Berikut merupakan tujuh saranan yang dikeluarkan oleh Bosch buat rakyat Malaysia:
1. Elakkan memandu, atau parkir di kawasan rendah
Kawasan yang rendah, serta parkir di bawah tanah merupakan antara kawasan yang cenderung untuk menenggelamkan kenderaan anda, terutama ketika banjir kilat melanda.
Kenderaan yang terendam di dalam air berpotensi untuk mengalami masalah enjin, sistem elektrik serta ruang kabin.
2. Elakkan memandu di terowong
Risiko untuk terperangkap di dalam banjir kilat adalah lebih besar di dalam terowong bawah tanah.

3. Kekal kelajuan yang perlahan
Terdapat beberapa situasi di mana anda terpaksa mengharungi kawasan yang dinaiki air. Sekiranya paras air berada dibawah separuh tayar, pastikan kenderaan dipandu pada kelajuan yang rendah dan menggunakan gear yang rendah.
Ini bagi mengelakkan kerosakan, terutama ketika air mula memasuki ruang enjin, atau paip ekzos.
4. Utamakan keselamatan diri
Sekiranya anda terperangkap di dalam kereta di tengah-tengah banjir, matikan operasi enjin, dan keluar dengan membawa barangan penting.
Pergi ke kawasan yang lebih tinggi dan tunggu bantuan sampai.
Jangan sekali-kali cuba untuk menghidupkan enjin kerana tindakan ini mampu mengakibatkan kerosakan yang lebih besar.
5. Kereta tenggelam dalam air? Usah hidupkan enjin!
Dalam situasi ini, terdapat kemungkinan air sudah mula memasuki ruang enjin, transmisi atau saliran bahan api.
Pemilik dinasihatkan untuk tidak sekali-kali cuba menghidupkan enjin, apa yang perlu dibuat adalah mendapatkan bantuan daripada mekanik dengan kadar segera, atau menunda kenderaan ke bengkel berhampiran.
6. Cabut sambungan bateri
Sekiranya anda terperangkap dalam banjir, jangan biarkan kenderaan anda berada di dalam mod aksesori dengan peralatan elektronik beroperasi.
Sebaiknya, matikan operasi enjin, cabut sambungan bateri dan minta bantuan daripada mekanik setelah keadaan kembali normal untuk melihat sama ada bateri benar-benar berfungsi secara optimum.
7. PENTING! Kereta anda ada perlindungan banjir?
Satu perkara yang membimbangkan apabila majoriti rakyat Malaysia masih lagi tidak mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir.
Sebelum pisang berbuah dua kali, adalah lebih baik sekiranya anda membuat sedikit kajian, dan melabur sedikit duit bagi melindungi kenderaan anda daripada kerosakan akibat perubahan cuaca yang agak mendadak pada ketika ini.