9 JENAMA KERETA YANG DAH MATI PADA ABAD INI

oleh Contributor|
Sektor Automotif bermula pada sekitar tahun 1860 dimana ratusan syarikat mula memperkenalkan medium pengangkutan tanpa bantuan binatang seperti kuda dan lembu.

Pada tahun 1886, Karl Benz mula mempatenkan kenderaan pertama ciptaan beliau iaitu Benz Patent-Motorwagen. Tahun ini juga amat bermakna dimana ia dikenali sebagai era baru pembuatan kereta moden iaitu kereta yang digerakkan oleh enjin, dan  Karl Benz pula diangkat sebagai pencipta pertama kereta moden.

Selepas itu, sektor automotif mula berkembang pesat, di mana produksi skala besar pertama dimulakan oleh syarikat Olds Motor Vehicle Company atau dikenali sebagai Oldsmobile.

Produksi skala besar ini pula kemudian dinaiktaraf cara penghasilannya oleh Henry Ford dimana produksi kereta Ford dapat dihasilkan dengan lebih cepat. Disebabkan produksi skala besar bermula di US, US menjadi kuasa besar di dalam sektor automotif dunia.

Kenyataan ini berdasarkan fakta dimana pada tahun 1929 sebelum kejadian Great Depression, terdapat kira-kira 32,028,500 unit kereta di seluruh dunia dan 90% daripadanya dihasilkan di US. 

Peratusan ini semakin berkurang dan berkurang sehinggalah pada tahun 1980, Jepun memotong US sebagai pengeluar kereta terbesar di dunia.

Melihat kepada kepesatan pasaran, bukan sahaja Jepun malah pelbagai negara di dunia ini cuba menghasilkan kereta mereka sendiri termasuklah Malaysia dengan jenamanya Proton. 

Adakah sektor automotif merupakan satu cabang perniagaan yang menguntungkan?
Mungkin ya dan mungkin tidak. 

Hal ini kerana perniagaan adalah perniagaan, sesebuah entiti perniagaan haruslah melakukan sesuatu bagi memastikan barisan produk mereka kekal relevan. Selain itu, ia juga bergantung kepada faktor pengurusan, ekonomi, teknologi, permintaan pasaran dan banyak lagi. 

Kegagalan memenuhi kriteria faktor-faktor ini boleh membuatkan sesuatu perniagaan itu gagal. Ini bukan mitos atau cakap kosong semata-mata.  Sehingga sekarang, banyak syarikat pengeluar kereta yang gulung tikar. 

Disini kita senaraikan 9 syarikat pengeluar kenderaan yang sudah gulung tikar:-

 

Oldsmobile

Syarikat ini ditubuhkan oleh Ransom Eli Olds pada tahun 1987 dan pertama kali dikenali sebagai Olds Motor Vehicle Co. Pengasas ini juga mempunyai satu lagi syarikat iaitu Olds Gas Engine Works sebelum kedua-dua syarikat ini digabungkan dan dinamakan semula sebagai Olds Motor Works. 

Pada tahun 1901, syarikat ini menjalin kerjasama dengan adik beradik Horace Elgin Dodge Sr dan John Francis Dodge melalui syarikat mereka Dodge Brothers Company sebagai pembekal sistem transmisi kenderaan. Hasil kerjasama ini membolehkan mereka membuat kira-kira 635 unit kereta menjadikan syarikat ini sebagai syarikat yang paling banyak memproduksi kereta. 

Situasi ini secara tidak langsung menaikkan nama syarikat ini di persada sektor automotif dunia. Malang tidak berbau apabila akibat kecuaian pekerja, kilang mereka terbakar dan hangus secara total pada tahun yang sama.

Kilang kemudian dibina semula setelah mendapat pampasan dari syarikat insurans lalu menghidupkan kembali semangat syarikat ini. Namun langit tidak selalunya cerah, pengasasnya Ransom Eli Olds tidak sebulu dengan Pengurus Jualannya iaitu Frederick Smith. Hal ini mengakibatkan Ransom Eli Olds mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat yang ditubuhkan olehnya pada tahun 1904. 

Pada tahun 1908, syarikat General Motors membeli syarikat ini dan meletakkan syarikat ini sebagai syarikat divisi mereka dan kemudian dijenamakan semula sebagai Oldsmobile. Syarikat ini kemudian terus berkembang dan semakin maju sehingga menjadi jenama dominan pada circa 20-an hingga 80-an. 
 

Oldsmobile


Sehinggalah pada tahun 1993 jualan produk mereka merudum teruk. Sebagai perbandingan, lebih 1 juta unit terjual pada tahun 1985 dan hanya kira-kira 400,000 unit sahaja terjual pada tahun 1993.  Perkara ini diorong oleh faktor persaingan oleh jenama import dari Jepun seperti Acura, Infiniti dan Lexus.

Pada tahun 2000, akibat jualan yang kian merudum dan merugikan, General Motor mengumumkan pelan mereka untuk mematikan terus jenama Oldsmobile. Pengumuman ini pula dibuat hanya selepas 2 hari Oldsmobile melancarkan model SUV mereka iaitu Oldsmobile Bravada dan pada ketika ini terdapat beberapa model masih berlangsung produksinya seperti Intrigue, Aurora, Sillhoutte dan Alero. 

Selepas pengumuman ini, barisan model yang masih diproduksi dilengkapi dengan emblem "Final 500" menandakan produksi terakhir Oldsmobile. 

Produksi barisan kenderaan ini ditamatkan secara berperingkat sehinggalah pada tahun 2004, secara rasminya syarikat ini ditutup selepas 107 tahun beroperasi dan tamatlah riwayat Oldsmobile (1897-2004). 
 

Plymouth


Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1928 oleh Walter Chrysler dan merupakan syarikat divisi kepada syarikat Chrysler Corporation. Tujuan penubuhannya adalah untuk bersaing di pasaran kereta mampu milik yang didominasi oleh Chevrolet dan Ford.

Jenama Plymouth ini secara amnya memang dibuat untuk pasaran US dan Canada. Disebabkan itu agak sukar untuk menemukan model kereta Plymouth di negara lain kerana memang tidak dieksport ke luar negara. Jika ada pun, mungkin dibawa oleh individu-individu tertentu.

Walaupun tujuan utamanya untuk menyediakan kereta mampu milik, model Plymouth masih dijual dengan harga yang lebih tinggi dari Chevrolet dan Ford namun ia ditangani dengan teknologi yang lebih canggih seperti penggunaan sistem brek hidraulik.

Pada era Great Depression 1930, jenama ini lah yang membuatkan syarikat induk mereka iaitu Chrysler Corporation masih bertahan. Hal ini kerana barisan model jenama Chrysler, DeSoto dan Dodge yang bernaung di bawah Chrysler Corporation bergelut dari segi jualan.  Disebabkan barisan model Plymouth yang mampu milik ini juga, ia berjaya menempatkan diri di dalam pasaran dengan kukuh dan diiktiraf sebagai "Low Priced Three Marques" bersama Ford dan Chevrolet. 

Jenama ini terus berkembang dan maju pada tahun 40-an sehingga 50-an.  Sekitar tahun 50-an barisan model Plymouth menerima banyak kritikan disebabkan kualiti buatannya yang tidak bagus dan isu karat. 
 

Fury


Pada 1955, Plymouth cuba bangkit memasuki pasaran "Muscle Car" dengan memperkenalkan enjin V8. Model Plymouth Fury adalah model pertama yang menggunakan enjin ini dan dipadankan dengan kotak gear 3-Kelajuan Automatik TorqueFlite.  Mereka meneruskan kesinambungan ini sehingga Circa 60-an dimana pada circa ini lah model ikonik mereka iaitu Plymouth Barracuda atau lebih dikenali sebagai Cuda dilahirkan. Tak cukup dengan itu, pada tahun 1968 Plymouth melancarkan model Road Runner. 

Apa yang istimewanya model ini? Hal ini kerana Plymouth Road Runner merupakan model asas kepada model paling ikonik mereka iaitu Plymouth Superbird.  Plymouth Superbird dilahirkan pada tahun 1970 sebagai syarat regulasi produksi bagi bertanding di dalam NASCAR di mana model ini berkongsi platform bersama satu lagi model ikonik iaitu Dodge Charger Daytona. 

Macam mana boleh berkongsi?
Sebab kedua-dua syarikat ini dimiliki oleh Chrysler Corporation. Bapa cakap anak ikut. 

Pada tahun 1970 juga malang menimpa apabila kerajaan US mengetatkan regulasi peraturan emisi serta keselamatan. Ditambah pula dengan harga bahanapi yang mencanak naik dan ekonomi yang semakin merudum. Hal ini secara tidak langsung memberi isyarat bahawa barisan "Muscle Car" tidak lagi relevan. 

Tahun 80-an, barisan model Plymouth menerima perubahan rekaan yang sangat radikal. Pada ketika ini, kebanyakan pengeluar kereta juga melakukan hal yang sama dimana kebanyakan rekaan kereta berbentuk kotak. Pada ketika ini juga barisan model Plymouth dibuat dengan cara "Rebadge" bagi menjimatkan kos produksi. 
 

Colt
macam pernah lihat, tapi di mana ya? 


Ada barisan model mereka juga yang menggunakan enjin Mitsubishi. Pengaruh jenama Jepun mula tersebar di seluruh US dan mengganggu ekosistem pengeluar kereta tempatan sehingggalah pada tahun 90-an di mana Plymouth seolah-olah kehilangan arah dan hilang identiti. 

Syarikat induk iaitu Chrysler Corporation cuba mengembalikan identiti Plymouth dengan memulakan kembali produksi kereta mampu milik. Namun jualan masih merudum dan kian merudum. Hal ini disebabkan faktor kepercayaan pembeli yang telah hilang ditambah dengan saingan yang sengit di dalam pasaran. 

Bayangkan, daripada 973,000 unit yang terjual pada tahun 1973, Plymouth bergelut untuk menjual kurang dari 200,000 unit setahun selepas tahun 1990.  Akhirnya pada tahun 2001, jenama ini dimatikan oleh Chrysler setelah 73 tahun beroperasi. 

Tamatlah riwayat Plymouth (1928-2001)

 

Rover


Pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1878 oleh John Kemp Starley & Wlliam Sutton sebagai syarikat pembuat basikal. Pada tahun 1904, syarikat ini mula memasuki sektor automotif sebagai pengeluar kereta. Pada awal syarikat ini mula memasuki sektor automotif, pelbagai masalah dalaman berlaku dan pengarah urusan bertukar bersilih ganti. Ditambah pula dengan peristiwa Perang Dunia Pertama.

Ketika ini, barisan model yang dibina oleh Rover serba tidak menjadi disebabkan masalah-masalah ini. Syarikat ini mula serius balik apabila memperkenalkan Land Rover Series I pada tahun 1948. Ye Tuan-Tuan. Land Rover asalnya dari sini lah sebenarnya. 

Sebelum ni ada je model "Saloon". Tapi disebabkan faktor-faktor diatas, ianya tidak berapa menjadi. Seterusnya, pihak Rover melancarkan model Land Rover Series II pada tahun 1958 dan Series IIA pada tahun 1961. Pada waktu yang sama, pihak Rover melancarkan sedan P3,P4,P5 dan P6. 

Sedan P4 75 mendapat komen yang baik dari media dan pengkritik dimana ia dikatakan lebih baik daripada Rolls Royce. Pada tahun 1967, syarikat Rover diambil alih oleh Leyland Motor Corporation. 

Setahun selepas itu syarikat Leyland Motor Corporation bergabung dengan British Motor Holdings dan menggunakan nama British Leyland Motor Corporation Ltd (BLMC). Jenama Rover kini berada dibawah payung BMC.  BMC juga merupakan syarikat induk kepada jenama Mini, Triumph, Austin, Jaguar, MG dan Morris. 

Pada tahun 1970, jenama Range Rover diwujudkan dibawah jenama Rover. Pada tahun 1978, jenama Land Rover diasingkan dari jenama Rover dan jenama Range Rover diletakkan dibawah jenama Land Rover namun masih mengekalkan statusnya sebagai anak syarikat Rover. Tujuannya adalah untuk fokus kepada pembuatan 4X4 dan SUV, sementara Rover pula fokus pada pembuatan kereta sedan. 

Kembali pada BLMC, walaupun mempunyai barisan jenama yang kuat di bawahnya, faktor pengurusan yang huru hara menyumbang kepada kejatuhan syarikat BMC pada tahun 1975
Syarikat ini kemudian diambil alih oleh kerajaan melalui proses "Nationalisation". 
 

Rover


Pada tahun 1976 sehingga 1989, pihak Rover menghasilkan 4 model iaitu Rover SD1, Rover Quintet, Rover 200 dan Rover 416i.  Rover 416i ini sebenarnya model Rebadge dari Honda Integra Generasi Pertama. 

Setelah melalui banyak proses penstrukturan, nama BLMC ditukar kepada Rover Group pada tahun 1986 dan diletakkan di bawah syarikat milik kerajaan iaitu British Aerospace. Pada tahun 1994, jenama Rover dijual kepada BMW.  Pada tahun 2000, BMW menjual jenama Land Rover bersama segala hak jenama dan lesen kepada Ford. 

Berkaitan dengan ini, pihak Rover tidak lagi mempunyai apa-apa hak terhadap Land Rover. Pada tahun yang sama, BMW menjual jenama Rover ke Phoenix Consortium dan dijenamakan semula menjadi MG Rover. Dibawah pemerintahan MG Rover, jenama Rover cuba dihidupkan kembali dengan pengenalan beberapa model namun segalanya tidak menjadi dimana syarikat ini runtuh disebabkan hutang yang tinggi. 

Peristiwa ini menyebabkan ramai kehilangan kerja sehingga memaksa campurtangan kerajaan.  Akhirnya pada tahun 2005 syarikat MG Rover diambil alih oleh Nanjing Automobile Group dan seterusnya bergabung dengan SAIC Motor Corporation milik Negara China.  SAIC hanya mengekalkan jenama MG dan mematikan jenama Rover. Jenama Rover secara rasminya dimatikan pada tahun 2005. 

Tamatlah riwayat Rover (1904-2005). 

 

Pontiac


Asal usul Pontiac sebenarnya bermula dari syarikat Oakland Motor Car Company yang ditubuhkan pada tahun 1907 di Pontiac, Michigan US oleh Edward Murphy.  Pada tahun 1909, General Motors mengambil alih syarikat Oakland Motor Car Company dan dijadikan sebagai jenama di bawah General Motors. 

Pada ketika ini, General Motors merupakan syarikat induk jenama Buick. Pada tahun 1909, model pertama mereka dilancarkan iaitu Oakland Four. Model kedua pula dilancarkan pada tahun 1916 dikenali sebagai Oakland Six.

Jenama Pontiac ditubuhkan pada tahun 1925 sebagai jenama dibawah jenama Oakland dan model pertama mereka iaitu Pontiac Series 6-27 dilancarkan pada tahun 1926.  Jenama Pontiac mendapat sambutan yang memberangsangkan lebih dari jenama Oakland itu sendiri.

Pihak GM mengambil keputusan untuk mematikan jenama Oakland pada tahun 1933 dan fokus terhadap pembangunan jenama Pontiac. Semenjak dari itu, Pontiac fokus untuk memasarkan kereta sedan dan juga Coupe. 
 

KITT


Pada sekitar tahun 60-an, jenama ini mula dikenali dengan barisan "Muscle Cars". Antaranya ialah GTO, Firebird dan Trans Am. Pontiac GTO dibina dengan kerjasama bersama John DeLorean menjadikan kereta ini sangat tinggi nilai estetikanya. Pontiac Trans Am pula boleh dikatakan artis kerana membintangi filem "Smokey And The Bandits" dan siri TV popular Knight Rider sebagai KITT. 

Pada circa 80-an, nilai jualan Pontiac mencapai titik tertinggi mereka. Namun penganalisis ekonomi berpendapat General Motors sebagai syarikat induk tersilap strategi apabila melakukan perkongsian platform bersama jenama lain dibawahnya. Kesannya mula terasa pada tahun 2005 apabila kewangan pihak General Motors sendiri mula goyah. 

Jenama Pontiac masih mengekalkan momentum jualannya dengan baik pada ketika ini. Akan tetapi, disebabkan krisis kewangan syarikat induk mereka banyak barisan model yang sepatutnya dilancarkan tidak dapat dibuat bagi mengurangkan kos perbelanjaan. 

Kemuncaknya pada tahun 2008 apabila General Motors mengumumkan bahawa terpaksa menutup operasi beberapa jenama di bawah mereka melalui program penstrukturan semula . Penstrukturan semula dilakukan bagi mendapatkan pinjaman sebanyak USD25 Billion. Pada tahun 2009, General Motors secara rasmi mengumumkan penutupan operasi penuh jenama Pontiac dan segala produksi Pontiac akan dihentikan menjelang tahun 2010, namun begitu hak jenama Pontiac masih milik General Motors. 

Pada tahun 2010, jenama Pontiac secara rasminya berkubur setelah 85 tahun beroperasi dan pada tahun yang sama, General Motors turut mematikan 2 lagi jenama di bawah mereka iaitu Saturn dan Hummer. 

Tamatlah riwayat Pontiac (1925-2010). 

 

Daewoo


Syarikat ini ditubuhkan dan pertama kali dikenali sebagai National Motor pada tahun 1937. Kemudian ia dijenamakan semula sebagai Saenara Motor pada tahun 1962.  Saenara Motor merupakan syarikat yang bertanggungjawab memasang dan mengedar model Datsun Bluebird PL310. 

Pada tahun 1965, syarikat ini diambil alih oleh syarikat Shinjin Industrial. Shinjin Industrial kemudian menjalin kerjasama dengan Toyota dan dijenamakan semula sebagai Shinjin Motors.  Selepas berpecah dengan Toyota pasa tahun 1972, Shinjin Motors bekerjasama dengan General Motors dan dijenamakan sebagai GM Korea. 

Bermula dari sini GM Korea mula mengedarkan kereta dengan sistem "Rebadge". Terdapat beberapa model dikeluarkan di bawah jenama GM Korea. Pada tahun 1976, syarikat ini dijenamakan sebagai Saehan Motor. Pada tahun 1982, Daewoo Group mengambil alih syarikat Saehan Motor. Pada tahun 1983, syarikat dijenamakan sebagai Daewoo Motor Co.

Pada tahun yang sama, Daewoo Motor Co. melancarkan model pertama mereka yang menggunakan nama Daewoo iaitu Daewoo Maepsy. Model ini merupakan model "Rebadge" dari Opel Kadett C yang juga merupakan model "Rebadge" dari Isuzu Bellett Gemini. 

Kebanyakan model keluaran jenama Daewoo adalah model "Rebadge". Pada tahun 1998, Daewoo Motor Co. mengambil langkah drastik untuk membeli syarikat SsangYong Motor. Semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah pada tahun 1999 syarikat induk iaitu Daewoo Group mengalami krisis kewangan. 
 

Daewoo


Daewoo Motor Co kemudian dijual kembali kepada General Motors. Berikutan dengan itu, SsangYong Motor turut dijual. Daewoo Motor Co. secara rasminya dijenamakan sebagai GM Daewoo pada tahun 2001. 

Pada tahun 2002, anak syarikat GM Daewoo iaitu Daewoo Commercial Vehicle Company diasingkan dari syarikat induknya dan dijual kepada Tata Motors. Di bawah pemerintahan General Motors, GM Daewoo masih rancak mengeluarkan barisan model yang kebanyakannya melalui proses "Rebadge" dari barisan jenama milik General Motors. Pada tahun 2011, GM Daewoo dijenamakan semula sebagai GM Korea menandakan berakhirnya era jenama Daewoo. 

Segala model Daewoo di "Rebadge" menggunakan nama Chevrolet.

Tamatlah riwayat Daewoo setelah 39 tahun beroperasi (1972-2011)


Mercury


Pada pertengahan tahun 30-an, Ford sedar bahawa mereka perlu mewujudkan satu lagi jenama bagi mengisi kekosongan variasi diantara jenama Ford dan Lincoln. Ketika ini mereka hanya ada 2 jenama iaitu Ford dan Lincoln berbanding pencabar mereka iaitu General Motors dengan 7 barisan jenama dan Chrysler 4 barisan jenama. 

Pada tahun 1937, Edsel Ford memulakan projek pembangunan jenama Mercury. Jenama Mercury secara rasmi lahir pada tahun 1938.  Pada tahun yang sama, Mercury melancarkan model pertama mereka iaitu Mercury 8 yang dikuasakan oleh enjin V8 dan mempunyai 95hp. Model ini dijual dengan harga USD916, kira-kira USD230 lebih mahal dari model Ford ketika itu. 

Ia menjadi fenomena dimana model ini diproduksi kira-kira 65,000 unit dalam jangkamasa hanya setahun. Memecah rekod sebagai kereta paling banyak diproduksi dalam masa setahun. Pada tahun 1942, segala operasi Mercury dihentikan disebabkan Perang Dunia Kedua. Pengasasnya Edsel Ford meninggal pada tahun 1943 akibat kanser. Bapanya iaitu Henry Ford mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Namun segalanya serba tidak menjadi kerana Henry Ford sudah terlalu tua dan tahap kesihatannya juga sudah tidak baik. Henry Ford II ketika itu masih bertugas sebagai Navy
sebelum meletakkan jawatan dan kemudian mengambil alih syarikat sebagai Presiden baru Ford Motor Company. 
 

Mercury 8

Perkara pertama yang dilakukan adalah menggabungkan dua jenama iaitu Mercury dan Lincoln dan dikenali sebagai Lincoln-Mercury. Pada tahun 1948, syarikat ini meneruskan operasinya buat kali pertama selepas perang.  Model Mercury 8 generasi ketiga Series 9CM keluaran tahun 1949 mendapat populariti mendadak apabila membintangi filem Rebel Without A Cause dan dipandu oleh aktor James Dean. 

Segalanya berjalan lancar dan jenama Mercury terus mendapat tempat di hati orang ramai. Pada tahun 1978, hasil jualan jenama Mercury mencapai puncak apabila berjaya menjual 580,000 unit kereta. Pada tahun 1985, jenama Lincoln-Mercury membuat keputusan untuk menghasilkan jenama Merkur. 

Dua tahun selepas itu, jenama Merkur dimatikan disebabkan gagal menepati target jualan. Lincoln-Mercury kembali kepada fitrah dan fokus pada pembangunan model mereka sendiri. Bermula pada tahun 2000, jenama Mercury mula goyah dimana mereka masih mencari identiti dalam usaha memodenkan barisan model mereka. Bermula tahun 2000 juga jualan barisan model mereka mula merudum. 

Diantara tahun 2000 sehingga 2010, terdapat 11 model dikeluarkan. Jualan pula merosot dari 359,143 unit ke 93,195 unit sahaja pada tahun 2010. Hal ini menyebabkan pengedar jenama ini menutup terus operasi mereka dari terus menanggung rugi. 

Pada bulan Jun 2010, Ford Motor Company mengumumkan untuk mematikan jenama Mercury dan hanya mengekalkan jenama Lincoln. Tamatlah riwayat Mercury secara rasmi pada tahun 2011 selepas 73 tahun beroperasi (1938-2011)


SAAB


Syarikat dan jenama SAAB ditubuhkan pada tahun 1945 oleh syarikat induk mereka iaitu SAAB AB. Syarikat induk mereka merupakan syarikat yang fokus pada pembuatan jet pejuang. Jenama SAAB ditubuhkan untuk melebarkan sayap perniagaan ke sektor automotif. 

Kereta pertama SAAB dilancarkan pada tahun 1949 iaitu model Saab 92. Kereta ini merupakan kereta yang paling aerodinamik di dunia pada waktu itu dengan kadar "Drag Coefficient" 0.30
Sebanyak 20,000 unit model Saab 92 terjual pada sekitar tahun 50-an.

Model Saab 92 kemudian direka dan dibina semula dan kemudian dijenamakan sebagai Saab 93 pada tahun 1955. Pada tahun 1960, model Saab 96 dilancarkan di mana model ini masih menggunakan platform Saab 92 dan merupakan model pertama SAAB yang dieksport keluar dari Sweden. 

Model ini sangat popular dimana 550,000 unit dihasilkan. Model Saab 92 sehingga 96 sangat unik kerana dilengkapi dengan enjin 2 lejang 2 dan 3 silinder, berbeza dengan syarikat pengeluar yang lain dimana kebanyakannya menggunakan enjin 4 lejang. 

Pada tahun 1968, SAAB melancarkan model Saab 99, di mana model ini merupakan model baru dimana ia bebas dari pengaruh Saab 92. Menariknya, model Saab 99 merupakan model pertama di dunia yang dilengkapi dengan sistem "Headlamp Washer". 

Pada tahun 1969, syarikat induk SAAB iaitu SAAB AB bergabung dengan syarikat Scania-Vabis AB.  Syarikat SAAB AB kemudian dijenamakan semula sebagai Saab-Scania AB. Hal ini tidak mengganggu kelancaran operasi SAAB dimana operasinya berjalan seperti biasa. 

Pada tahun 1978, SAAB menandatangani perjanjian dengan Fiat untuk melakukan "Rebadge" terhadap Lancia Delta dan dijual sebagai Saab 600. Pada tahun yang sama juga SAAB melancarkan model Saab 900 bagi menggantikan model Saab 99. Model ini diproduksikan hampir 1 juta unit dan menjadikan model ini sebagai model paling ikonik Saab. 
 

Saab


Pada tahun 1989, SAAB distruktur semula oleh syarikat induk Saab-Scania AB dan menjadi entiti bebas dan dikenali sebagai Saab Automobile AB. Ketika ini, syarikat General Motors dan syarikat Investor AB memiliki pegangan saham sebanyak 50% setiap satu. Pada tahun 1994, Saab Automobile AB bersama General Motors melancarkan Saab 900 generasi kedua. Model ini menggunakan platform GM2900 yang turut dikongsi oleh Chevrolet, Holden, Opel, Saturn, Vauxhall & Senova. Model ini mendapat nilai jualan yang tinggi dan membuatkan Saab Automobile AB mendapat untung pertama selepas 7 tahun. 

Namun ia tidak dapat menandingi pengaruh Saab 900 generasi pertama. Pada tahun 2000, syarikat General Motors membeli kesemua saham milik Investor AB di dalam syarikat Saab Automobile AB.  Ini menjadikan General Motors sebagai pemilik penuh. 

Dibawah pemerintahan penuh General Motors, segalanya serba tidak menjadi buat Saab. Pada tahun 2007, kegawatan ekonomi melanda dunia dan perkara ini memburukkan lagi keadaan dan General Motors mengumumkan pada tahun 2008 bahawa jenama Saab sedang dipertimbangkan untuk dijual atau dimatikan. 

Pada tahun 2009, Koenigsegg yang disokong oleh Beijing Automotive Industry Holding menyatakan minat untuk membeli Saab. Namun pihak General Motors bermain tarik tali dalam rundingan dan rundingan ini gagal. 

Pada tahun 2010, Saab dijual kepada syarikat Spyker Cars N.V. Namun General Motors masih mempunyai hak keatas lesen teknologi Saab. Pihak General Motors bersetuju untuk tetap membekalkan enjin, kotak gear dan juga alat ganti kepada Spyker Cars N.V bagi memastikan jenama Saab kekal hidup. 

Pada tahun 2011, Saab mengalami krisis kewangan dan syarikat induknya Spyker N.V juga tidak mampu menganggung kerugian. Segala operasi Saab terhenti apabila Saab gagal membayar vendor. Saab cuba berunding dengan syarikat dari China iaitu Youngman. Youngman menyatakan hasrat untuk membeli Saab namun perkara ini tidak dipersetujui oleh General Motors. Hal ini kerana General Motors tidak mahu teknologi Saab jatuh ke tangan China dan rundingan menemui jalan buntu. 

Yang paling malang adalah Spyker Cars N.V. Dia pemilik syarikat Saab namun tiada apa yang mampu dilakukan. Saab kemudian diisytihar bankrap. Pada tahun 2012, segala aset Saab dicairkan dengan nilai USD500 juta dengan nilai hutang semasa berjumlah USD2 Bilion. Menjadikan jumlah hutang semasa Saab menjadi USD1.5 Bilion. Berakhirlah sudah riwayat SAAB selepas 67 tahun beroperasi (1945-2012).

Namun jenama SAAB sebenarnya masih wujud dan digunapakai oleh syarikat induk pertama. Jenama ini digunakan bagi produk ketenteraan dan sektor penerbangan. Cuma jenama SAAB tidak lagi boleh digunapakai di sektor automotif. 

 

Holden


Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1856 oleh James Alexander Holden sebagai syarikat pengeluar pelana kuda yang diperbuat dari kulit, dikenali sebagai J.A Holden & Co. dan berpangkalan di Adelaide. H.A Frost iaitu seorang usahawan Jerman bekerjasama dengan anak James Alexander Holden iaitu Henry James Holden. Syarikat ini kemudian dijenamakan sebagai Holden & Frost Ltd.

Pada tahun 1905, anak Henry James Holden iaitu Edward Holden kemudian menyertai syarikat dan menyatakan minatnya dalam industri pembuatan automotif. Pada tahun 1908, syarikat Holden & Frost Ltd secara rasminya memulakan perniagaan dalam sektor automotif sebagai syarikat membaiki upholsteri kenderaan.

Pada tahun 1914, dengan kemahiran dan pengalaman syarikat dalam industri pembikinan pengangkut kuda, syarikat ini melebarkan sayapnya dengan melakukan servis membaik pulih cesi dan badan kenderaan buatan F T Hack & Co. Pada tahun 1917, Henry James Holden menubuhkan syarikat Holden's Motor Body Builders Ltd (HMBB) di mana syarikat ini fokus pada sektor pembuatan badan kereta. 

Pada tahun 1918, syarikat HMBB memproduksikan kira-kira 587 badan kenderaan. Hanya badan, tidak termasuk cesi, enjin dan lain-lain komponen. Sehingga 1923, syarikat ini berjaya membuat kira-kira 12,000 unit badan kereta setahun dan kebanyakannya dibekalkan kepada Ford Motor Company. 

Pada 1924, syarikat ini menjalin kerjasama dengan General Motors sebagai pembekal badan kereta. Pada tahun 1928, logo Holden bertemakan singa dan batu dicipta. Pada tahun 1926, General Motors (Australia) Limited ditubuhkan di Australia. Tujuannya adalah untuk melalukan proses Complete Knocked Down (CKD) di Australia untuk barisan jenama di bawahnya dibantu pula dengan HMBB sebagai vendor pembekal badan kereta. 

Pada tahun 1931, syarikat General Motors membeli HMBB dan digabungkan dengan GM Australia dan dijenamakan sebagai GM Holden (GMH) dan untuk tujuan pemasaran, nama Holden dipilih sebagai jenama. 

Pada tahun 1934, Sir Laurence Hartnett dilantik sebagai Pengarah Holden. Dia dikenali sebagai "The Father Of The Holden" kerana sumbangan idea untuk membuat kereta Australia pertama walaupun pada awalnya mendapat tentangan dari syarikat induk General Motors. 
 

Holden


Disebabkan ketegasannya, pihak General Motors akur dan impian Australia untuk memiliki kereta pertama direalisasikan. Cuma pembangunan model pertama Holden tertangguh seketika disebabkan Perang Dunia Kedua. Akhirnya, pada tahun 1948 Perdana Menteri Australia ketika itu Ben Chifley merasmikan pelancaran kereta pertama Holden dan juga kereta pertama Australia
Ia dikenali sebagai Holden 48-215. Dilaporkan bahawa 18,000 tempahan diterima ketika satu unit pun belum diproduksi. Harga baru ketika itu adalah AUD1,466. Sokongan rakyat Australia ketika itu memang padu. 

Jenama Holden terus berkembang, di mana pada tahun 1963, model Holden EH dilancarkan dan mendapat sambutan hangat. Sebanyak 256,959 unit dihasilkan dan terjual menjadikannya sebagai model ikonik Holden. Pada tahun 1968, Holden mengeluarkan model V8 pertama mereka yang dikenali sebagai Holden Monaro. Model ini juga dieksport ke Afrika Selatan dan di "Rebadge" menjadi Chevrolet SS.

Pada tahun 1971, model Holden Kingswood generasi kedua dilancarkan dan menjadi model paling banyak dihasilkan dan dijual ketika itu. Terdapat kira-kira 485,650 unit yang diproduksi. Pada tahun 1978, Holden melancarkan model Holden Commodore VB generasi pertama. Model ini merupakan kereta sedan kelas pertengahan dan menggunakan platform GM V yang dikongsi bersama dengan Opel & Vauxhall.  Model ini dilancarkan bagi menggantikan sedan kelas penuh (Full Size Sedan). Hal ini kerana ketika itu dunia sedan mula pulih dari krisis minyak.
 

VL


Pada tahun 1986, disebabkan peraturan emisi serta harga bahanapi yang mencanak tinggi, pihak Holden bekerjasama dengan Nissan untuk menggunakan enjin 6 silinder sebaris RB20E, RB30E dan RB30ET pada model Holden Commodore VL.  Enjin ini menghasilkan lebih kuasa dari enjin V8 dan lebih menjimatkan bahanapi namun varian V8 masih ditawarkan.  Pihak Holden menyatakan bahawa enjin 6 siilinder adalah untuk kuasa dan enjin V8 adalah untuk daya kilas. Pembeli boleh memilih variasi mana yang diminati. 

Pada tahun 1987, syarikat Holden Special Vehicle (HSV) dilahirkan dan menjadi anak syarikat Holden. Syarikat ini dibina bertujuan untuk melakukan modifikasi dan jenamanya digunakan pada model berprestasi tinggi Holden, sama seperti AMG untuk Mercedes Benz dan M untuk BMW. 

Pada tahun 1989, kerjasama antara Holden dan Nissan berakhir dan Holden memulakan kerjasama dengan Toyota namun kerjasama ini berakhir pada tahun 1996 selepas model yang dikongsi bersama gagal menepati target jualan. 

Pada tahun 2001, Holden Monaro generasi ketiga dikenali sebagai Holden Monaro V2 dilancarkan
Model ini mendapat perhatian serius syarikat induk mereka iaitu General Motors sehinggakan pihak GM mahu membawa model ini ke US dan di "Rebadge" menjadi Pontiac GTO.  Model ini akhirnya dieksport ke US dan mendapat sambutan yang lebih baik dari negara kelahirannya sendiri Australia. 

Pada tahun 2006, Holden melancarkan Holden Commodore VE. Model ini merupakan model yang paling mahal kos pembangunannya dimana ia menelan kos sekitar USD 1 Bilion. Hal ini kerana, segala pembangunan seperti rekaan badan, cesi, sistem suspensi dan lain-lain lagi dibuat sendiri oleh Holden di Australia menjadikan kereta ini kereta paling Australia pada era baru Holden. 

Model ini diproduksi secara banyak dan turut dieksport ke US dan Afrika Selatan. Pada tahun 2013, Holden Commodore VF dilancarkan dan pada masa yang sama Ford Motor Company mengumumkan bahawa mereka akan menutup operasi mereka di Australia. Model ini turut dieksport ke US dan di "Rebadge" menjadi Chevrolet SS. Eh kenapa Chevrolet ? Bukan biasa di "Rebadge" menjadi Pontiac GTO ke?

Ketika ini jenama Pontiac sudahpun berkubur. Sebab itu ia di "Rebadge" sebagai jenama Chevrolet. Model ini juga turut digunakan dalam perlumbaan NASCAR di mana nama Commodore masih digunakan. 

Pada tahun 2013 juga Holden mula mengalami krisis kewangan. Kerajaan Australia turut membantu dengan memperkenalkan pelbagai subsidi dan menganugerahkan geran bernilai beratus juta dolar. Ketika ini, satu-persatu aib mula terbuka apabila terdapat laporan menyatakan Holden mengalami kerugian bagi setiap kereta yang diproduksi. 

Hal ini bertambah buruk apabila Holden mula memotong gaji pekerja dan mula mengurangkan jumlah pekerja. Pada Disember tahun yang sama, akibat keadaan kewangan yang semakin tidak menentu, syarikat induknya iaitu General Motors mengumumkan akan memberhentikan operasi Holden menjelang 2017. 

Pada tahun 2016, Holden menutup operasi kilang enjinnya di Port Melbourne selepas 68 tahun beroperasi dari 1948. Kilang ini sudah memproduksi lebih 10 juta unit enjin. 
 

commodore


Pada tahun 2017, Holden memproduksikan kereta terakhir mereka iaitu Holden Commodore V8 berwarna merah dalam upacara tertutup dan dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang pekerja. Hal ini menandakan secara rasminya Holden menutup operasinya dalam bidang pembuatan. Jenama ini masih hidup namun hanya menjual kereta "Rebadge" dari jenama milik General Motors yang lain. 

Pada Disember 2019, Holden menyatakan bahawa model Holden Commodore yang masih terdapat di pasaran akan dijual sebagai model penghabisan stok. Jualan barisan kereta Holden terus merudum. 

Pada Februari 2020, pihak General Motors menyatakan bahawa mereka tidak lagi mahu memproduksi kereta "Right Hand Drive" sekaligus menjadi titik nokhtah kepada Holden. Holden secara rasminya menamatkan operasinya pada 31 Disember 2020. 

Tamatlah diwayat Holden selepas 112 tahun di dalam industri Automotif (1908-2020)


Renault-Samsung Motors


Pada awal tahun 90-an, Pengerusi Samsung pada ketika itu iaitu Lee Kun-Hee sedar bahawa sektor automotif sedang mencapai puncak sepertimana sektor-sektor yang lain. Pada masa yang sama, beliau berpendapat bahawa Samsung Group dapat menyumbangkan sumber serta teknologi menerusi anak syarikatnya Samsung Electrics dan Samsung Electronics.Beliau memulakan langkah pertama dengan niat untuk membeli syarikat Kia.

Namun saingan sengit daripada pihak pembida yang lain menyebabkan niat beliau tidak dapat direalisasikan. Pada ketika itu, syarikat Kia berjaya diambil alih oleh syarikat Hyundai.

Lain macam betul Hyundai, padahal Samsung Group merupakan konglomerat yang paling berkuasa di Korea Selatan. Walaubagaimanapun, Lee Kun-Hee tidak berputus asa dan meneruskan niatnya. Pada tahun 1994, syarikat Samsung Motors yang dikenali sebagai SMI ditubuhkan dan diletakkan sebagai anak syarikat Samsung Group. Tidak lama selepas syarikat SMI ditubuhkan, krisis kewangan melanda keseluruhan Asia. 

Samsung Group melepaskan SMI dan meletakkan SMI sebagai syarikat untuk dijual. Daewoo Motors menunjukkan minat pada awalnya namun syarikat tersebut turut terjejas dek kerana krisis ekonomi yang semakin meruncing. Hujung-hujung Daewoo Motors pun kena beli dengan General Motors. 

Kemudian, Samsung Group cuba berunding dengan Hyundai Motors. Namun disebabkan persengketaan serta politik korporat diantara dua syarikat ini menjadikan urusan ini hampir mustahil untuk direalisasikan. Pada tahun 1998, Samsung Group mula berunding dengan syarikat Renault dan hasilnya syarikat Renault membeli 70% pegangan di dalam SMI dengan nilai USD560 Juta pada tahun 2000. 
 

SQ5


Sebenarnya sebelum rundingan bersama Renault dilakukan, pihak SMI sudah mempunyai kerjasama dengan Nissan sebagai rakan teknikal. Dengan kesepakatan SMI dan Nissan, maka terhasil lah produk pertama mereka iaitu SQ5 yang di "Rebadge" dari Nissan Cefiro A32. Model ini kebanyakannya digunakan sebagai teksi di Korea Selatan. Hal ini yang menarik minat Renault untuk membeli SMI. 

Selesai urusan pembelian SMI, Renault menjalinkan pakatan pula dengan Nissan. Selepas itu, SMI dijenamakan sebagai Renault Samsung Motors (RSM) dan dijadikan anak syarikat dibawah payung "Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance". 

Model SQ5 yang dibina oleh SMI kemudian dijenamakan semula menjadi RSM SM5. Seiring dengan masa, RSM memperkenalkan model SM3 pada tahun 2002 yang di "Rebadge" dari Nissan Sentra, kemudian model RSM SM7 pada tahun 2004 yang di "Rebadge" dari Nissan Teana. 

Kemudian model RSM QM5 pada tahun 2007 yang di "Rebadge" dari Nissan Qashqai. Seiring dengan masa, pihak RSM mula mengalihkan orientasi dari model berasaskan Nissan kepada model berasaskan Renault.  Hala tuju syarikat juga berubah dimana ia menjadi syarikat pengeluar kenderaan yang fokus pada pasaran eksport. Bukan setakat domestik. 

Pada tahun 2009, rundingan diantara Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance dan Samsung Group dilakukan bagi memperbaharui hak penggunaan jenama Samsung pada produk mereka sehingga tahun 2020. Pada tahun 2011, jualan RSM di pasaran domestik terjejas akibat monopoli Hyundai dan Kia. Pada tahun 2012 keadaan semakin meruncing sehinggakan pihak pengurusan terpaksa mencadangkan pengurangan tenaga kerja sebanyak 80%. 

Akhirnya, Renault bersetuju dengan cadangan tersebut namun hanya mengurangkan 15% tenaga kerja sahaja. Pada tahun 2012 juga, Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance melabur sekitar USD160 juta bertujuan untuk memproduksi kira-kira 80,000 unit Nissan Rogue setahun. Kenapa buat kat Korea Selatan?

Hal ini kerana pihak Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance mahu menggunakan kelebihan Korea Selatan yang mempunyai perjanjian "Free Trade Aggreement" bersama US dan Kesatuan Eropah. Selepas itu, pihak RSM turut mengeluarkan beberapa model sedan dan SUV. Tidak lama selepas itu, pihak RSM menghentikan segala produksi sedan dan hanya mahu fokus pada SUV. 
 

sm33


Pada tahun 2012 juga, pihak RSM mencuba untuk memasarkan model terbaru mereka iaitu RSM SM3 dimana model ini merupakan model elektrik yang di "Rebadge" dari Renault Fluence ZE. Pada tahun 2013, produksi RSM SM3 Electric bermula di Korea Selatan. Pada tahun yang sama juga model ini mendapat sambutan hangat dimana ia memonopoli sehingga 58% pasaran kereta elektrik di Korea Selatan. 

Pada tahun 2020, RSM mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan model terbaru mereka di Manila International Auto Show sekaligus meletakkan tapak mereka disana. Namun pelan ini ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19. Pada Julai 2020, pihak RSM menyatakan bahawa mereka tidak memikirkan untuk menukar logo produk mereka setelah lesen hak jenama Samsung tamat pada Ogos 2020. 

Pada ketika ini, Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance mempunyai 80.1% saham dalam RSM dan lagi 19.9% milik Samsung Card Co. Pada Ogos 2021, Samsung Card Co. menyatakan bahawa mereka ingin menjual keseluruhan saham mereka sebanyak 19.9% didalam RSM. Keputusan ini disebabkan oleh pandemik Covid-19, perbalahan dengan persatuan pekerja, mogok pekerja, masalah bekalan mikrochip dan saingan sengit daripada pihak lawan. 

Data juga menunjukkan bahawa pada tahun 2020 juga RSM mencatatkan kerugian sekitar USD60 juta. Perkara ini menandakan bahawa jenama Samsung secara rasminya mengundurkan diri sebagai syarikat pengeluar kenderaan. Segala model RSM yang masih menggunakan nama Samsung akan ditamatkan menjelang 2023. 

Maka tamatlah riwayat Renault-Samsung Motors pada tahun 2021 selepas 27 tahun beroperasi (1994-2021)

Penulis: Ahmad Omar

Penulis merupakan seorang pengarah urusan pusat servis kenderaan. Beliau berpengalaman bertugas sebagai mekanik, penasihat teknikal dan pengurus pemasaran di dalam dan luar negara. Beliau juga berpengalaman di dalam mengendalikan jentera-jentera mewah dari Itali, Jerman, UK dan Jepun.

Berita Berkenaan

Informasi
    Dianggarkan satu bilion pengguna mempercayai jenama Continental setiap hari! Continental…
Model Terbaharu
Antara jenama yang dimaksudkan itu termasuklah Benelli, Keeway dan QJ Motor yang dipasarkan ke…
Berita Global
Model terbaharu yang dipasarkan di bawah jenama MILITEM adalah FEROX-T, secara asasnya merupakan…