Terbaru Acura berkongsi tentang perkembangan model elektriknya yang pertama iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) ZDX dan varian berprestasi ZDX Type S.
Dari segi sejarah, ZDX generasi pertama yang dikeluarkan dari 2009 hingga 2013 tampil menyerlah dengan reka bentuk futuristik.
ZDX juga model pertama yang direka dari asas di Studio Reka Bentuk Acura di Los Angeles yang dibuka pada 2007 dan model terbaru ini turut direka di studio sama.
Menarik tentang ZDX baharu apabila dibangunkan secara bersama dengan GM dan menggunakan platform kenderaan elektrik global yang dikuasakan bateri Ultium.
Bermula pada 2026 barulah Acura akan melancarkan model EV yang menggunakan platform e:Architecture milik sendiri.
Bayangan ZDX sudah boleh dilihat melalui Acura Precision EV Concept yang dipertonton pada Ogos lalu.
Seperti yang dinyatakan, akan ada dua model ZDX termasuk model berprestasi Type S yang merupakan tradisi Acura.
Kedua-dua model ZDX bakal diperkenal pada 2023 dan nampaknya unit prototaip sedang giat dibangunkan termasuk ujian di atas jalan raya sebenar.
Menurut Acura, prototaip ZDX sedang diuji dan ditala bagi mengoptimumkan dinamika dan pengalaman pemanduan keseluruhan.
Selain itu, penulis teruja untuk melihat ZDX baharu memandangkan model sebelum ini begitu menyerlah dan langsung berbeza daripada model Acura lain!
Penulis: Muhammad Md Tajudin