6 sebab kenapa Malaysia tidak akan lupus kenderaan lama sewenang-wenangnya

oleh HEZERI SAMSURI|
Isu berkaitan polisi pengurusan kenderaan akhir hayat atau ELV (End-Of-Life Vehicle) muncul kembali dan kali ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia akan dilaksanakan menjelang 2025.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ramai yang beranggapan kerajaan akan menghapuskan terus kenderaan-kenderaan lama tetapi sebenarnya ia tidak akan berlaku. 

Antara sebabnya ialah:

1. Malaysia bukan negara komunis

  • Kerajaan tidak akan memaksa pengguna untuk menyerahkan kenderaan lama mereka secara paksaan. 
  • Negara maju seperti Singapura, UK, US dan Eropah juga membenarkan kenderaan lama digunakan tetapi akan ada pemeriksaan berkala untuk memastikan kenderaan berusia itu selamat digunakan.
  • Jika kenderaan itu tidak selamat, dan jika pemiliknya tidak ada sebab kukuh untuk tidak menjaganya, barulah mungkin kenderaan itu tidak diluluskan untuk kegunaan di jalanraya awam dan patut dilupuskan.


2. Malaysia perlukan modal besar

  • Untuk memujuk pengguna menamatkan riwayat kenderaan mereka agar diganti dengan kenderaan baharu, wajar ada imbuhan.
  • Singapura dan Jepun contohnya, memberikan imbuhan gantirugi untuk mereka yang bercadang untuk melupuskan kenderaan mereka. Ini ialah kerana kedua negara itu mahu mengawal jumlah kenderaan di atas jalanraya kerana kekurangan ruang.
  • Sekiranya tidak ada pampasan menarik, rakyat Malaysia tidak ada sebab untuk melupuskan kenderaan lama mereka secara sukarela.

3. Kenderaan Malaysia tidak ada "exit" 

  • Pemilik kenderaan lama di Jepun mempunyai peluang untuk menjual dan mengeksport kenderaan mereka ke negara luar. Ini bermakna, kenderaan mereka masih mempunyai nilai dan ia mengurangkan kerugian.
  • Singapura pula mempunyai industri alatganti terpakai di mana kenderaan yang dilupuskan boleh dijual sebagai alat ganti.
  • Malaysia mungkin sukar untuk menurut cara-cara itu kerana kenderaan terpakai Malaysia mempunyai jumlah perbatuan yang tinggi dan tidak mampu bersaing dengan kenderaan terlupus dari Jepun, UK mahupun Singapura.
  • Pasaran alatganti terpakai mungkin cara terbaik kerana lambakan kenderaan lama di Malaysia tetapi ia masih memerlukan pakej pampasan yang menarik untuk pemilik kenderaan tersebut. Jika tidak, lebih mudah untuk mereka simpan dan baiki kenderaan lama mereka.

 

 

4. Kos buruh dan baiki masih murah

  • Kos pembaikan kenderaan di Malaysia masih sangat rendah kerana kadar upah yang masih murah.
  • Ini membolehkan pemilik menjaga kenderaan lama mereka dengan mudah. 
  • Malah, industri baik pulih kenderaan lama sebenarnya mempunyai potensi yang bagus kerana kenderaan lama yang telah dibaik-pulih boleh dieksport keluar ke negara-negara maju yang mahukan kenderaan klasik atau retro.
  • Australia dan UK contohnya menjana pendapatan yang tinggi dengan mengeksport keluar kenderaan-kenderaan lama yang telah dibaik-pulih secara profesional.
  • Malaysia sepatutnya turut menuju ke arah sektor ini. Buat masa sekarang, hanya Bufori yang terletak di Kepong yang mempunyai kepakaran taraf profesional dan ia memang menerima tempahan kenderaan luar untuk projek baik-pulih.

5. Kos pemilikan masih rendah

  • Kos pemilikan kenderaan masih rendah dan tidak ada sistem pencukaian berdasarkan karbon yang mampu menghalang kenderaan lama dari disimpan dan digunakan.
  • Contohnya, cukai jalan Malaysia masih berdasarkan kapasiti enjin dan sekiranya kenderaan itu ditarifkan sebagai kenderaan klasik, ia mendapat potongan 50 peratus untuk cukai jalan.
  • Negara maju menggunakan sistem pencukaian karbon (carbon taxing) di mana cukai jalan ditentukan oleh jumlah karbon terhasil dari ekzos. Ini bermakna kenderaan dengan enjin lama akan mempunyai cukai jalan yang tinggi dan kenderaan elektrik tidak mempunyai cukai jalan langsung.

6. Rakyat masih kurang mampu

  • Harga kenderaan baharu di Asean sebenarnya lebih tinggi dari di Eropah atau di US. 
  • Ini ialah kerana kajian-kajian mendapati pengguna di sekitar wilayah ini mempunyai jangka masa pinjaman yang lebih lama dan kadar faedah yang lebih rendah.
  • Pengguna di Eropah dan di US juga tidak akan membeli kenderaan baharu sekiranya harga melampau dikenakan kerana mereka mempunyai sistem pengangkutan awam yang cemerlang.
  • Malaysia pula memberikan tempoh pinjaman yang paling lama di Asean - sembilan tahun dan juga antara faedah pinjaman terendah.
  • Ia membolehkan pengguna membeli kenderaan dengan harga yang lebih tinggi dari biasa. 
  • Namun begitu, kita masih mempunyai ramai pengguna yang tidak mahu terbeban dengan pinjaman kenderaan kerana mahu memberikan fokus kepada perbelanjaan lain.
  • Sebarang tindakan yang memaksa mereka membuat pinjaman jangka masa panjang dengan jumlah yang besar adalah satu tindakan yang tidak adil, melainkan ada alternatif yang baik seperti sistem pengangkutan awam yang lebih cemerlang.

Ini adalah antara cabaran-cabaran yang kerajaan perlu fikirkan sebelum mereka boleh memaksa pengguna untuk melupuskan kenderaan lama dan seperti yang anda lihat, ia memang sukar untuk dilakukan dengan skala besar, bukan? 

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Ini berita palsu. Kita masih tidak ada polisi ELV buat masa sekarang. Kita pernah lakukan kajian…