Agong kurnia kebenaran guna dua 'airboat' milik peribadi bantu operasi banjir

oleh Penyumbang Rencana|
foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua ‘airboat’ berkuasa tinggi milik Seri Paduka Baginda sebagai aset operasi menyelamat mangsa banjir.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menzahirkan perkenan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, selain sebagai persediaan agensi keselamatan dalam melaksanakan misi menyelamat jika berlaku gelombang kedua banjir.

"Kedua-dua 'airboat' berkenaan kini ditempatkan di Istana Negara dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan penghantaran bantuan kecemasan,” menurut hantaran berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurniaan aset canggih milik Seri Paduka Baginda itu memperlihatkan keprihatinan tinggi Sultan Ibrahim terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat khususnya di kawasan yang terjejas.

"Bagi pihak Kerajaan Madani, saya merafak setinggi-tinggi penghargaan atas dukungan ini yang akan memperkukuh kesiapsiagaan serta melancarkan gerak kerja penyelamatan bersama agensi-agensi di lapangan jika berlaku gelombang kedua musibah banjir nanti.

"Semoga dengan ikhtiar dan kerjasama semua pihak, usaha membantu mangsa banjir dapat dipertingkat dan keselamatan rakyat terus terpelihara," menurut hantaran beliau di Facebook pada Khamis.

Pada Mac 2023, tiga unit ‘airboat’ milik Seri Paduka Baginda digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa banjir di Johor.

Aset berkenaan turut digunakan untuk menghantar bekalan makanan ke penempatan Orang Asli di kawasan Kluang yang terputus hubungan akibat bencana ketika itu.

Setakat pagi ini, empat negeri masih dilanda banjir iaitu Perak melibatkan 2,690 orang, Selangor (699) orang, Perlis (207) orang dan Pahang (28) orang.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Simbol Hubungan Diplomatik Malaysia-Russia Menerusi hantaran rasmi di Facebook Sultan Ibrahim…
Informasi
Hantaran tersebut turut berkongsikan tiga keping gambar memaparkan pengurniaan MPV Toyota Vellfire…
Berita Domestik
Sedan mewah Hongqi L5 merupakan kereta keluaran syarikat FAW Group yang menampilkan reka gaya retro…