Adakah PKP akan disambung hingga Raya Haji?

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Jumlah positif Covid-19 melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut memberi bayangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama disambung lagi.


Sebagaimana kelaziman, pengumuman keputusan sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dimaklumkan dua hari sebelum tempoh PKP tamat pada Isnin ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberitahu, negara hanya boleh beralih ke fasa kedua jika purata kes Covid-19 berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut mengikut Pelan Pemulihan Negara.

 

Selain itu, penilaian dibuat berdasarkan kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi telah divaksin.

 

Semalam, negara merekodkan jumlah kes positif 5,812 kes dengan kes aktif sebanyak 60,117 kes selain 870 kes berada di ICU.

 

Jika PKP disambung 14 hari lagi bermakna tempoh pelaksanaan adalah sehingga 12 Julai. Bagaimanapun, seminggu berikutnya, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha.

 

Justeru, tidak mustahil kerajaan memanjangkan tempoh PKP sehingga Hari Raya Aidiladha bagi mengelak masyarakat melakukan ziarah raya dan mencetuskan semula kluster perayaan.

 

Bagaimanapun, mungkin terdapat kelonggaran bagi perkara-perkara tertentu jika perintah berkenaan dilanjutkan.

 

Mengikut rekod, bermula 13 Mei sehingga 10 Jun lalu, terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (dua kluster) dilaporkan.

 

Sebanyak 13,023 individu disaring dalam kluster ini, yang mana terdapat 3,511 kes COVID-19 dikenal pasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus.

 

Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian dilaporkan.

 

Jika pergerakan rakyat tidak disekat melalui PKP dan masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita.

 

 

Sampai bila kita harus hadapi PKP? Jawapan terletak di tangan kita sendiri dan para pemimpin kerajaan.

 

Buat masa ini, jumlah terbesar yang dijangkiti COVID-19 adalah dari syarikat-syarikat yang masih beroperasi /pengilangan yang dikenali sebagai kluster tempat kerja. 

 

Dua tindakan sahaja yang patut diambil terhadap mereka iaitu diberikan vaksin sepenuhnya dan 'total lockdown' seluruh negara supaya lebih mudah penyakit ini dapat dibendung dan kawal seperti mana kita lakukan pada bulan Mac tahun lalu di PKP 1.0 untuk tempoh dua minggu.

 

Atau selamanya kita terpaksa hadapi musibah ini? Semoga barisan Frontliners negara kekal tabah dan tidak putus asa dalam tugasan mereka. Kami doakan anda dan keluarga anda diberikan kesihatan yang baik dan dipelihara Allah sentiasa.

 

 

– UTUSAN ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kami menyambut baik keputusan MKN menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam…
Berita Domestik
  “Wanita itu bergerak dari rumahnya di Taman Rembia Utama, yang berada di Alor Gajah, ke pasar…
Informasi
  Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi kesan kepada aktiviti…