8 perkara anda perlu tahu tentang Ruslin Tamsir - Pereka speaker McLaren, BMW dan Volvo!

oleh HEZERI SAMSURI|
Anda mungkin sudah tahu bahawa seorang anak Malaysia mereka-cipta sebuah pembesar suara (speaker) untuk sistem audio supercar MCLaren.

Namun begitu, anak kelahiran Kuala Lumpur yang kini menjadi bapa kepada dua orang anak perempuan itu mempunyai banyak lagi "rahsia" dan juga kejayaan yang Careta cungkil sewaktu sesi temuduga melalui telefon tempoh hari.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di bawah ialah 8 fakta mengenai Ruslin Tamsir yang anda perlu tahu.

1. Ruslin memang seorang pelajar yang tekun.

  • Bersekolah di SK Kampung Pandan (1990-1996) dan kemudian ke Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (1997-1999). 
  • Selain dari aktif dalam Seni Silat Gayong, Kadet Polis dan Persatuan Melukis, Ruslin mendapat 8A untuk peperiksaan PMR dan kemudian menyambung pendidikan beliau ke MRSM Jasin (kini dipanggil MRSM Tun Ghafar Baba). 
  • Beliau mendapat 10A untuk SPM beliau dan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke University of Applied Science Ravensburg-Weingarten di Jerman.

 

 


2. Ruslin hasilkan kluster meter Proton Saga FLX

  • Pekerjaan pertama Ruslin selepas tamat pengajian di Jerman ialah dengan Continental Automotive Components di Perai (dahulu dikenali sebagai Siemens VDO Instruments).
  • Antara produk yang dihasilkan Ruslin ialah sistem Heads-Up-Display untuk Luxgen dari Taiwan. 
  • Ruslin juga menjadi ketua projek kejuruteraan untuk menghasilkan panel meter bagi Proton Saga FLX dan Perodua Viva Elite.

 

 

3. Ruslin satu-satunya jurutera Melayu di syarikat audio Harman

  • Ruslin mula bekerja sebagai jurutera mekanikal di Harman International Industries di Munich dalam tahun 2014, selepas ditawarkan pekerjaan tersebut.
  • Harman menghasilkan produk audio di bawah jenama Harman/Kardon, JBL, AKG dan Bowers & Wilkins.
  • Antara produk global yang popular dari Harman ialah speaker menggunakan Kevlar dan Diamond Tweeter.
  • Dalam tahun 2017, Ruslin menjadi Ketua Jurutera di Harman dan terbabit sebagai teraju utama dalam memulakan cawangan kejuruteraan Harman di China.
  • Ruslin juga menjadi wakil Harman Eropah dalam menghasilkan dasar pembangunan speaker untuk global.
  • Usaha Ruslin membenarkan Harman menjimatkan US$500,000 dalam kos pembuatan untuk satu projek bersama Volvo.

 

 

4. Hasil kerja Ruslin ada dalam BMW, Mini dan Volvo.

  • Untuk mereka yang memandu BMW 5-Series dan 7-Series sekarang, panel speaker dan speaker anda itu adalah dari hasil projek Ruslin.
  • Begitu juga dengan speaker di dalam model-model terkini Volvo XC90 dan XC60.

5. Kebolehan bertutur dalam Bahasa Inggeris bantu Ruslin jadi orang penting dalam projek Volvo dan McLaren.

  • Selain dari pengetahuan kejuruteraan dan kreativiti Ruslin, kebolehan bertutur dalam Bahasa Inggeris yang baik menjadi punca utama beliau dilantik untuk mengetuai pelbagai projek dengan pelanggan-pelanggan global Harman.

 

 

6. Ruslin terima royalti untuk setiap speaker McLaren yang guna teknologi Invisible Locking Feature For Carbon Fibre Speaker Grille rekaan beliau.

  • Ruslin mencipta gril penutup speaker McLaren kerana syarikat supercar itu mahukan gril penutup yang nampak seperti ia bercantum terus dengan kotak speaker carbon-fibre di dalam McLaren Senna.
  • Oleh kerana Senna ialah antara model yang paling unik dan mahal dihasilkan oleh McLaren, syarikat British itu memang mahukan sesuatu yang baharu dan berbeza.
  • Penutup speaker di dalam kenderaan selalunya menggunakan teknik "heat staking" (cara gril besi dilekatkan kepada kotak speaker dari plastik),  teknik "push-fit" (palam dan lubang), teknik "snap-fit" (cangkuk dan lubang) dan cara paling mudah, skru.
  • Ruslin menggabungkan teknik "push-fit" dan "snap-fit" serta kebolehan carbon-fibre yang boleh melengkung sedikit untuk memastikan gril speaker itu tidak bergegar.
  • Ruslin terpaksa melakukan banyak ujian bagi mendapatkan kadar kelegaan (tolerance) yang betul antara ketebalan carbon-fibre dan gril penutup besi yang menggunakan aluminium.
  • "Prepreg" carbon-fibre untuk kotak speaker itu pula dihasilkan di Itali. 
  • Ruslin memegang rekacipta global untuk cara yang digunakan bagi memastikan penutup speaker itu melekat kepada kotak speaker tersebut. 

7. Tiga model McLaren menggunakan hasil rekaan Ruslin

  • Ruslin sebenarnya menghasilkan speaker untuk tiga model utama McLaren.
  • Ini termasuk model legenda McLaren P1, McLaren 570S (P13) dan model limited-edition Senna (P15).

 

 

8. Di Jerman, Ruslin tetap dihormati walaupun beliau seorang Melayu dan seorang Muslim

  • Menurut Ruslin, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerja di Jerman kerana walaupun beliau bukan orang Eropah, rakan-rakan sekerjanya menghormati beliau kerana kebolehannya.
  • "Saya tidak ada masalah untuk bergaul di dalam operasi harian saya walaupun saya dari kaum minoriti," ujar Ruslin.


Selepas lima tahun di Jerman, Ruslin berkata beliau mahu pulang ke tanahair untuk mengejar cita-cita beliau - membuka syarikat teknologi beliau sendiri di Malaysia.

Ikuti cerita lanjut Ruslin kelak dan juga teknologi kenderaan elektrik untuk Eropah yang dihasilkan beliau! 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Sebenarnya ramai jurutera-jurutera Malaysia yang bagus masih bekerja dengan syarikat-syarikat…