777 - hypercar V8 RM36 juta khusus untuk litar lumba, 7 unit sahaja

oleh Mohamad Hanif|
777 Motors merupakan sebuah syarikat Itali yang baharu sahaja ditubuhkan, di mana produk pertama syarikat tersebut bukanlah sebuah kereta produksi massa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebaliknya, mereka menghasilkan sebuah hypercar yang hanya boleh digunakan di dalam litar sahaja, dengan angka produksi yang cukup terhad sekitar 7 unit sahaja.

Tidak cukup dengan itu, harga untuk sebuah supercar yang tidak boleh dibawa keluar dari Itali itu bernilai €7 juta (RM35.79 juta) sahaja.
 

777


Reka bentuk luaran hypercar 777 Motors ini dihasilkan oleh pereka Turin, Umberto Palermo yang banyak mengambil inspirasi daripada kereta lumba endurans.

Tiada sebarang had dikenakan ke atas aspek aerodinamik memandangkan hypercar ini sememangnya dikhususkan untuk kegunaan litar semata-mata.

Terdapat splitter depan yang besar, sirip di belakang skup bumbung, sayap belakang yang besar dan lebar, diikuti dengan diffuser yang agak agresif.
 

777


Casis monocoque gentian karbon, aspek aerodinamik dan kejuruteraan jentera ini mendapat sentuhan daripada syarikat Dallara, sementara nadi V8 4.5 liter aspirasi natural berkuasa 730 hp itu dibangunkan oleh Gibson Technology tanpa sebarang bantuan elektrifikasi.

Dengan berat sekitar 900 kg sahaja, hypercar 777 ini mampu mencapai kelajuan tertinggi 370 km/j di mana sistem aero yang ekstrem itu tadi mampu menjana daya mendap sehingga 2,100 kg.

Komponen seperti brek dan suspensi menggunakan spesifikasi sukan permotoran.
 

777


Untuk memastikan pemandu mampu bertahan di bawah impak daya G antara 3.5 hingga 4.0 G, pihak 777 Motors akan menyediakan latihan fizikal dan teknikal termasuklah menggunakan alat simulasi.

Kelengkapan perlumbaan akan dibekalkan oleh Sparco sementara helmet pula daripada Stilo.

Menurut 777 Motors, 7 unit hypercar berharga €7 juta itu akan kekal di ibu pejabat mereka di Monza, di mana para pemilik akan dibenarkan untuk berkunjung pada bila-bila masa, menggunakan litar dan menyertai acara eksklusif sepanjang tahun.
 

77


777 Motors menyasarkan rekod pusingan di Autodromo Nazionale Monza sepantas 1 minit 33 saat, atau 20 saat lebih perlahan berbanding jentera F1 2023.