Acura TLX 2021 - sedan sports generasi baharu dari Honda

oleh Mohamad Hanif|
Jika anda masih ingat tahun lalu, Acura pernah memperlihatkan sebuah model konsep Acura Type S Concept yang direka berdasarkan falsafah "Precision Crafted Performance" dan hasilnya, sebuah sedan yang cukup garang, namun kekal ringkas pada masa yang sama.

Setelah beberapa gambar acah didedahkan sepanjang tempoh sehingga sekarang, akhirnya Acura telah menarik tirai dengan melancarkan secara rasmi generasi baharu Acura TLX 2021.

Dengan pengenalan model sedan mewah ini juga, Acura TLX merupakan model pertama yang membawakan kembali nama Type S yang lebih berkuasa.

 


Acura TLX dibangunkan daripada platform yang paling tegar pernah Acura hasilkan (selain platform NSX), malah ia 50 peratus lebih keras berbanding model terdahulu, terima kasih kepada penggunaan bahan ringan seperti aluminium dan keluli.

Platform baharu ini juga mementingkan aspek pengendalian dengan penggunaan suspensi jenis double-wishbone di hadapan menggantikan MacPherson, manakala suspensi belakang pula adalah jenis multilink.

 


Dari segi penampilan, Acura TLX dilihat membawakan persamaan dengan  model konsep Type S seperti rekaan gril signatur Diamond Pentagon, logo Acura yang cukup besar serta lampu LED "Chicane" di hadapan dan belakang.

Sebagai sebuah kereta sedan yang sporti, Acura TLX banyak menampilkan garisan-garisan badan bagi menonjolkan karakteristik atlit yang terdapat pada hud enjin, panel bumbung, serta rekaan bumper yang membawakan tip ekzos berkembar dan spoiler terintegrasi.

 


Sementara TLX Type S pula membuang segala elemen krom yang ada dan digantikan dengan layangan warna hitam pada gril Pentagon itu tadi, di mana Acura telah melengkapkan rekaan tekstur yang mengoptimasikan penyejukan enjin, dan dibantu dengan kehadiran liang kemasukan udara yang besar pada bumper hadapan.

Penampilan TLX Type S diserikan lagi dengan pemakaian spitter hadapan, spoiler belakang, serta diffuser yang dilayangkan dengan warna hitam berkilat, atau opsyen kemasan gentian karbon.

 


Dua versi enjin yang ditawarkan untuk sedan sporti ini, di mana versi asas didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder sebaris yang diambil daripada model RDX menghasilkan 272 kuasa kuda dan 380 Nm daya kilas.

Manakala Acura TLX Type S pula dilengkapkan dengan nadi serba baharu bentangan V6 3.0 liter turbo twin-scroll dengan angka output tidak rasmi sekitar 380 kuasa kuda dan 475 Nm.

Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik 10 nisbah kelajuan yang memacu roda hadapan, kecuali varian Type S yang didatangkan dengan sistem pacuan semua roda Super Handling All Wheel Drive (SH-AWD).

 


Memasuki ruang kabin, anda akan disambut dengan roda stereng bawah rata, tempat duduk balutan kulit merah (trim Type S), sistem infotaimen bersaiz 10.2 inci yang duduk bertenggek di tengah papan pemuka, serta konsol tengah yang direka tinggi memisahkan antara pemandu dan penumpang.

Konsol tengah tersebut menempatkan kawalan iklim, butang kawalan transmisi, serta kawalan sesentuh yang diperlukan bagi mengakses sistem infotainmen itu tadi.

Setiap varian didatangkan dengan kemasan yang berbeza, iaitu kemasan kayu berliang pada panel pintu dan konsol tengah (Advance), dan kemasan aluminium untuk trim yang lebih premium.

 


Walaupun Acura memfokuskan aspek prestasi pada TLX, aspek keselamatan tidak pernah dilupakan sama sekali, dimana model baharu ini turut didatangkan dengan ciri bantuan pemandu AcuraWatch yang merangkumi:

  • pemantauan tumpuan pemandu
  • sistem pengecaman papan tanda trafik
  • kawalan pelayaran adaptif
  • bantuan pemanduan dalam kesesakan
  • beg udara rekaan baharu mengurangkan kecederaan berpotensi

Acura TLX 2021 dijual pada harga bermula dari $35,000 (RM152,441*)

*berdasarkan penukaran matawang semasa

Add new comment