjin PureTech 200 bersama motor elektrik pada roda depan dan belakang.

Motor elektrik depan berkuasa 110 bhp menggerakkan roda depan manakala roda belakang dikuasakan oleh satu lagi motor elektrik berkuasa 150kW (200bhp).

Kereta pacuan empat roda ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.3 saat sahaja dengan kelajuan maksimum dihadkan pada 249 km/j.

 

508 PEUGEOT SPORT ENGINEERED

 

Berikut ialah ciri-ciri pada 508 PEUGEOT SPORT ENGINEERED:

  • Dibekalkan bateri berkuasa 11.8kWh
  • Dalam mod elektrik 100%, mampu bergerak sehingga 49 km
  • Perubahan luaran terdiri daripada liang pada bamper untuk mengalirkan udara kepada radiator dan diffuser belakang
  • Terdapat juga winglet pada bahagian sisi untuk aliran angin lebih lancar
  • Warna Selenium Grey dan cermin sisi gentian karbon
  • Kerusi sporti balutan kulit dan Alcantara® dengan sulaman Kryptonite dan Onyx Black
  • Balutan Alcantara® diteruskan pada bumbung dan tiang A
  • Skrin sesentuh capacitive HD berukuran 10 inci dan paparan instrumen digital head-up berukuran 12.3 inci

Projek yang dibuat oleh PEUGEOT SPORT ini begitu menarik dan mempunyai DNA perlumbaan selari dengan pengalaman mereka. 

PEUGEOT SPORT mempunyai pengalaman luas dalam dunia perlumbaan dan ini boleh disaksikan melalui model 908 HDI FAP yang mencatat banyak kejayaan di dalam Perlumbaan Le Mans 24 Jam dan 3008 DKR yang memenangi Rali Dakar pada tahun 2017 dan 2018.

 

508 PEUGEOT SPORT ENGINEERED

 

PEUGEOT pula sekarang ini dalam misi mengeluarkan kenderaan elektrifikasi untuk kesemua model menjelang 2023.

Model kenderaan elektrik bateri (BEV) komersil pertama PEUGEOT akan mula ditawarkan dalam masa beberapa bulan lagi.

Buat peminat tempatan, PEUGEOT 508 baharu khabarnya akan menemui pasaran pada tahun ini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin