6 sebab mengapa kerajaan perlu teruskan pengecualian cukai jualan kenderaan

oleh HEZERI SAMSURI|
Antara pakej rangsangan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilakukan oleh pihak kerajaan ialah mengecualikan cukai jualan untuk kenderaan-kenderaan baharu.

Insentif untuk sektor automotif itu diberikan sejak 15 Jun 2020 bagi kenderaan-kenderaan pemasangan tempatan (CKD), model diimport sepenuhnya (CBU) dan kenderaan terpakai import (recond).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pengecualian penuh diberikan kepada kenderaan baharu CKD sementara pengecualian 50 peratus untuk kenderaan CBU dan juga untuk kelompok bumiputra istimewa yang membawa masuk unit CBU terpakai (recond).

Insentif itu sebenarnya telah berakhir pada 31 Disember 2020, tetapi kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi tempoh tersebut sehingga 31 Jun 2021.

Baru-baru ini Kementerian Kewangan (MOF) berkata kerajaan telah rugi sebanyak RM1.8 bilion kerana inisiatif ini (tempoh antara 15 Jun 2020 sehingga 31 Mac 2021).

MOF bagaimanapun bersetuju bahawa negara masih lagi mengaut keuntungan dari segi cukai syarikat-syarikat terbabit dengan industri tersebut, di samping memastikan lebih kurang 700,000 rakyat Malaysia di dalam industri itu masih mempunyai pekerjaan.

 

 

Dari segi penurunan harga kenderaan yang dilihat sekarang adalah dalam lingkungan antara tiga hingga sembilan peratus.

Pada pendapat saya, pihak kerajaan sepatutnya melanjutkan lagi tempoh pengecualian cukai ini sehingga akhir tahun 2021. 

Di bawah adalah enam sebab kenapa industri automotif Malaysia masih memerlukan insentif tersebut.

1. Insentif tersebut terbukti meningkatkan jualan kenderaan negara. Jualan bulan Mac 2021 mencatatkan peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding jualan bulan Mac tahun 2020. Ini membuktikan insentif yang diberikan membantu meningkatkan jumlah jualan kenderaan.

2. Masalah bekalan microchip memang sedang melanda industri automotif global. Jumlah jualan menurun kerana isu ini dan sekiranya insentif ditarik balik, ia akan menjadi pukulan "dpuble-whammy" untuk jualan kenderaan tempatan.

3. Penjualan kenderaan menjadi pemangkin kepada perdagangan dalam negara. Menurut MIDF Research, jumlah pinjaman kenderaan yang diluluskan meningkat sebanyak 22.7 peratus kepada RM12.7 bilion. Ini adalah petanda ekonomi mula bergerak dan sebarang tindakan yang negatif akan membantutkan pertumbuhan ini.

 

 

4. Industri ini menjadi sumber pendapatan untuk 700,000 pekerja di dalam sektor automotif. Pekerja-pekerja ini akan berbelanja dan akan mengakibatkan tindakan rantaian yang positif kepada sektor-sektor ekonomi yang lain di dalam negara. 

5. Efek vaksin masih belum dilihat kerana terlalu awal. Ini bermakna ekonomi dijangka akan betul-betul kukuh bila penyebaran vaksin itu lebih meluas di dalam negara.

6. Insentif pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang (termasuk SUV dan MPV) adalah tersasar dan telus, kerana para pembeli akan terus mendapat potongan harga belian. Ini berbeza dengan insentif pengecualian cukai jualan untuk motosikal 150cc ke bawah CKD yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Untuk motosikal, harga jualan ditentukan oleh pengedar motosikal sendiri dan insentif yang diberikan tidak akan diterima oleh pengguna secara total. Apa yang berlaku ialah banyak pengedar motosikal dilihat mendapat lebih keuntungan kerana "insentif" tersebut.

 

 

Pembelian kenderaan sekarang bukan lagi hanya untuk mengisi keperluan individu dan keluarga, tetapi sudah menjadi sebuah produk gaya hidup di mana kenderaan tambahan dibeli sebagai hobi.

Tren yang meningkat ini membantu pendapatan negara dari segi cukai syarikat dan juga cukai-cukai lain hasil dari penggunaan kenderaan tersebut oleh pengguna.

Insentif pengecualian cukai jualan untuk kereta ini sepatutnya diteruskan sehingga 31 Disember 2021 kerana jika ia ditamatkan pada 31 Jun 2021 kelak, industri automotif mungkin belum cukup kuat untuk berkembang semula seperti zaman pre Covid-19.

 

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Bukan rahsia lagi bahawa kerajaan Hong Kong benar-benar mendorong penjualan EV dengan memberikan…
Berita Global
Jumlah subsidi sebenar akan bergantung kepada kadar pelepasan karbon, yang termasuk ketika…
Berita Domestik
"Kita faham buat masa ini harga tiket penerbangan tinggi dan antara faktor peningkatan ini adalah…