Acura TLX 2024 tampil bergaya seperti biasa, kelengkapan dipertingkat

oleh Muhammad Md Tajudin|
Acura TLX Type S 2024
Acura TLX Type S 2024
Acura tiada kena mengena dengan pasaran tempatan kecuali berada di bawah Honda yang digemari ramai pengguna di negara kita.

Walaupun tidak boleh memiliki kenderaan Acura secara rasmi, aura jenama premium itu boleh dirasai pada enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang digunakan pada Acura Integra.

Model berprestasi Integra Type S pula boleh dikatakan versi mewah Honda Civic Type R.

Integra diletakkan sebagai pintu masuk kepada jenama Acura dan di atasnya adalah TLX yang dijenamakan sebagai sedan sport premium.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Acura TLX A-Spec 2024

 

TLX juga satu daripada model Acura yang menggunakan enjin 2.0 liter VTEC Turbo. 

Sebuah lagi enjin iaitu 3.0 liter V6 turbo menggambarkan mengapa Acura dikhususkan untuk pasaran Amerika Syarikat.

Untuk model 2024, Acura telah meningkatkan penampilan dan kelengkapan asas dan seperti biasa, TLX Type S menawan hati dan terasa seperti mahu dibawa ke sini.

Sedan itu dibahagi kepada dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter VTEC Turbo untuk TLX, TLX A-Spec dan beberapa lagi varian dengan kotak gear automatik sepuluh kelajuan.

 

Acura TLX A-Spec 2024

 

TLX Type S dibekalkan enjin 3.0 liter V6 turbo dengan kotak gear automatik sepuluh kelajuan talaan sport.

Dari segi tenaga, TLX dan TLX A-Spec menghasilkan 272 kuasa kuda (hp) pada 6,500 rpm dan tork 380Nm dari 1,600 sehingga 4,500 rpm.

TLX Type S pula lebih perkasa dengan 355 hp pada 5,500 rpm dan tork 480Nm dari 1,400 sehingga 5,000 rpm.

Walaupun berkongsi enjin, TLX tidak dibekalkan pacuan Super Handling All-Wheel Drive™ seperti TLX A-Spec atau pun TLX Type S.

 

Acura TLX Type S 2024

 

Pacuan semua roda tersebut satu daripada ciri utama yang membezakan kenderaan Honda dan Acura.

Bayangkan Civic Type R menggunakan pacuan semua roda? Barulah setara dengan Golf R atau hatchback AMG A 45.

Namun pacuan semua roda bukan identiti Civic Type R dan hero Jepun itu perlu kekal dengan pacuan roda depan.

Satu lagi perbezaan dan mudah dilihat ialah brek depan Brembo di sebalik rim 20 inci TLX Type S.

 

Acura TLX Type S 2024

 

Berikut ciri-ciri Acura TLX 2024:

  • Bahagian depan dengan jeriji corak baharu dan tanpa bingkai Diamond Pentagon
  • Rim 19 inci (daripada 18 inci), stereng kulit Milano, ELS Studio Premium Audio, lampu suasana Iconic Drive™
  • Skrin HD Dual Content Display 12.3 inci
  • Meter Precision Cockpit™ Digital Instrument Cluster 12.3 dengan larasan baharu
  • Sambungan tanpa wayar Apple CarPlay® & Android Auto™, pad pengecas tanpa wayar
  • Fob kunci dengan penghidupan enjin kawalan jauh dan maklum balas kenderaan
  • Radar depan gelombang milimeter di belakang logo Acura
  • Maklumat Titik Buta dengan cerapan radar lebih luas dan fungsi Peringatan Penukaran Laluan
  • Sistem peringatan tali pinggang keledar belakang
  • Rim 19 inci baharu, warna Shark Gray (TLX A-Spec)
  • Dua muncung ekzos bentuk bujur baharu (TLX A-Spec)
  • Spoiler belakang hitam kilat baharu (TLX A-Spec)
  • Kabin lebih senyap dan sistem Kawalan Bunyi Aktif yang dipertingkat (TLX A-Spec)
  • Rim 20 inci baharu, warna Berlina Black (TLX Type S)
  • Kamera Pandangan Sekeliling resolusi tinggi (TLX Type S)
  • Papar pandu 10.5 inci dengan paparan boleh pilih (TLX Type S)
  • Tindak balas pendikit yang dipertingkat dalam mod Sport+ untuk rasa pecutan lebih baik (TLX Type S)
  • Warna Urban Gray Pearl (TLX A-Spec, TLX Type S)
  • Warna Liquid Carbon Metallic (TLX dengan Technology Package)
Acura TLX A-Spec 2024

 

Maka begitulah saudara dan saudari, sedan premium di Amerika Syarikat yang hampir mustahil untuk dimiliki di sini.

Bukan sahaja negara ini, di Jepun pun tiada kecuali model kembar Honda dan Acura.

Penulis: Muhammad Md Tajudin