ACM City One - EV bersaiz Axia dengan sistem bateri boleh tukar

oleh Mohamad Hanif|
Teknologi EV tidak dapat dinafikan masih lagi terlalu mahal untuk sesetengah golongan, menyebabkan mereka sukar untuk beralih ke arah penggunaan kereta yang lebih senyap dan mesra alam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disebabkan itu, banyak syarikat kini sudah pun mula memperkenalkan perkhidmatan perkongsian kenderaan sebagai satu alternatif.

Kereta comel City One bersaiz seakan Axia ini datangnya dari syarikat pemula Jerman yang dinamakan sebagai ACM (Adaptive City Mobility) dan ia merupakan prototaip EV dengan sistem bateri yang boleh ditukar ganti.

Ia dibangunkan dengan kerjasama daripada Magna, mempunyai kabin modular dan slot bateri saling-tukar yang mudah untuk diakses.
 

ACM


Dari segi dimensi, anda boleh bayangkan sebuah Axia tanpa enjin tiga silinder sebaris, di mana City One memiliki ukuran 3,600 mm panjang, 1,650 mm lebar dan 1,670 mm tinggi.

Kuasa diperoleh daripada motor elektrik 34 hp yang membenarkan kereta ini dipandu sehingga 110 km/j sahaja.

Pek bateri 24 kWh pula terdiri daripada unit bateri kekal dan empat pek berbentuk beg suitcase dengan kapasiti 2.5 kWh setiap satu yang boleh diakses menerusi pintu belakang, dan proses penukaran hanya mengambil masa sekitar tiga minit sahaja.
 

City One


Dengan pengecasan penuh, anda boleh memandu sejauh 240 km atau sehingga 360 km dengan membawa bateri ganti yang boleh disimpan di atas roof box.

Masa pengecasan hanyalah sekitar lima jam (menggunakan stesen pengecasan umum) atau sehingga lapan jam dengan menggunakan plug biasa di rumah.

Rekaan ruang kabin yang mampu memuatkan lima orang ini boleh dikatakan agak minimalis, dengan rekaan roda stereng daripada kereta era 90-an, konsol tengah yang menempatkan butang kawalan fizikal, serta ruang kargo sebesar 400 liter (Axia hanya sebesar 260 liter!).
 

ACM


Tempat duduk belakang boleh dilipat bagi membolehkan ruang itu tadi diperbesarkan sehingga 1,450 liter dengan muatan maksimum 380 kg.

Versi 'van panel' pula menawarkan pemasangan panel pada tingkap belakang, serta skrin bersaiz 40 inci untuk paparan iklan ketika sedang bergerak.

ACM mensasarkan City One untuk digunakan sebagai kereta sewa, teksi atau kenderaan komersial, namun untuk pembeli individu mereka boleh mendapatkan kereta kecil ini dengan harga bermula dari  €10,000 (RM49,277) bergantung kepada spesifikasi.

Ia secara langsung menjadikannya pesaing secara terus kepada model Dacia Spring yang merupakan salah satu kereta elektrik termurah di dunia.
 

ACM


ACM mendakwa mereka telah pun mengumpulkan lebih daripada 208,000 tempahan, namun fasa produksi hanya akan bermula pada tahun 2023.