Active Air Skirt dari Hyundai dan Kia, kurangkan Cd tambah jarak pemanduan

oleh Muhammad Md Tajudin|
Active Air Skirt
Active Air Skirt
Hyundai Motor Company dan Kia Corporation memperkenalkan teknologi Active Air Skirt (AAS) yang membantu meningkatkan prestasi kenderaan elektrik (EV).

Teknologi itu meminimumkan rintangan aerodinamik yang dijana semasa pemanduan kelajuan tinggi dan meningkatkan jarak serta kestabilan pemanduan.

Jika pengguna mengambil peduli tentang jarak seliter petrol dan diesel untuk kenderaan pembakaran dalaman, EV pula mengenai jarak pemanduan dengan cas penuh.

Selain itu, prestasi aerodinamik mempunyai kesan yang besar bukan hanya pada prestasi kuasa tetapi juga kestabilan pemanduan dan bunyi angin.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Active Air Skirt - Hyundai dan Kia

 

Bagi mendepani cabaran tersebut, pengeluar meneroka pelbagai kaedah untuk mengurangkan pekali seret (Cd).

AAS berfungsi dengan mengawal aliran angin yang memasuki bahagian bawah bampar dan mengawal gelora yang dijana dari tayar.

Kepak itu dipasang di antara bampar dan roda depan dan hanya dibuka pada kelajuan melebihi 80 kilometer sejam (km/j) dan disimpan semula pada kelajuan 70 km/j.

Perbezaan di antara kelajuan buka dan simpan ialah bagi mengelakkan kekerapan operasi di dalam julat kelajuan spesifik. Ringkasnya, tidak mahu buka dan simpan berulang kali.

 

Active Air Skirt - Hyundai dan Kia

 

Kepak AAS hanya melindungi sebahagian dan bukan sepenuh tayar dan berkait dengan karakteristik pelantar E-GMP untuk EV.

Penutupan sebahagian tayar lebih berkesan berbanding perlindungan penuh bagi meningkatkan prestasi aerodinamik memandangkan lantai pelantar jenis rata.

Kaedah itu turut meningkatkan daya mendap dan menyumbang kepada cengkaman dan kestabilan kenderaan yang lebih baik.

 

Active Air Skirt - Hyundai dan Kia

 

AAS juga boleh beroperasi pada kelajuan melebihi 200 km/j susulan penggunaan getah yang tahan lasak pada bahagian bawah.

Penggunaan getah mengurangkan risiko akibat objek yang tercampak dan mengakibatkan kerosakan.

Berdasarkan ujian pada Genesis GV60, pengurangan Cd sebanyak 0.008 dan penambahbaikan seretan sehingga 2.8 peratus berjaya dicapai.

Angka itu diterjemah kepada pertambahan jarak pemanduan sekitar enam kilometer. 

 

Tirai udara roda Hyundai IONIQ 6
Tirai udara roda Hyundai IONIQ 6

 

Menurut Naib Presiden dan Ketua Kumpulan Pembangunan Badan Pengangkutan, Hyundai Motor Group, Sun Hyung Cho, teknologi itu mempunyai lebih banyak kesan pada SUV.

Seperti yang diketahui, keadaan fizikal SUV menjadikan penambahbaikan prestasi aerodinamik lebih sukar dan AAS dapat membantu.

Hyundai Motor dan Kia telah memohon paten berkaitan di Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Kedua-dua syarikat mempertimbangkan untuk mengeluarkannya secara besar-besaran selepas ujian ketahanan dan prestasi.

 

Perangkap pemisahan Hyundai IONIQ 6
Perangkap pemisahan Hyundai IONIQ 6

 

Sementara itu, Hyundai Motor dan Kia menggunakan pelbagai teknologi seperti spoiler belakang dan kepak udara jenis aktif dan tirai udara roda (wheel air curtain).

Turut digunakan bilah pengecil jarak roda (wheel gap reducers) pada sisi bampar depan dan perangkap pemisahan (separation trap) pada bampar belakang untuk Cd yang baik.

Teknologi dan kaedah tersebut boleh dilihat pada IONIQ 6 yang mempunyai Cd 0.21.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Hyundai IONIQ 6