Adakah undang-undang jadi penghalang kereta pandu sendiri untuk berada di jalanraya Malaysia?

oleh HEZERI SAMSURI|


 
Kita telah lama mengimpikan untuk melihat kenderaan pandu sendiri menjalar di jalanraya, menyusur dari rumah kita hingga ke bandaraya dan pelusuk desa.

 
Ini bukan sekadar mimpi. Ia mampu menjadi kenyataan untuk kenderaan autonomi menjemput anda di depan rumah atau pejabat anda.
 
Anda melangkah ke dalam kereta pandu sendiri, menikmati pemandangan di tempat duduk penumpang, tiada pening kepala untuk memandu, berborak dengan kawan-kawan melalui pesanan elektronik dari telefon pintar ketika bergerak dengan selesa di dalam lalulintas sesak pada petang Jumaat di Lebuhraya Persekutuan.
 
 

 

Adakah undang-undang jadi penghalang?Namun, sebelum rakyat Malaysia mahu meninggalkan kereta atau motosikal di rumah untuk menikmati perkhidmatan kenderaan E-Hailing tanpa pemandu di jalanan Pulau Pinang, kita perlu merenung, mengkaji dan memperhalusi aspek perundangan sebelum kenderaan masa hadapan dapat beroperasi di negara kita.
 
Berita nahas pada Ahad malam lalu dari Amerika Syarikat yang melibatkan sebuah kereta pandu sendiri yang dikendali Uber telah mengejutkan dunia automotif. Kenderaan autonomi Uber yang dikatakan bergerak sekitar 64 km/j telah melanggar dan membunuh seorang wanita berusia 49 tahun ketika mendiang sedang berjalan kaki sambil menolak basikal menyeberangi jalanraya empat lorong di Tempe, Arizona.
 
Akhbar di US melaporkan bahawa kematian wanita tersebut adalah kematian pejalan kaki yang pertama yang membabitkan teknologi kenderaan pandu sendiri.
 

 


Tiga tahun yang lalu, penulis menghadiri satu persidangan keselamatan jalan raya di ibu negara di mana seorang pakar automotif dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura mengutarakan pandangan dari sudut dilema persoalan undang-undang berkenaan dengan teknologi pemanduan sendiri.
 
Profesor tersebut bertanya:
 
1)       Adakah pihak berkuasa, masyarakat dan pengguna mahu menghadapi kenyataan bahawa kenderaan pandu sendiri bukanlah satu mesin 100 peratus tanpa kesilapan?
 
2)      Siapakah yang akan bertanggungjawab jika nahas jalanraya yang melibatkan kenderaan tanpa pemandu atau nahas melibatkan pejalan kaki atau melanggar pokok dengan terdapat penumpang elemen kecederaan atau kematian?
 
3)      Adakah agensi penguatkuasa akan menuding jari terhadap pembuat kereta pandu sendiri tersebut atau firma perisian sistem pengemudi atau pengendali pengangkutan (jika ia adalah kenderaan perkhidmatan awam) atau individu pemilik kenderaan tersebut sebagai pihak yang bertanggungjawab?
  

 


Definisi Pemandu dari undang-undang sedia ada

Menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987, “pemandu” ertinya orang yang pada masa itu sedang memandu sesuatu kenderaan motor dan, dalam hal sesuatu kenderaan motor yang tidak bergerak, termasuklah orang yang pada masa itu bertanggungjawab bagi memandu kenderaan motor itu.

Manakala, pengertian “lesen memandu” adalah lesen untuk memandu kenderaan motor yang diberi atau disifatkan sebagai diberi di bawah Bahagian II dan termasuklah lesen belajar memandu dan lesen memandu percubaan yang diberi di bawah seksyen 29.


 


Kami timbulkan persoalan berikut yang mungkin berbunyi sinis:
 
a) Adakah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan lesen memandu percubaan (Lesen P) selama 2 tahun ke atas kereta tanpa pemandu atau terhadap perisian pandu sendiri tersebut atau pembuat kenderaan tersebut sebelum kerajaan membenarkan kenderaan pandu sendiri berada di jalanraya?
 
b) Adakah kita akan melihat JPJ menjalankan ujian Lesen P ke atas kenderaan Google atau Tesla sebagai contoh,  bagi menentukan sama ada kenderaan tersebut atau sistem kereta tanpa pemandu itu boleh lulus ujian 'pemandu' baru dan menggunakan aras dan kebolehan yang sama seperti pelajar atau pemandu baru yang lain untuk lulus?
 

 

 

Ini juga membawa kepada persoalan lain mengenai status 'pemandu' serta pemilikan kenderaan pandu sendiri itu.


    •    Bagaimanakah industri insurans dan JPJ dapat melindungi pengguna jalan raya lain dalam membenarkan kemunculan teknologi tanpa pemandu dan menetapkan garis panduan untuk kereta tanpa pemandu untuk mencapai status pemandu ‘kompeten'?


    •    Adakah pihak berkuasa kita mempunyai keupayaan dan kebolehan tahap teknikal yang tinggi untuk meneliti dan menilai kereta pandu sendiri sebelum ia dibenarkan menjelajahi lebuhraya kita?


    •    Jika jawapannya adalah ya, apakah penanda aras untuk kereta pandu sendiri mencapai status lulus?


    •    Jika kenderaan pandu sendiri kendalian Uber (sebagai contoh) dibawa ke mahkamah untuk kesalahan lalulintas atau perlanggaran melibatkan kecederaan atau kematian, adakah Ketua Pegawai Eksekutif Uber di San Francisco, Pengurus Kawasan Asia Pasifik Uber atau pun Ketua Pegawai Teknologi firma perisian pandu sendiri yang bakal dihadapkan mahkamah di Malaysia? 


 

 

Kita memang menantikan kereta pandu sendiri untuk menembusi pasaran tempatan tidak lama lagi. Namun, ramai akan memerhati bagaimana penggubal undang-undang dan pihak berkuasa akan menghadapi cabaran dalam merangka polisi dan peraturan untuk kenderaan gelombang nafas baru ini.

 
Harap anda jangan salah sangka. Saya amat menyokong kemajuan teknologi bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di jalanraya dan mengurangkan kehadiran manusia rakus di jalan raya.
 
Mungkin kereta pandu sendiri adalah jawapan untuk mengurangkan kematian di jalanan. Mana tahu barangkali sikap pemandu lalai dan degil akan jadi satu perkara yang tidak pernah didengari pabila kenderaan pandu sendiri menguasai jalanraya dan lebuhraya di Malaysia.
 
Oleh Shahrim Tamrin

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau menegaskan kadar kematian yang membabitkan penunggang motosikal mencapai kadar tinggi…
Berita Global
BANGKOK: Cucu kepada Nelson Mandela, Zoleka telah membidas Malaysia kerana dikatakan kerajaan telah…
Berita Domestik
The eleven members of the RRP, appointed directly by Transport Minister Anthony Loke, are given the…