Adakah Malaysia patut tiru India - lindungi syarikat automotif tempatan?

oleh HEZERI SAMSURI|
Kerajaan India telah memperkenalkan beberapa syarat untuk melindungi industri automotif domestik mereka.

Antara yang telah dilakukan ialah:

- Memperkenalkan cukai import yang lebih tinggi, dari 25 ke 125 peratus untuk kenderaan import bergantung kepada jenis dan saiz enjin, demi menjadikan kenderaan import lebih mahal dari yang dihasilkan di dalam negara.

- Meningkatkan kandungan komponen tempatan untuk kenderaan yang dipasang di dalam negara (CKD) untuk menerima insentif-insentif yang ditawarkan.

- Membataskan import kenderaan dengan mengenakan halangan berkait dengan usia dan keadaan kenderaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk mempromosikan pelaburan automotif ke dalam negara pula, India memberikan insentif cukai dan subsidi, insentif khusus untuk mempromosikan kerjasama dengan syarikat tempatan mereka dan pelan-pelan khusus untuk meningkatkan penggunaan dan pemasangan EV.

Sebenarnya, Malaysia telah lama mewujudkan insentif-insentif tersebut, cuma berbeza dengan India, Malaysia mempunyai pesaing-pesaing dari negara Asean sendiri dan ahli-ahli negara Asean telah bersetuju untuk menurut syarat-syarat AFTA yang melihat tarif cukai hampir sama untuk kenderaan yang dibawa masuk dari negara Asean sendiri.

Cuma yang menjadi persoalan, kita lebih banyak mengimport kenderaan masuk dari Thailand dan Indonesia, sedangkan eksport kita ke negara-negara itu masih jauh lebih rendah.

 

 

Tahun lalu, Thailand memasang sebanyak 1.84 juta unit kenderaan (TPV) dan menjual sebanyak 775,780 unit kenderaan di dalam negara mereka (TIV). Thailand mengeksport sebanyak 1.11 juta unit kenderaan ke negara luar, menjadikan mereka negara nombor satu 

Indonesia pula telah memasang sebanyak 1.4 juta unit kenderaan sepanjang tahun 2023 (TPV), dan mereka menjual sebanyak 1 juta unit kenderaan dalam tahun yang sama (TIV). Negara republik itu berjaya mengeksport lebih kurang 571,000 unit kenderaan tahun lalu.

Malaysia menjual sebanyak 799,731 unit kenderaan dalam tahun 2023 (TIV), tetapi Malaysia cuma menghasilkan 774,600 unit di dalam negara (TPV) dan kebanyakan dari jumlah itu adalah untuk jualan domestik sahaja.

Malah, sudah menjadi taktik Malaysia untuk menjual angka jualan domestik yang lebih tinggi sedangkan jumlah kenderaan yang dipasang di dalam negara (TPV) dan jumlah eksport tidak akan disebut.

Kita tidak mempunyai banyak syarikat yang mengeksport kenderaan keluar - Proton, Perodua, Mazda dan Peugeot adalah antara yang mengeksport produk mereka ke pasaran luar dalam jumlah yang kecil.

Malaysia lebih banyak mengeksport komponen automotif ke pasaran global, dan ini ada kelebihannya, cuma ia tidak banyak membantu dalam usaha mempromosikan negara. Taiwan dan China contohnya, sudah lama menjadi negara pembekal komponen elektronik tetapi mereka hanya mula dikenali selepas ia menghasilkan jenama-jenama mereka sendiri yang bertaraf dunia.

 

 

 

Menjadi negara pembekal komponen juga tidak mencukupi untuk melindungi negara dari serangan ekonomi luar. Sekiranya ada negara yang bangkit dan menawarkan komponen yang sama dengan kos yang lebih rendah, kita sudah mula terasa sesak di dada. Mana mungkin gaji pekerja kekal sama atau lebih ajaib lagi, makin menurun. 

Eropah juga nampaknya sudah memulakan "serang balas" mereka kepada China, di mana mereka tahu produk dari China mampu dijual dengan harga yang lebih rendah. Keadaan pasaran semasa di mana pengguna lebih mementingkan harga dari nilai teknologi juga makin tidak membantu. Taktik China tetap sama - menghasilkan satu produk yang cantik, sarat dengan gajet yang tidak diperlukan, menggunakan teknologi level kedua (second tier) dan menggunakan pengaruh media sosial untuk menaikkan minat pembeli.

Kenderaan elektrik atau EV memberikan peluang kepada semua negara automotif untuk bangkit dan bersaing dengan jenama-jenama legasi. Ini dilihat lebih awal oleh China dan kebanjiran EV dari syarikat-syarikat bukan automotif membuktikan bahawa EV telah "reset" semula industri automotif.

Thailand pula pantas mengubah dan memperkenalkan banyak insentif untuk memastikan negara itu kekal sebagai "Detroit of Asia". Jika ia dahulu rapat dengan syarikat-syarikat Jepun, Thailand melebarkan sayap dengan penawaran pelbagai bonus untuk syarikat EV China datang dan membuka kilang di sana.

Kilang-kilang automotif di Thailand, baik dari jenama kereta atau vendor mereka, terus bergerak maju. Ia juga mewujudkan pusat-pusat R&D di sana, dan ini boleh dilihat dari kewujudan litar ujian yang besar oleh syarikat-syarikat tayar utama seperti Bridgestone, Continental dan Yokohama. 

 

 

Yokohama mempunyai litar sepanjang 4.3 km yang lengkap dengan tempat ujian kering dan basah serta ujian tayar off-road. Dibina di atas kawasan seluas 1.69 juta meter persegi, ia turut dilengkapkan dengan laluan lurus yang membolehkan kenderaan mencapai kelajuan lebih dari 200 kmsj.

Berbalik kepada topik asal, Malaysia perlu memikirkan perlindungan untuk syarikat automotif tempatan dan juga untuk syarikat luar yang sudah melabur banyak di sini.

Kita tidak mahu mereka menutup fasiliti mereka di Malaysia dan berpindah ke negara lain, tetapi kita perlukan mereka untuk terus menambahkan lagi pelaburan mereka yang ada di sini.

Stellantis dan Kia sudah menyatakan hasrat serius mereka untuk memulakan pelaburan besar di Malaysia, tetapi kita tidak boleh melupakan syarikat-syarikat yang sudah melabur di sini.

Kita semua tahu Porsche sudah mula dipasang di Kedah, begitu juga dengan Volvo, BMW dan Mercedes-Benz. Kecuali Volvo, yang lain hanya memasang kenderaan untuk pasaran domestik sahaja.

Mungkin ada sesuatu yang boleh diberikan kepada mereka untuk terus mengembangkan pelaburan mereka di sini kerana kita tidak hanya boleh berbangga dengan kehadiran mereka di sini sahaja tanpa penambahan lain.

Kita juga perlu lebih berhati-hati dengan industri AP terpakai kerana walaupun mereka memberikan pendapatan kepada negara, kita juga kena imbal kembali dengan sumbangan industri itu dari segi jumlah peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kewujudan peluang perniagaan berpendapatan tinggi yang akan meningkatkan profil negara di dalam sektor automotif.

Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Wallahuallam.
 

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ia menimbulkan kerisauan di kalangan syarikat EV dari dua benua itu. Baru-baru ini, Elon Musk…
Berita Global
Namun, jenama dari China seperti BYD dan NIO lebih menonjol dengan model-model EV yang canggih dan…
Berita Global
  Analisa Wood Mackenzie itu mendapati China akan dapat mengejar permintaan 2019 menjelang…